MARI MENDENGAR & MEMAHAMI AL-QUR'AN

Listen to Quran

Selasa, Mac 30, 2010

SARAPAN PAGI SEORANG MENTERI BESAR YANG MESTI DI HORMATI…..

Hanya minum secawan milo dengan nasi berlauk...hampa pi cari sat kalau ada MB ameno mcm ni...tobat lahom tak jumpa...

Ahad, Mac 28, 2010

Mengubah cara berfikir






KEJAYAAN seseorang itu sebenarnya dicipta bergantung bagaimana cara kita berfikir dan melakukan apa yang terbaik. Minda (akal) perlu dibuka untuk perkara baru dan bersedia melakukan perkara luar biasa untuk kejayaan luar biasa.


Kita adalah apa yang kita fikirkan tentang diri kita.
Kata seorang pujangga: “Orang yang berminda kecil membicarakan mengenai orang lain; orang yang berminda sederhana membicarakan mengenai peristiwa dan kejadian; dan orang yang berminda besar membicarakan mengenai idea dan keilmuan.”


Orang yang berminda kecil sebenarnya kurang menggunakan minda. Dia lebih kerap melakukan perkara rutin dan menerima apa sahaja apa yang dikatakan orang lain. Mereka tidak mahu berfikir lebih daripada itu dengan alasan tidak mahu ‘penat’ berfikir. Biarlah orang lain fikirkan.


Sikap berminda kecil menjadi punca kepada kegagalan. Mereka tidak menggunakan potensi diri yang ada pada setiap orang. Mereka tidak memahami ‘modal diri’ yang dimiliki untuk meraih keuntungan hidup.


Sesungguhnya, harga kehidupan tidak akan berubah lebih baik jika tidak mahu menggunakan minda. Keinginan melakukan sesuatu lebih baik tercetus sekiranya minda digunakan.


Kelebihan manusia berbanding haiwan ialah kerana manusia mempunyai minda. Manusia yang tidak menggunakan minda mempersia-siakan anugerah paling besar itu. Mereka tidak layak untuk menikmati kejayaan dan kebahagiaan hidup sebenar.


Minda yang jumud dan beku mengurangkan fungsi minda. Hal itu samalah seperti kita menentukan had sempadan penggunaan minda. Sedangkan minda sebenarnya mampu berfikir tanpa had sempadan. Pergerakan berfikir berbentuk rawak yang tidak ada satu garisan khusus.


Kemampuan minda seseorang berbeza antara satu sama lain. Inilah memberi kelebihan apabila dilakukan percambahan minda melibatkan banyak individu. Gagasan minda yang digabungkan membawa kepada satu kekuatan minda yang terbaik.


Belajarlah berfikir secara minda terbuka. Minda yang terbuka dapat membezakan antara betul dan salah, mencipta kemajuan dan bergerak ke arah lebih baik. Dengan cara itu juga mampu membudayakan pemikiran yang kritis.


Umumnya semua orang mahu menikmati kehidupan lebih baik, meneroka bakat dan potensi diri. Tetapi, disebabkan mengamalkan cara berfikir yang negatif, menyebabkan banyak sempadan diri wujud. Kita sendiri mengatakan ini tidak boleh dan itu tidak mungkin.


Sesungguhnya, permulaan kejayaan ialah apabila kita berfikir tentang kejayaan. Permulaan untuk berubah ialah berubahnya cara berfikir. Sebab itu pentingnya mengamalkan pemikiran berasaskan intelektual.

Sabtu, Mac 27, 2010

PEMANGKU KETUA PEMUDA YANG SERBA BOLEH

Sedang tekun berbekam, perojek berbekam dijalankan dibawah lujnah ekonomi PAS Cawangan. Sesiapa yang berminat untuk berbekam boleh menghubungi Sdr Yusop Ahmad di no: 0194743767.


Pemangku Ketua Pemuda Cawangan sedang membuat minuman untuk perserta kerusus haji .

Kementerian Kesihatan digesa umum pencemaran Rotarix

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan supaya mengumumkan dengan segera kepada rakyat berhubung situasi pencemaran Rotarix di negara ini dan langkah yang diambil untuk mengawal keadaan.

Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, kelompok Rotarix di seluruh dunia telah tercemar dengan bahan genetik daripada porcine circovirus jenis 1 (PCV1) iaitu virus yang biasanya ditemui dalam babi.

Beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily hari ini turut melahirkan rasa amat terkejut dengan sikap mendiamkan diri oleh Kementerian Kesihatan dan GlaxoSmithKline Malaysia (GSK) berhubung meluasnya pencemaran Rotarix.

Ini kerana, katanya vaksin oral GSK yang diberikan kepada bayi berusia kurang daripada 12 bulan untuk mencegah rotavirus yang boleh menyebabkan gastroenteritis yang membawa kepada muntah, cirit birit dan demam.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau.

CAP amat terkejut dengan sikap mendiamkan diri oleh Kementerian Kesihatan dan GlaxoSmithKline Malaysia (GSK) berhubung meluasnya pencemaran Rotarix, vaksin oral GSK yang diberikan kepada bayi berusia kurang daripada 12 bulan untuk mencegah rotavirus yang boleh menyebabkan gastroenteritis yang membawa kepada muntah, cirit birit dan demam.

Kelompok Rotarix di seluruh dunia telah tercemar dengan bahan genetik daripada porcine circovirus jenis 1 (PCV1) – virus yang biasanya ditemui dalam babi.

Rotavirus adalah genus virus RNA dalam keluarga Reoviridae. Ia merupakan penyebab utama cirit birit yang teruk dalam kalangan bayi dan kanak-kanak dan merupakan salah satu daripada beberapa virus yang menyebabkan Rotavirus gastroenteritis, penyakit sederhana hingga ke peringkat yang teruk dengan ciri-ciri muntah, cirit birit berair, demam dan biasanya dikenali sebagai stomach flu, ia tidak mempunyai kaitan dengan selesema. Menjelang usia lima tahun, hampir setiap kanak-kanak di dunia ini dijangkiti dengan rotavirus sekurang-kurangnya sekali.

Bagaimanapun, dengan setiap jangkitan, imuniti akan berkembang dan jangkitan seterusnya akan menjadi kurang teruk dan orang dewasa jarang terjejas. Terdapat tujuh spesies virus ini yang dirujuk sebagai A, B, C, D, E, F dan G, kesemuanya juga menyebabkan penyakit terhadap binatang lain. Rotavirus A, yang paling biasa menyebabkan lebih daripada 90% daripada jangkitan pada manusia.

Vaksin rotavirus seperti GSK Rotarix sepatutnya untuk melindungi kanak-kanak daripada rotavirus. Laporan media menjelaskan Rotarix diperbuat daripada rotavirus manusia yang lemah yang dibesarkan di dalam sel hidup. GSK menggunakan sel buah pinggang monyet untuk tujuan ini.

Menurut Dr Margaret Hamburg, Pesuruhjaya Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA), cebisan DNA PCV1 ditemui dalam bank sel Glaxo, bermakna ia hadir daripada perkembangan awal vaksin yang pada hakikatnya vaksin sepatutnya hendaklah disteril (bersih dari kuman). Kemungkinan besar GSK tidak menyedari sesuatu yang janggal ini dalam vaksin mereka lama sebelum 2006 apabila mereka menjalankan ujian klinikal ke atas Rotarix untuk kanak-kanak.

Kami mempersoalkan kenapa GSK tidak membuat sebarang usaha untuk mengasingkan dan memusnahkan virus ganas PCV1 dalam pelbagai bahan genetik yang diperlukan untuk menghasilkan vaksin apabila ia boleh dilihat dengan jelas oleh saintis jika keselamatan diutamakan. Amat mengejutkan sekali apabila GSK membenarkan keadaan berbahaya untuk berterusan sehingga beberapa tahun sehingga ia muncul sebagai pencemar untuk vaksin bagi kanak-kanak semuda seusia enam minggu.

Pada hakikatnya, GSK hanya melaporkan penemuannya sendiri berhubung kehadiran PCV1 dalam Rotarix kepada FDA pada 15 Mac, berdasarkan kepada kerja yang pada asalnya dilakukan oleh pasukan penyelidik akademik. Diikuti oleh ujian susulan yang dijalankan bersama oleh GSK dan FDA mengesahkan penemuan pasukan itu dan mengesahkan komponen viral terdapat sejak peringkat awal perkembangan vaksin termasuk sewaktu ujian klinikal.

Terdapat dakwaan bahawa tiada bukti bahawa terdapat risiko kepada pesakit yang menerima vaksin ini, bagaimanapun FDA pada 22 Mac memutuskan untuk berhati-hati dan mengeluarkan amaran kepada pakar kanak-kanak di seluruh negara di Amerika Syarikat untuk menghentikan memberikan Rotarix kepada pesakit mereka sementara menunggu siasatan yang dijangkakan berakhir dalam masa enam minggu. Pihak FDA juga mengakui sehingga kini virus babi yang khusus ini bukanlah satu-satunya yang mereka fikirkan pembuat vaksin perlu untuk memeriksa produk mereka.

Pada hari ini (27 Mac), Kementerian Kesihatan Emiriyiah Arab Bersatu (UAE) telah mengambil isyarat daripada FDA dan telah mengarahkan pergantungan segera pengimportan, pengedaran dan penjualan Rotarix dan pengharaman sementara penggunaannya untuk kanak-kanak. Jordan melalui Pentadbiran Makanan dan Ubatan juga telah menerima pakai pendirian FDA dengan menggantung semua preskripsi Rotarix memandangkan mereka bimbangkan risiko kesan sampingan yang tidak diketahui daripada PCV1.

Lembaga Sains Kesihatan Singapura (HSA) telah meminta doktor menangguhkan vaksinasi Rotarix atau menggunakan alternatif sementara HAS bekerjasama dengan GSK untuk menentukan jika sebarang kelompok vaksin Rotarix telah tercemar. Dalam satu kenyataan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa negara yang menggunakan Rotarix supaya “berhati-hati mempertimbangkan manfaatnya untuk terus menggunakannya dalam sebarang keputusan.

Sementara itu, Pengarah Klinikal R & D dan Hal Ehwal Perubatan GSK Malaysia dan Singapura, Dr Teoh Yee Leong, berkata pembuat ubat itu memberikan jaminan kepada HAS bahawa mereka akan “terus berkongsi maklumat dengan HAS apabila ia diperolehi”, kerjasama yang sama seperti itu dilihat tidak dihulurkan kepada pihak Kementerian Kesihatan kita.

Berdasarkan kepada sikap berdiam diri Lembaga Kawalan Ubatan (DCA) Kementerian Kesihatan berhubung perkara ini, ia dilihat GSK mempunyai alasan enggan untuk mendedahkan sebarang maklumat berhubung isu kritikal ini kepada Kementerian Kesihatan walaupun sudah 12 hari sejak perkara ini dilaporkan kepada USFDA. Sementara amat bekerjasama dengan HSA Singapura, GSK Malaysia dilihat menyokong sepenuhnya di sebalik Kementerian Kesihatan yang secara terbuka menyarankan penggunaan Rotarix di Malaysia. Kami bimbang jika ini kesnya yang sebenar atau rakyat dibiarkan dalam keadaan tidak mengetahui apa-apa.

Dalam sebuah negara yang mempunyai rakyat beragama Islam sebagai majoriti seperti negara kita, amat difahami bahawa isu seperti ini boleh menjadi sesuatu yang sensitif, terutama sekali memandangkan vaksin itu tercemar daripada virus yang berasal daripada babi. Sepertimana yang kita semua tahu, pengambilan babi adalah ‘haram’ atau dilarang kepada orang Islam.

Salah satu rasional saintifik kenapa babi dikategorikan sedemikian oleh Islam memandangkan kepada kehadiran sejenis parasit seperti Taenia solium (pork tapeworm) dan Trichinella spiralis (trichina worm) dan mikroorganisma seperti procine circovirus jenis 1 yang tidak diragui lagi berbahaya kepada kesihatan manusia. Sebab itulah Rotarix yang tercemar dengan PCV1 tidak dapat diterima oleh orang Islam tetapi Kementerian Kesihatan mempunyai tanggungjawab bukan hanya kepada orang Islam tetapi juga kepada semua rakyat yang beragama lain di negara ini untuk menjelaskan situasi serta mengambil langkah segera untuk menarik balik dan menganalisis kelompok Rotarix yang sedia ada itu tercemar dan mengumumkan amaran di seluruh Negara serta menggantung vaksin itu sehingga ia terbukti selamat.

Kerajaan UAE dan Jordan di mana Islam merupakan majoriti dan agama rasmi telah menjadi contoh dalam tindak balas mereka yang proaktif dan segera terhadap ancaman pencemaran Rotarix. Mereka telah menunjukkan keprihatinan dan tanggungjawab kepada warganegara mereka memandangkan kepada keadaan ancaman iaitu membahayakan kesihatan serta mempunyai kaitan dengan agama dan mereka telah mengumumkan keputusan mereka untuk khalayak ramai.

Sama ada GSK Malaysia telah memberikan amaran atau tidak kepada Kementerian Kesihatan, kami mempersoalkan kenapa Kementerian Kesihatan masih belum mengisytiharkan amaran ke seluruh negara dan menggantung vaksin Rotarix sekarang dan menjalankan ujian keselamatan yang ketat ke atas kelompok Rotarix yang sedia ada.

Apakah yang telah dilakukan oleh Kementerian Kesihatan untuk memberitahu dan menyakinkan rakyat terhadap keselamatan anak-anak mereka? Apakah yang menghalang Kementerian Kesihatan daripada menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat? Rakyat mempunyai hak untuk mengetahui jika kepercayaan agama dan kesihatan mereka mungkin dikompromikan.

CAP menggesa Kementerian Kesihatan supaya mengumumkan dengan segera kepada rakyat berhubung dengan situasi pencemaran Rotarix di negara ini dan langkah yang diambil untuk mengawal keadaan.

Khamis, Mac 25, 2010

Hilang arah kerana berpandukan peta lama


Kalau diberi perluang menyimpulkan masalah yang negara kita hadapi sekarang ini, jawapan saya dalam satu ayat yang ringkas adalah kita telah “hilang arah tuju kerana masih berpandukan peta lama”.

Sudah terlalu lama Malaysia menantikan transformasi secara menyeluruh dan reformasi yang tulen. Sayangnya, kita hanya mendengar slogan demi slogan. Daripada slogan “Bersih, Cekap dan Amanah” kepada “Cemerlang, Gemilang dan Terbilang” dan yang sering kita dengar hari ini “1 Malaysia — Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, soal komitment dan pelaksanaan belum diberi perhatian serius.

Sedangkan perkara-perkara asas seperti usaha membasmi rasuah, melaksanakan pembaharuan institusi-institusi demokrasi, dan mengamalkan keadilan dalam agihan peluang telah menjadi isu-isu penting sejak sekian lama, terutamanya sejak krisis ekonomi dan politik 1997/1998.

Dunia telah mengalami perubahan besar. Malah, Malaysia juga turut berubah. Tetapi perubahan yang ketara ini tidak pula kita rasai dalam perbahasan di Parlimen kita atau di media massa arus perdana.

Soal demografi sahaja sudah cukup mengejutkan kita. Kalau pelawat dari negara luar melihat negara kita dengan hanya berpandukan kepada perbahasan di Dewan Rakyat atau laporan Utusan Malaysia, mereka akan terkejut dan mungkin menyangka perkauman adalah isu utama di Malaysia.

Perbahasan Dewan serta andaian Utusan juga memperlihatkan bahawa kononnya kebanyakan penduduk negara ini bermastautin di desa dan tidak ada kena-mengena dengan bandar, dan seolah-olah semua penyokong UMNO berfikiran seperti dua atau tiga generasi dahulu. Seolah-olah orang kampung masih lagi tidak bijak dan perlu kepada tongkat UMNO.

Hakikatnya adalah sebaliknya. Sekurang-kurangnya 64 peratus rakyat Malaysia kini bermastautin di kawasan bandar. Untuk Semenanjung Malaysia sahaja, hampir 70 peratus rakyat bermastautin di kawasan bandar.

Bukan sahaja ini berlaku kerana penghijarahan ke bandar tetapi juga kerana desa-desa serta kawasan-kawasan lain telah dibangunkan menjadi bandar-bandar baru.

Tetapi hakikat ini diketepikan oleh parti-parti komponen Barisan Nasional, terutamanya UMNO, MCA dan MIC. Mereka tetap mahu jadi jaguh kampung. Oleh kerana itu, jentera parti-parti BN kukuh di kampung kerana mereka terus menggunakan pelbagai strategi untuk mengawal pemikiran rakyat di kawasan desa. Mereka tidak mahu rakyat yang berasal dari desa berubah dari peta lama yang penuh dengan politik perkauman.

Seorang ahli akademik antarabangsa Professor Emeritus Terry McGee, yang melawat Malaysia buat kali pertama pada tahun 1959 dan pernah mengajar di Universiti Malaya, baru-baru ini telah mengatakan bahawa tidak ada lagi apa yang dikatakan sebagai “masyarakat desa” di Semenanjung Malaysia kerana semua kampung dan desa amat bergantung kepada ekonomi bandar.

Maksudnya, penghuni desa memerlukan bandar untuk urusan seharian manakala anak-anak mereka pula bekerja di bandar-bandar berhampiran. Malah sudah ramai yang berhijrah ke Lembah Klang sejak satu dua dekad yang lalu.

Kehadiran anak-anak muda kampung di bandar-bandar inilah yang membimbangkan UMNO dan parti-parti komponen BN kerana golongan muda semakin terdedah kepada maklumat dan fakta yang selama ini disembunyikan oleh BN di desa dan pendalaman.

Saya sendiri terkejut apabila menyedari betapa “muda” negara kita ini. Menurut anggaran penduduk Malaysia oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2008, sebanyak 41 peratus atau 11.47 juta orang adalah mereka yang berumur di bawah 20 tahun. Sejumlah 20.14 juta atau 72 peratus daripada jumlah keseluruhan 27.73 juta penduduk Malaysia adalah mereka yang berumur di bawah 40 tahun.

Golongan inilah penentu masa depan politik negara kita. Mereka inilah yang lebih bermaklumat daripada generasi sebelumnya kerana telah lama “keluar” dari desa walau pun masih tinggal di kawasan yang dikatakan desa atau kampung.

Jika pemimpin atasan masih lagi berpandukan peta lama, mereka mungkin akan terkejut dengan golongan muda yang lebih prihatin dan terbuka kepada idea-idea baru yang akan menenentukan keputusan pilihan raya umum akan datang.

Jika golongan muda menyedari negara sudah “hilang arah”, tidak mustahil mereka mahu memperbetulkan keadaan dengan mengembalikan arah tuju yang lebih tepat dan sesuai dengan keperluan masakini.

Peta lama masih dipegang oleh UMNO dan BN sedangkan golongan muda sudah mula mencari peta baru untuk mengembalikan maruah dan harga diri.

Selasa, Mac 23, 2010

Bila sudah bercerai


Isteri saya seorang peguam syarie, yang beramal melalui firma guaman syarie miliknya sendiri. Antara kes terbanyak yang dibawanya adalah kes perceraian, juga kes-kes selepas perceraian seperti tuntutan nafkah, anak dan harta sepencarian.Sepanjang yang saya lihat biasanya perceraian berlaku kerana sebab-sebab semasa, bukan kerana ketidakpuashatian yang panjang dalam tempoh perkahwinan. Contohnya seperti tiba-tiba diketahui suami berkahwin dua, suami hilang sumber pendapatan utama, pertengkaran, kehadiran pihak ketiga sama ada di pihak isteri atau suami dan sebagainya.


Tetapi bila sudah masuk mahkamah panjang pula ceritanya. Kalau asalnya bekas isteri memohon cerai fasakh kerana suaminya berkahwin dua, bila dalam mahkamah perinciannya menjadi panjang lebar, diungkit segala macam perkara yang berlaku dalam perkahwinan. Kononnya si suami tidak pernah memberi nafkah zahir kepadanya, walhal dia datang ke mahkamah dengan keadaan fizikal yang cukup sihat walafiat, tiada pula tanda-tanda tidak cukup makan.Maka dituntutlah macam-macam, tunggakan nafkah, nafkah edah, mutaah dan sebagainya. Si bekas suami pula, untuk mengelak dari dihukum bersalah dalam hal ini, mendakwa si bekas isteri tiadalah berhak untuk mendapat semua ini, kerana si bekas isteri telah nusyuz kepadanya sewaktu dalam perkahwinan.


Bukan susah membawa cerita, diberitahulah pada satu malam dalam perkahwinan kerana tidak mahu lepas satu rancangan televisyen, si bekas suami melaung dari tengah rumah, “Yang, buat kopi panas secawan!” Si isteri yang baru mahu duduk selepas meletak kain yang dilipat dalam almari sudah naik angin, “Uhhhh! Tangan ada, sudu ada, gula ada, kopi ada, air ada, abang pergi buat sendirilah.”Begitulah kisah selepas bercerai, semua keburukan mahu diungkit, padahal mereka bukan bercerai kerana itu, bukan kerana wang-ringgit, makan-pakai mahupun kopi secawan.


Perceraian bukan hanya berlaku dalam perkahwinan, ia juga berlaku dalam perhubungan politik. Bila perhubungan politik tercerai, maka sama seperti perceraian perkahwinan, emosi marah membawa kepada terungkitnya cerita buruk dalam kelambu, dalam kain masing-masing.Inilah yang kita saksikan mutakhir ini, kita dipersembahkan dengan gelagat buruk orang bercerai politik, seperti Salehuddin Hashim, Zahrain Hashim (maaf, mereka bukan adik-beradik) , Zulkifli Noordin, Mohsin Fadzli Samsuri dan Tan Tee Beng, seorang bekas Setiausaha Agung dan empat Ahli Parlimen dari PKR.Biasalah selepas bercerai, semua tidak kena, semua tidak baik, diungkit segala serba mak nenek, seolah-olah parti yang mereka wakili selama ini tiada kebaikan langsung, walaupun saya percaya setiap seorang dari mereka ini hanya ada satu sebab mengapa mereka bercerai dengan parti mereka.


Dalam kelantangan dan kelancangan mereka, terutama yang bergelar Ahli Parlimen, mereka terlupa sekurang-kurangnya satu kebaikan bekas parti mereka itu, bekas parti merekalah yang memberi peluang kepada mereka menjadi calon pilihanraya, Presiden bekas parti merekalah yang menyerahkan watikah bagi membenarkan mereka bertanding, pekerja bekas parti dan parti sahabat merelah yang bertungkus-lumus siang dan malam sepanjang tempoh kempen sehinggalah meraih dan merayu undi untuk mereka ketika hari pengundian, sampailah mereka menang dan bergelar Ahli Parlimen.Biasalah juga selepas bercerai, bekas parti mereka ini dakwa mereka tiada jasa, buat apa mereka mahu letak jawatan, jawatan Ahli Parlimen mereka itu amanah rakyat katanya. Amanah rakyat? Pooorahhh… Mereka lupa mereka mendapat kepercayaan rakyat dahulu sebab parti meletakkan mereka di situ sebagai calon. Sebelum mereka mendapat kepercayaan rakyat, terlebih dahulu mereka mendapat kepercayaan parti. Lalu sebagai calon yang menang kemudiannya dan bergelar Ahli Parlimen, mereka sebenarnya membawa dua amanah, amanah parti dan amanah rakyat.


Ingat! Di kertas undi tempohari bukan hanya ada nama Zahrain Hashim, Zulkifli Noordin, Mohsin Fadzli Samsuri dan Tan Tee Beng sahaja, tetapi di sebelah setiap nama mereka, ada lambang parti yang mereka wakili. Rakyat memberi amanah kepada mereka atau kepada parti? Dan sekarang mereka khianat kepada siapa?Sama seperti pasangan berkahwin yang bercerai, orang yang bercerai politik ini juga menuntut macam-macam, mendakwa macam-macam. Ada yang tuntut Anwar letak jawatan sebagai Ketua Pembangkang, tuntut Wan Azizah letak jawatan, mendakwa Lim Guan Eng diktator, cauvinis dan komunis, peliknya di antara lima yang keluar dari PKR, yang membuat tuduhan inilah yang keluar dengan imbuhan paling besar, keluar dengan gelaran Datuk Seri! Dan untuk mendapat gelaran tersebut, namanya mestilah dicadang oleh Lim Guan Eng sendiri kepada Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang!Tidak cukup dengan ini, si Zahrain Hashim mengamuk pula di Parlimen, mendedahkan (kononnya) perancangan “rampasan kuasa” 16 September Anwar Ibrahim. Katanya Anwar Ibrahim kemaruk mahu menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-6, habis semua orang mahu dilibatkannya, Timbalan Speaker, Ahli-Ahli Parlimen BN, tentera, juga Yang DiPertuan Agung. Sikap ini samalah dengan sesetengah bekas suami atau isteri yang bercerai, kerana tidak puas-hati, semua mahu dikaitkannya, adik-beradiklah, ipar-duai, sepupu-sepapat, ibubapa, mertua sampailah kaum-kerabat jauh dan dekat serta rakan dan sahabat.Menguatkan hujahnya ini, Zahrain cakap sebab itulah nombor plet kereta Anwar 6.


Ehhh… salahkah itu, kalau tidak silap ingatan saya, sewaktu kempen PRU2008 yang lalu, antara poster PKR yang paling banyak bertebaran adalah poster Anwar Ibrahim Perdana Menteri Malaysia ke-6, ia senjata perang psikologi politik. Saya percaya poster ini banyak tertampal di Parlimen Bayan Baru sewaktu Zahrain Hashim bertanding di sana. Mahu tidak mahu, Zahrain terpaksa mengaku yang antara penyumbang kemenangannya di situ adalah kerana pengaruh psikologi poster tersebut. Untuk membuktikannya, Zahrain boleh sahaja menjadi politikus budiman seperti Shahrir Samad yang berani meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Umno Johor Bharu, kemudiannya bertanding semula sebagai calon bebas dan menang. Apakah Zahrain percaya BEBAS boleh memberi pengaruh psikologi sehebat itu kepada pengundi Bayan Baru?


PKR pula dalam usaha mempertahankan diri, menganggap mereka yang bercerai dan dicerai dari parti ini adalah Ahli Parlimen dan bekas pemimpin parti yang “nusyuz.” Sebahagiannya boleh dibuktikan kerana orang-orang seperti Zahrain, Zulkifli Noordin dan Tan Tee Beng sudah berlagak meninggikan suara sejak sebelum menjadi bebas lagi. Orang nusyuz tidak berhak kepada harta, wa’ima tempat tinggal sekalipun. Tempat tinggal mereka sekarang, Bayan Baru, Kulim Bandar Baru, Bagan Serai dan Nibong Tebal adalah tempat tinggal ketika mereka masih dalam PKR, Zulkifli Noordin yang sentiasa berkopiah itu mungkin boleh mengulas.Cumanya, dalam kes perceraian perhubungan politik, tidak ada mahkamah syariah mahupun mahkamah sivil yang boleh mengadilinya, yang ada cumalah mahkamah rakyat, itupun bersidang lima tahun sekali sahaja.

Cara memberi nama mengikut Quran dan Sunnah









PEMBERIAN NAMA DALAM AL-QURAN

Pemberian nama manusia adalah suatu perkara yang penting dalam Islam. Kepentingan ini jelas seperti mana yang disebut dalam al-Quran. Firman Allah swt:

إِذْ قَالَتِ الْمَلآئِكَةُ يَا مَرْيَمُ إِنَّ اللّهَ يُبَشِّرُكِ بِكَلِمَةٍ مِّنْهُ اسْمُهُ الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ وَجِيهاً فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَمِنَ الْمُقَرَّبِينَ

"(Ingatlah), ketika Malaikat berkata: "Hai Maryam, seungguhnya Allah menggembirakan kamu (dengan kelahiran seorang putera yang diciptakan) dengan kalimat (yang datang) daripada-Nya, namanya Al Masih 'Isa putera Maryam, seorang terkemuka di dunia dan di akhirat dan termasuk orang-orang yang didekatkan (kepada Allah)" (45 - Ali Imran)

Firman Allah swt:

يَا زَكَرِيَّا إِنَّا نُبَشِّرُكَ بِغُلَامٍ اسْمُهُ يَحْيَى لَمْ نَجْعَل لَّهُ مِن قَبْلُ سَمِيّاً


"Hai Zakaria, sesungguhnya Kami memberi kabar gembira kepadamu akan (beroleh) seorang anak yang namanya Yahya, yang sebelumnya Kami belum pernah menciptakan orang yang serupa dengan nama dia." (7 - Maryam)

Firman Allah swt:


وَمُبَشِّراً بِرَسُولٍ يَأْتِي مِن بَعْدِي اسْمُهُ أَحْمَدُ

"...dan memberi khabar gembira dengan (datangnya) seorang Rasul yang akan datang sesudahku, yang namanya Ahmad (Muhammad)." (6 : as-Saff)

PEMBERIAN NAMA PADA KACA MATA NABI

Seperti mana al-Quran, Nabi saw juga mengambil penting dalam pemberian nama. Nabi saw bersabda:


ولد لي الليلة غلام فسميته باسم أبي إبراهيم

"Pada malam ini aku mendapat anak dan aku namakan dengan nama moyangku iaitu Ibrahim."

Hadis sahih Muslim dan Abu Daud

Nabi saw menggalakkan kepada ummatnya agar memberi nama yang terbaik. Baginda bersabda:


إنكم تدعون يوم القيامة بأسمائكم وأسماء آبائكم فأحسنوا أسمائكم

" Sesungguhnya kamu akan dipanggil dengan Nama mu dan Nama bapa kamu. Elokkalah nama-nama kamu."

Hadis daif riwayat Ibnu Hibban.

NAMA ABDULLAH ADALAH YANG TERBAIK

عن عبدالله بن عمر رضي الله عنهما قال:قال رسول الله صلي الله عليه وسلم: ان احب اسمائكم الي الله عبد الله وعبد الرحمن.

daripada Abdullah bin Umar RA berkata,Nabi SAW bersabda”sesungguhnya nama yang paling disukai Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman”.

Hadis sahih riwayat Muslim, Abu Daud dan Tirmizi.

Ibnu Solah menyebut bahawa terdapat 220 orang sahabat Nabi yang bernama Abdullah. al-'Iraqi pula menyebut bahawa terdapat 300 orang sahabat yang bernama Abdullah.

DISUNATKAN NAMA PARA NABI DAN ORANG SOLEH

Nabi saw bersabda:

عن ابي وهب الجشمي قال:قال رسول الله صلي الله عليه وسلم: تَسَمَّوْا بِأَسْمَاءِ أَنْبِيَاءِ وَأَحَبُّ الْأَسْمَاءِ إِلَى اللهِ تَعِالَى:عَبْدُ اللهِ وَعَبْدُ الرَّحْمَانِ وَأَصْدَقُهَا:حَارِثٌ وَهَمَّامٌ وَأَقْبَحُهَا:حَرْبٌ وَمُرَّةٌ.
"

Namakan dengan nama para Nabi,dan nama yang paling disukai di sisi Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman dan yang paling tepat ialah Haris(pekerja),Hammam(yang mempunyai keazaman).dan nama yang paling buruk ialah Harb(perang) Dan Murrah (pahit)”

Hadis riwayat Abu Daud dan Nasaie

Nabi saw sendiri meyuruh umatnya untuk menamakan dengan namanya . Baginda saw bersabda:


تَسَمَّوْا بِاسْمِيْ وَلَا تَكَنَّوْا بِكُنْيَتِيْ


"Berilah nama dengan namaku dan jangan beri gelaran kunyah dengan kunyah ku (Abu Qasim)"
Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

SUNAT NAMA ABDUL (HAMBA) YANG DISANDARKAN KEPADA NAMA ALLAH

Nabi saw bersabda kepada seorang lelaki

" Namakan anakmu dengan nama Abdur Rahman."

Hadis sahih riwayat Muslim

Dalam hadis daif ada menyebutkan


إذا سميتم فعبدوا


“Apabila engkau memberi nama hendaklah yang ada perkataan 'Abdu”

Hadis riwayat Thabrani

Imam Ibnu Hazm berkata:

“Para ulama bersepakat bahwa disunatkan nama yang disandarkan kepada nama Allah seperti Abdullah dan Abdurrahman.”

DILARANG NAMA YANG MEMBAWA KEPADA PENAFIAN PERKARA YANG BAIK

Nabi saw bersabda:

عن عمر رضي الله عنه قال, قال رسول الله صلي الله عليه وسلم:لأنهين ان يسمى رافع وبركة ويسار.

Daripada Umar RA berkata,Nabi saw bersabda,”Aku menegah daripada menamakan dengan nama Rafi’ (ketinggian)’,Barakah (keberkatan),dan Yassar (senang)”.

Hadis riwayat Tirmizi (sanadnya kuat).

Dalam hadis yang lain, Nabi saw bersabda:

لا تسمين غلامك يسارا ولا رباحا ولا نجيحا ولا أفلح فإنك تقول أثم هو فلا يكون فيقول: لا

“Jangan namakan anakmu dengan nama senang, keuntungan dan kejayaan. Sebabnya adalah jika kamu bertanya adakah 'kuntungan' ada? Jika tidak ada, orang akan menjawab "Keuntungan tidak ada.”

Hadis sahih riwayat Muslim, Tirmizi dan Abu Daud

Imam Nawawi berkata: Ulama syafie berkata:

“Dimakruhkan memberi nama dengan nama-nama ini dan apa yang membawa kepada sebab larangan ini. Larangan ini adalah hanya makruh tidak haram.”

LARANGAN NAMA YANG MEMUJI DIRI SENDIRI

Seorang wanita bernama Barrah (wanita yang sangat baik), Rasulullah saw bersabda

لاَ تُزَكُّوْا أَنْفُسَكُمْ اَللهُ أَعْلَمُ بِأَهْلِ الْبِرِّ مِنْكُمْ

“Janganlah kamu memuji diri kamu sendiri. Allah swt lebih mengetahui siapakah yang lebih baik dikalangan kamu.”

Mereka bertanya: Apa yang kami hendak namakannya

Baginda menjawab: Zainab.

Hadis sahih riwayat Muslim

PERHATIAN: Ini perkara yang banyak dilakukan oleh kebanyakan masyarakat melayu. Banyak nama yang menunjukkan memuji diri sendiri. Tidak kira nama orang cthnya dengan nama khairun Nisa (sebaik-baik wanita) ,nama blog atau id ym dengan 'mujahid' pejuang, syahid dll, nama kedai atau rumah dengan 'salafus soleh,tok guru dan sebagainya. Ini dilarang kerana termasuk dalam memuji diri sendiri.

SURUHAN MENGUBAH NAMA YANG TIDAK ELOK

Ibnu Umar berkata: Rasulullah saw telah menukar nama seorang wanita yang bernama Asiah عاصية(pemaksiat) , lalu baginda bersabda.”

“Engkau adalah Jamilah.”

Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud

KESIMPULAN

Seeloknya bayi dilahirkan itu dibawa kepada orang Alim untuk ditahnik dan diberi nama. Anas bin Malik ra berkata

“Aku membawa Abdullah bin Abi Talhah al-Ansari yang baru dilahirkan kepada Rasulullah saw. Baginda bertanya: adakah kamu ada kurma kering ? Aku pun menjawab "Ada" lalu aku memberi beberapa biji buah tamar kepada Rasulullah saw.Rasulullah saw mengunyah tamar itu dan membuka mulut Abdullah . Lalu baginda meletakkan kunyahan tamar ke mulut bayi. Lalu bayi itu memamahnya dan baginda bersabda:


حب الأنصار التمر

“Kesukaan orang ansar adalah tamar.” Lalu baginda menamakannya Abdullah."

Hadis sahih riwayat Muslim dan Abu Daud

Imam Nawawi berkata: Disunatkan untuk meyerahkan pemberian nama kepada orang saleh

Rujukan: Minhaj oleh Imam Nawawi, Manhaj atTarbiyah an-Nabawiyah li Tifl oleh Muhammad Nur Abdul hafiz Suwaid dan min Hadyin Nabawi : Adabut Tasmiah oleh Dr Said Said Ubadah.






Sumber:http://akhisalman.blogspot.com

MANUSIA MELAYU DENGAN KRISIS NILAI

Saya selalu mendengar ucapan-ucapan para politikus tentang betapa berbudi bahasanya manusia Melayu ini. Saya juga ada membaca dalam kitab dan buku-buku lama tentang nilai nilai indah manusia Melayu. Malah ada si polan dan si polan yang tanpa segan silu dan tanpa selidik yang dalam telah berani mengakui bahawa manusia Melayu - satu satunya manusia di dunia ini yang besopan santun dan berbudi bahasa.

Memang betul – ada kebenaran kenyataan ini. Manusia Melayu lima puluh tahun dahulu bersopan santun dan berbudi bahasa. Memang betul manusia Melayu tiga puluh tahun dahulu memiliki nilai kemanusiaan yang kukuh. Tetapi hari ini semuanya telah berubah dan bertukar. Sadikit demi sadikit nilai budi bahasa sopan santun manusia Melayu itu telah berubah.

Perubahan ini muncul kerana asas sistem ekonomi manusia Melayu itu berubah. Dari masyarakat feudal yang berasaskan ekonomi pertanian manusia Melayu telah memasuki ke alam ekonomi kapitalis. Perubahan ini tidak dapat tidak telah juga mengubah pembudayaan manusia Melayu itu sendiri.

Satu ketika dahulu kenduri nikah kahwin adalah kerja bergotong royong untuk sanak saudara dan jiran sekampong – kini semuanya dijalankan oleh kontrektor. Tenaga dan masa yang satu ketika dahulu melimpah ruah dan diberikan secara percuma kini – masa dan tenaga - telah di ukur dengan nilai wang ringgit. Justeru kita tidak akan hairan kadangkala upacara keagamaan juga memerlukan perbayaran. Iman dan Tok Kadi kini perlu dibayar untuk doa dan kehadiran mereka. Tiga puluh tahun dahulu mustahil pekara ini berlaku.

Peralihan dari sistem ekonomi semi feudal ke semi kapitalis ini telah didatangkan dengan mendadak. Peralihan ini bukan satu evolusi – sadikit demi sedikit. Ianya adalah sebahagian dari nilai budaya Dasar Ekonomi Baru yang diajukan oleh kerajaan United Malays National Organisation bermula dari tahun 1970. Dalam masa tiga puluh tahun manusia Melayu kampong berubah untuk menjadi manusia Melayu bandar. Dari suasana kampong yang aman permai manusia Melayu telah di lambakkan ke dalam kota dan pekan yang hiruk piruk dan penuh dengan persaingan.

Peralihan dari ekonomi semi feudal ke semi kapitalis ini adalah perjalanan sejarah ekonomi kapitalis. Ini adalah hukum perjalanan ekonomi kapitalis yang beralih dari satu bentuk ke satu bentuk yang lain. Ini bukan menghairankan. Apa yang menjadi masaalah disini ialah proses peralihan ini datang mendadak kepada manusia Melayu. Dalam masa satu jenerasi – tiga puluh tahun - kaum tani Melayu telah berubah dari bercucuk tanam untuk menyara hidup kepada penjual tenaga untuk membeli makanan.

Ekonomi wang ringgit yang dipekenalkan oleh sistem kapitalis ini telah membawa nilai-nilai baru. Manusia Melayu kini berhadapan dengan gelombangan pasang surut ekonomi kapitalis dunia. Manusia Melayu tidak lagi tinggal bersendirian dalam tempurong suasana kampong yang aman permai.

Perubahan mendadak ini telah melahirkan kekacauan budaya. Ianya juga melahirkan kekacauan nilai. Ianya juga melahirkan kekacauan jati diri. Ketiga-tiga kekacauan ini sedang berlaku sekarang ini. Semua manifestasi dari kekacauan ini dapat kita lihat. Setiap hari jika kita memberi perhatian yang rapi maka apa yang kita baca dari akhbar atau ada yang kita dengar dari radio atau lihat dikaca tv – adalah manifestasi dari kekacauan ini. Apa yang dipanggil masaalah sosial itu sebenarnya adalah manifestasi kekacaun nilai manusia Melayu.

Ekonomi kapitalis ini telah menobatkan hak individu lebih tinggi nilainya dari hak orang ramai. Hak individu lebih dihormati dari hak kelompok. Ekonomi kapitalis ini telah membuat ukuran dan rujukan bahawa kesempurnaan hidup dan kejayaan hidup akan dinilai dengan jumlah harta benda yang dimiliki. Susuk tanpa pemilikan akan di cap sebagai susuk yang gagal.

Kerana ini kita lihat manusia Melayu ketika ini dalam keadaan bagitu kacau sekali. Jiwa dan hati nuraninya sedang dirobek-robek oleh keadaan sekeliling. Zaman hidup aman damai tanpa penggunaan wang ringgit yang banyak masih lagi dalam ingatan. Nilai kampong yang penuh dengan berbudi bahasa kini dalam peralihan. Nilai ini sedang bertembung dengan nilai ringgit dan dinar.

Hasil pertembungan ini, sadikit demi sadikit nilai budi murni manusia Melayu terhakis. Sadikit demi sedikit nilai kejujuran yang dimiliki oleh manusia kampong lupus. Kuasa ringgit dan dinar cukup ampoh. Kuasa ringgit dan dolar telah dapat menengelamkan nilai kemanusiaan yang dimiliki oleh manusia Melayu. Nilai ini mewajibkan manusia Melayu berlumba dan bersaing. Manusia Melayu diwajibkan untuk merebut peluang ekonomi duit ringgit kalau tidak mereka akan dilihat gagal.

Selama lebih dua puluh tahun ini , proses pembudayaan manusia Melayu cukup kacau bilau. Dasar siasah dan ekonomi yang diajukan oleh United Malays National Organistation ini adalah dasar kapitalisma – pasaran terbuka. Kekacauan nilai manusia Melayu ini bertambah parah apabila dalam hal pembudayaan United Malays National Organisation telah memperkukuhkan teras kefeudalan Melayu lama. Simbol dan upucara feudal diperkukuh dikalangan masyarakat Melayu.Ini bertujuan untuk memastikan manusia Melayu tidak akan melarikan diri dari jaringan perangkap politik United Malays National Organisation.

Dari satu segi manusia Melayu diajak masuk ke dalam budaya ekonomi kapitalis pasaran bebas. Dalam satu segi yang lain mereka diperlukan taat setia kepada United Malays National Organisation sebagai payung feudal untuk manusia Melayu berteduh. Kecelaruan ini melahirkan kesakitan yang amat sangat.

Justeru hari ini kita melihat adanya Melayu yang ingin menjadi Arab. Ini adalah jalan senang untuk tafsiran jati diri kemelayuan mereka. Mengikut takrifan mereka menjadi Arab/Melayu/Islam ini adalah benteng pertahanan jati diri dari serangan kapitalis global. Dalam masa yang sama kita melihat Melayu yang gaya hidupnya cukup kosmopolitan yang bebas dari ciri-ciri nilai Melayu tradisional.

Hakikatnya nilai majoriti manusia Melayu hari ini amat kacau. Kejujuran, budi bahasa and tulus ikhlas semakin berkurangan. Ampu bodek dan bermuka muka menjadi budaya harian. Kalau dahulu : Kata akan di kota sebagai pegangan budaya Melayu. Kini kata wajib disadur dengan ringgit dan dolar. Semua ini adalah nilai-nilai yang dilahirkan oleh budaya sistem ekonomi kapitalis.

Pada awal tahun 2010 ini krisis nilai manusia Melayu telah sampai ke satu kemuncak persimpangan. Manusia Melayu di Malaysia pada thun 2010 ini sedang di uji sama ada dalam roh kemelayuan mereka ada atau tidak lagi tersimpan nilai-nilai kejujuran. Apakah manusia Melayu boleh bercakap benar. Apakah manusia Melayu itu akan tahu apa yang hak dan apa yang batil.

Ujian yang saya maksudkan ini ialah ujian yang didatangkan oleh kes Anwar Ibrahim. Kes Anwar Ibrahim yang ke dua ini akan menguji manusia Melayu dengan nilai-nilai kemelayuan mereka hingga ke akar umbi. Saya takrifkan sebagai ujian kerana apabila kes ini dibuka di mahkamah nanti maka seluruh warga Malaysia dapat membaca dan menilai apa sebenaranya disebalik pembicaraan kes Anwar Ibrahim ini.

Manusia Melayu akan diuji sama ada mereka berani berkata benar apabila melihat fakta yang terpampang di hadapan mata mereka. Atau mereka memileh untuk menjadi manusia yang tidak jujur untuk terus menipu diri sendiri kerana kepentingan ekonomi.

Ujian yang akan sampai ini adalah ujian terahir untuk tamadun Melayu. Ujian ini adalah ujian nilai tentang harga budaya bangsa, jati diri bangsa dan masa hadapan tamadun negara bangsa. Di kemuncak persimpangan ini semua manusia Melayu - tua dan muda - wajib melihat dan menilai diri mereka sendiriDiakhir ujian ini jiwa halus manusia Melayu akan bertanya sendiri apakah maksud kata-kata ini : Bercakap benar didalam sebuah negara yang penuh dengan kezaliman dan penindasan ialah satu jihad. Bercakap benar dalam sebuah negara kuku besi adalah langkah revolusi. (TT)
FROM http://tukartiub.blogspot.com/

Isnin, Mac 22, 2010

Wan Junaidi akui minta MP Padang Serai ‘balik estet’ tapi....


Oleh G. Manimaran dan Adib Zalkapli

KUALA LUMPUR, 22 Mac — Di sebalik suasana hangat sepanjang sidang Parlimen Rabu lalu dengan ‘perang mulut’ di kalangan wakil rakyat, timbalan speaker dan ahli-ahli Parlimen mengeluarkan kenyataan berbaur rasis tanpa mereka sedari.

Penyata rasmi diperoleh dari laman web Parlimen menunjukkan, Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata orang Melayu pernah tinggal di kawasan hutan sebelum pelaksanan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Abdul Rahman pula direkodkan meminta Ahli Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan sama ada mahu kembali ke estet — kata-kata yang dilihat sebagai satu tanggapan perkauman.

Situasi ini berlaku ketika Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang membahaskan titah ucapan diraja.

Tajuddin mencelah ucapan Anwar dengan mempersoalkan pendirian Ketua Umum Pakatan Rakyat itu terhadap dasar ekonomi pro-Melayu dan untuk menjelaskan bahawa ia sebenarnya telah berjaya mengubah taraf hidup orang.

“Mari kita berbincang berdasarkan kepada fakta. Okey bincang soal Dasar Ekonomi Baru, Yang Berhormat Permatang Pauh menafikan tentang kejayaan Dasar Ekonomi Baru.

“Yang Berhormat, berapa ramai orang yang telah berjaya dibandingkan dahulu dengan sekarang. Mungkin tidak semuanya kaya, takkan semuanya hendak jadi jutawan, ‘billion one’ tetapi kalau kita lihat keadaan ekonomi orang Melayu dibandingkan dahulu dengan sekarang ibarat bumi dengan langit. Ini kita boleh lihat sendiri, kenapa kita nafikan ini semua, kita tidak minta pun pujian, kita tidak minta kredit ‘but this is the reality of today’, Melayu tidak lagi duduk dalam hutan, duduk di atas pokok, duduk...,” katanya.

Ketika itu, Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming dari DAP pula bangun sambil berkata, “siapa cakap Melayu duduk dalam hutan? Umnolah.”

Tindakan itu memaksa Wan Junaidi meminta beliau agar duduk.

Gobalakrishnan pula cuba untuk menyertai suasana yang mula hangat itu tetapi mikrofonnya ditutup.

Ia disusuli dengan kenyataan Wan Junaidi, “Yang Berhormat Padang Serai kalau ada hendak balik estet, baliklah sekarang.”

Kenyataan Wan Junaidi diiringi tepukan beberapa wakil rakyat manakala Gobalakrishnan didengar berkata, “balik.”

Bagaimanapun tidak pasti sama ada ia merujuk “balik” atau “baik”.

Ketika Timbalan Speaker berkata sekiranya wakil-wakil rakyat meneruskan sikap macam itu Parlimen perlu diubah sebagai tempat budak-budak, Gobalakrishnan menambah, “mana ada orang Melayu duduk dalam hutan.”

Ketika dihubungi, Wan Junaidi mengesahkan kenyataan yang dibuat beliau tetapi menegaskan, tidak bermaksud mahu menyinggung perasaan mana-mana pihak.

“Ia sama seperti meminta orang Melayu supaya ‘balik kampung,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Wan Junaidi memberitahu kenyataan beliau itu tidak harus dilihat di luar konteks, sebaliknya harus dibaca bersama pertukaran kata-kata lisan semasa sidang.

Dalam pada itu, Gobalakrishnan pula memberitahu The Malaysian Insider bahawa beliau kecewa jika benar timbalan speaker mengeluarkan kenyataan itu.

Bagaimanapun beliau mengakui tidak dengar dengan jelas kenyataan Wan Junaidi dan oleh itu mahu meneliti pekrara itu hari ini sebelum menentukan tindakan susulan.

“Saya perlu meneliti penyata rasmi terlebih dahulu pada hari Isnin (hari ini) dan akan meminta kenyataan itu dikeluarkan jika benar timbalan speaker menggunakan kata-kata itu,” kata wakil rakyat penggal pertama itu dari Parti Keadilan Rakyat.

Beza antara Umno, PKR dan PAS


M Faqih
POLITIC is the art of possible kata ahli politik Jerman, Otto Von Bismarck.

Mungkinkah kerana berpegang kepada falsafah itu tiga anggota parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertindak keluar parti.

Terakhir anggota Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri, 65 mencuba falsafah itu. Sebelumnya Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim (Bayan Baru) dan Tan Tee Beng (Nibong Tebal).

Manakala anggota parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin pula dipecat sebagai ahli parti. Sekarang jumlah anggota parlimen PKR tinggal 27 orang.

Rakan-rakan sekutu lain dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP kekal 28 kerusi dan PAS juga bertahan 23 kerusi. Pada awalnya jumlah anggota parlimen yang menang atas tiket PAS ada 24 kerusi, namun Datuk Ibrahim Ali enggan mengakui hakikat itu.

Jadi PAS terus kekal dengan 23 kerusi biar pun ada pertambahan dengan satu kerusi di Kuala Terengganu pada Januari 2009.

Politik ikut cuaca juga melanda wakil rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun). Mereka lebih ramai yang sudah beralih angin.

Segala cerita bermula di Perak pada awal tahun lepas. Dua Adun PKR iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Osman Jailu (Changkat Jering) dilaporkan hilang, tiba-tiba mereka muncul bersama Datuk Seri Najib Razak.

Turut hilang Adun DAP, Hee Yit Fong (Jelapang). Amalan politik mereka menepati ramalan Otto Von Bismarck, segala kemungkinan boleh berlaku. Benarlah dikatakan ia seumpama cuaca.

Jamaluddin, 53, sebelum itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perladangan.

Manakala Osman, 58, ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Perak.

Mereka menghadapi tuduhan rasuah melibatkan kelulusan sebuah projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar. Perbicaraan kes mereka didengar di Mahkamah Sesyen bermula 10 Februari 2009.

Ekoran agenda turn about itu kerajaan Pakatan Rakyat Perak tumbang.

Maka kedudukan PAS, DAP dan PKR di Dun Perak merosot kepada 27 kerusi iaitu sama dengan jumlah dimenangi Barisan Nasional. Masing-masing ada 27 kerusi.

BN cuma bernasib baik apabila Jamaluddin, Osman dan Hee menyatakan secara lisan kepada Sultan Perak untuk menyokong BN dan tidak lagi Pakatan.

Isu tersebut terheret sehingga ke peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Akhirnya hakim memutuskan Sultan berhak melantik Menteri Besar baru biar pun di luar prosedur persidangan Dun.

Keputusan itu biar pun dipertikaikan banyak pihak, namun mengesahkan Pakatan Rakyat hilang segala kuasa di Perak.

Kemudian sindrom menari ikut cuaca menjangkiti Selangor apabila seorang lagi Adun PKR hilang. Adun Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah dikatakan hilang selama lima hari.

Kemudian muncul dengan menyatakan pendirian keluar dari parti yang memenangkannya untuk bergelar wakil rakyat.

Adun Pelabuhan Klang itu membuat pengumuman di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Sejak menang pada Mac 2008 beliau dikatakan menimbulkan masalah kepada parti. Dia didakwa tidak menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Sindrom serupa menjangkiti pula Kedah apabila Adun Lunas, Mohd Radzhi Salleh juga membuat keputusan nekad keluar PKR.

Semua wakil rakyat yang keluar parti hanya menyatakan menjadi wakil bebas dan bukan menyertai Umno.

Berlainan dengan bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohd Fairus Khairuddin apabila mengumumkan menyertai Umno.

Tindakannya tidak mampu membantu Umno kerana dia datang sebatang kara dan tiada title YB bagi membolehkan harga dirinya melonjak tinggi.

Fairus meninggalkan kerusi Penanti kepada Dr Mansor Osman. Akhirnya Fairus pergi dengan harga yang tidak mahal. Sekadar selendang silat yang mampu diberi kepada Najib.

Mungkin apa yang menyebabkan Fairus berundur kerana desakan pimpinan PKR termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sebelum itu sudah bertiup kencang bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang terbabit dikatakan sukar ditemui rakyat.

Berita sedemikian seperti sukar dinafikan. Tanyalah sesiapa pun di Pulau Pinang, mereka mengeluh apabila disebut nama Fairus.

Beberapa penduduk di Nibung Tebal mengakui sukar untuk menemui Fairus ketika menduduki jawatan nombor dua di negeri berpulau itu.

“Janji banyak tidak ditepati. Janji hendak datang, akhirnya batang hidung tak nampak,” kata seorang penduduk ketika ditemui di sebuah masjid di Nibung Tebal dua tahun lalu.

Politik yang dianggap seni serba kemungkinan tersebut juga menghempap mantan Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim.

Ketika dia datang ke Kota Bharu akhir tahun lepas, tidak ramai yang kenal.

Jauh berbanding tokoh politik PKR yang lain.

Beliau nampak sunggul biar pun berada di atas pentas pada konvensyen PKR Kelantan ketika itu. Wajahnya tidak nampak ceria.

Mungkin kecamuk jiwanya untuk meninggalkan parti sudah berombak ketika itu. Cuma mungkin Anwar dan pimpinan lain PKR belum dapat meneka.

Dan hari ini dengan wajah kusam dia hadir pada sidang media Zahrain dan Tan ketika mengumumkan keluar daripada PKR.

Bukan sekadar itu beliau pula mendakwa lebih 10 wakil rakyat akan keluar parti.

Ekoran episod tersebut 12 wakil rakyat PKR mengadakan sidang media menyatakan mereka akan terus kekal bersama parti.

Salehuddin membiarkan dirinya menjadi mangsa cemuhan apabila sanggup tampil pada sidang media dua bekas anggota parlimen PKR terbabit.

Situasi itu mengundangkan pelbagai andaian yang tidak mampu ditolak Salehuddin. Maka ada orang mendakwa dia menjadi segala dalang dalam episod politic is the art of possible.

Telahan berkenaan biar pun mampu dijawab dengan 1001 alasan, namun persepsi untuk menggambarkan siapa sebenar Salehuddin sudah terjawab.

Ketika art of possible sedang menggoncang teratak PKR, PAS nampaknya lebih kukuh kerana bertunjang akar agama.

Pengalaman kerajaan PAS di Kelantan yang dipisahkan dengan satu kerusi, namun mampu bertahan sepenggal tiada tolak bandingnya. Cuba bayangkan PAS - 23 dan BN – 22, PAS hanya seperti telor di hujung tanduk sebelum Mac 2008.

Namun telor PAS tidak retak dan apa lagi bergolek jatuh. Bukan tiada umpan berjuta ringgit seperti berlaku sekarang, sebaliknya berguni wang tunai cuba disogok kepada Adun PAS ketika itu.

Dalam situasi politik baru sekarang, nampaknya politik ikut cuaca seperti disebut Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berlaku kepada parti berteras agama.

Menari ikut cuaca boleh berlaku kepada parti berteras nasionalis dan ideologi. Ideologi dan nasionalisme ciptaan manusia, bukan agama yang diturunkan dari langit.

Inilah sebenarnya yang membezakan di antara PAS, Umno, PKR dan DAP. Jelaslah agama tidak merubah seseorang menjadi seperti cuaca.

Sabtu, Mac 20, 2010

Saat- saat kematian



MUKADDIMAH

Baru2 ini kita dikejutkan dengan beberapa kematian. Bermula dengan kematian syeikh Azhar syeikh Tantawi di airport arab saudi, kemudian dengan kematian pelajar perubatan tanta Ahmad sarhan bin Ahmad khan dan semalam saya dijemput utk baca tahlil, yasin dan sedikit peringatan di imarah junior perubatan kerana kematian ayah seorang pelajar.Oleh itu saya menulis beberapa kisah kematian pemaksiat dan orang yamg mulia untuk dijadikan pengajran bersama. Semoga ini menjadi titik keinsafan kepada kita semua.

KEMATIAN SEORANG PEMAKSIAT

Seorang lelaki telah terlibat dengan eksiden. Datang seorang lelaki yang lain , mendapatinya dia dalam keadaan nazak. Lalu diajar mengucap dua kalimah syahadah tetapi jawapannya:

“AKU DALAM SAQAR, AKU DALAM SAQAR…” DAN TERUS MATI

Lalu lelaki tadi bertanya kepada ahli keluarga si mati tentang si mati. Mereka menjawab “ Dia tidak sembahyang.”

Benarlah Firman Allah swt:


مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ


"Apakah yang memasukkan kamu ke dalam Saqar (neraka)?" Mereka menjawab: "Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan shalat.” (42 – 43 : al-Muddathir)

Ulasan: Oleh itu kepada pemaksiat2 tegar bertaubat. Walaupun kecik dosa tadi cthnya chating tak syarie, sembang laki pempuan tak syarie tapi boleh membawa kpd dosa besar. Ulama kata:
لا صغيرة مع الإصرار Bukannya dosa kecik lagi kalau dah buat sokmo2 (selalu)
Ada dua orang yang nazak masih menyanyi walau diajar mengucap di Arab saudiNak ke kita mati tengah bergayut laki pempuan.

KEMATIAN SYEIKH KANDAHKLAWI

Pada malam kematian seorang ulama hadis Muhaddis Muhammad Ilyas al-Kandahlawi bertanya kepada para hadirin “Adakah hari ini hari khamis?” Mereka menjawab “Ya” Beliau bertanya lagi “ Cuba kamu lihat pakaianku adakah ia bernajis?” Mereka menjawab “ Ianya bersih.” Lalu beliau pun turun dari katil, berwuduk dan solat isya berjemaah dalam bilik. Beliau berwasiat kepada hadirin supaya memperbanyakkan doa dan menjampinya. Beliau berkata:


ليكونن اليوم عندي أناس يميزون بين فعل الشيطان وفعل ملائكة الرحمن


“Hendaklah pada hari ini orang-orang yang berada di sisiku orang-orang yang dapat membezakan diantara perbuatan syaitan dan perbuatan malaikat.”

Pada tengah malam dia dalam keadaan tidur-tidur ayam dan sentiasa mengucapkan lafaz Allahu Akbar.

Ketika waktu sahur, beliau meminta anaknya Muhammad Yusuf datang. Beliau berkata kepada anaknya:

“Marilah duduk bersamaku hai yusuf, aku tidak dapat hidup selepas malam ini dan aku akan pergi beringkat.”

Akhirnya beliau meninggal dunia sebelum azan subuh pada malam tersebut. Ia adalah pada 21 Rejab 1363 hijarah.

AKIBAT SUKA BERBOHONG DALAM CERAMAH

Abul Fath Muhammad bin Muhammad bin Ali al-Harimi (tahun 514 h)seorang pemberi kuliah, nasihat dan tazkirah yang sangan sedap penyampaiannya. Namun banyak yang disampaikan itu benda yang salah dan bohong. Ketika dia hampir mati, dia telah mengerang sakit yang amat sangat. Lalu ada yang berkata kepadanya “Berjumpa memang amat sukar.” Lalu as-Safdi berkata:


لا سيما قادم يكذب على الله تعالى وعلى جبريل


“Lebih-lebih lagi orang yang berjumpa Allah itu berbohong atas nama Allah dan Jibril as.”

Ulasan: Bentuk2 pembohongan yang biasa dalam tazkirah dan kuliah agama yang amat berleluluasa sekarang adalah:
1. Mengeluar hukum sendiri .
2. Berkata dosa dan pahala tanpa dari sumber ulama muktabar.(contohnya dlm surat kabar, ada ustaz kata dosa besar pegang babi)
3. Mentafsirkan ayat atau hadis ikut kefahaman sendiri tanpa merujuk tafsiran ulama muktabar.
4. Menukilkan hukum dengan syak. (cthnya saya rasa, agaknya boleh kot)
5. Menyatakan pandangan agama dalam semua aspek mengikut pikirang sendiri.

AKU BERSEDIA SEJAK 50 TAHUN

Diceritakan bahawa Malaikat Maut datang kepada seorang lelaki soleh untuk mencabut nyawanya. Lalu lelaki itu berkata:


مرحبا أنا والله منذ خمسين سنة أتأهب لك


"Selamat datang , demi Allah aku menanti bersedia untuk menemui mu sejak 50 tahun lepas.”

PESANAN TERAKHIR SAIDINA ALI

Suatu hari Hasan cucu Nabi saw bertemu dengan ayahnya saidina Ali ra yang sedang sakit nazak. Ini menyebabkan Hasan mengeluh. Ayahnya pun berkata “ Adakah engkau mengeluh?” Lalu Hasan menjawab “Wahai Amirul Mukminin bagaimana aku tidak mengeluh sedangkan ini adalah hari terakhir mu di dunia dan hari terawal mu di akhirat.” Saidina Ali ra pun berpesan:


ألا أعلمك أربع كلمات إن حفظتهن ففيهن غناء الدهر وإن ضيعتهن ففيهن فقر الأبد؟ يا بني لا غناء مثل العقل ولا فقر أشد من الجهل ولا وحشة أشد من العجب ولا أنس مثل حسن الخلق


“ Adakah engkau hendak aku ajarkan empat ayat yang mana jika engkau menjaganya pasti engkau akan kaya selamanya dan sekiranya engkau sesiakannya pasti engkau akan faqir selamanya? Wahai anak ku tidak ada perkara yang lebih mengayakan dari akal fikiran dan tidak ada yang memfakirkan lebih dari kejahilan. Tidak ada yang lebih menggelisahkan dari sifat perasan(rasa hebat) dan tidak ada yang menyeronokkan lebih dari akhlak yang baik.”

SYEIKH AHMAD YASIN : KAMI MENUJU KE ARAH SYAHADAH (MATI DI JALAN ALLAH)

Anaknya Muhammad telah menceritakan bahawa tiga jam sebelum serangan ke atas beliau, beliau telah memaklumkan kepadanya terdapat pesawat peninjau kepunyaan Israel di udara. Namun bapanya membalas:



نحن نسعى إلى الشهادة وإنا لله وإنا إليه راجعون


“Kami menuju kepada syahadah , kami berasal dari Allah dan akan kembali pada Allah.”

Beliau adalah pengasas kepada gerakan HAMAS di palestin. Ketika beliau hendak menunaikan solat subuh berjemaah di masjid (beliau yang buta dan lumpuh) , pihak tentera Israel telah membunuhnya melalui serangan udara. Ini berlaku pada bulan safar tahun 1425 hijrah.

Ulasan: syeikh yang sudah tua, buta dan lumpuh namu bersemangat untuk solat subuh berjemaah di masjid. Namun mahasiswa2 islam hanya sedikit sahaja yg mampu ke masjid dan memenuhi saf hadapan. sebab apa? sebab pemuda2 sekarang sudah tua imannya, buta hatinya dan lumpuh amalannya. Yang lebih menyedihkan orang yang tak mampu berada di saf hadapan pada waktu subuh ni adalah orang yang bercakap dan berkerja utk Islam. Apa tujuan mereka sebenarnya?


KESIMPULAN

Marilah bersama merenung bagaimana saat akhir kematian kita. Inilah persediaan yang perlu kita buat. Segala apa yang kita rancang di dunia adalah perkara yang tak pasti tidak kira urusan study, kerjaya, perkahwinan, sukan dan lain-lain. Yang pasti kita akan mati. Oleh itu marilah kita sama-sama menginsafi diri dan kembali pada tuhan. Masanya belum terlambat selagi nyawa belum sampai ke leher. Janganlah bertangguh kerana kita tidak tahu bila saat kita dicabut nyawa.

Rujukan: Lahzat qablal maut oleh Muhammad Khair Ramadan
sumber:http://akhisalman.blogspot.com

Alamak, tikus pun nak masuk politik

Ini kisah si ahli politik,
Siang malam tergedik-gedik,
Demi jawatan sanggup berpekik,
Biarlah dirinya yang akhirnya dilantik.

Kawan-kawan memanggilnya Tikus,
Nafsunya mak oii… amatlah rakus,
Apabila sedikit cabaran tercetus,
Mulalah dia tunduk menikus.

Musuh Tikus baik orangnya,
Politik bersih menjadi amalannya,
Gelarannya “Pelopor”, hebat ideanya,
Ingin memajukan nusa dan bangsa.

Bagi Tikus, rasuahlah kawannya,
Makan duit rakyat, dialah juaranya,
Sambil berdiri memakai celana,
Tikus menari tak ingat dunia.

Pelopor cuba membanteras rasuah,
Orang benci dia tak kisah,
Dia memang politikus bermaruah,
Dia tak mahu jiwanya terjajah.


Ashadi Zain

Jumaat, Mac 19, 2010

mStar Online : Zahrain Pembohong Besar

mStar Online : Zahrain Pembohong Besar

Nik Aziz selar pemimpin politik buka pekung senkeluar parti diri bila



KOTA BAHARU, 19 Mac — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat menyelar tindakan sesetengah pemimpin politik yang mendedahkan keburukan pemimpin lain atau ketuanya di khalayak umum apabila keluar parti.

Menurut Menteri Besar Kelantan itu, sepatutnya jika anggota parti yang tidak suka kepada pemimpinnya, ia boleh diselesaikan di peringkat dalaman mengikut prosedur dalam sesebuah pertubuhan, sama ada melalui mesyuarat agung atau sebagainya.

“Mendedahkan keburukan bekas pemimpin kepada orang lain di khalayak umum perbuatan tidak berakhlak dan tidak bertamaddun,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramahnya di Dataran Ilmu, di sini, hari ini.

Nik Aziz diminta mengulas tindakan Anggota Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang mendedahkan kepincangan dalam Parti Pakatan Rakyat (PKR), membabitkan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, apabila keluar dari parti itu dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Terbaru, Zahrain mendedahkan nama lapan anggota Parlimen yang disebut-sebut akan melompat parti ke PKR bagi menjayakan rancangan pembangkang untuk mengambil alih kerajaan pusat pada 16 Sept 2008.

Nik Abdul Aziz berkata masyarakat bukan Islam akan memerhatikan bagaimana

buruknya politik orang Melayu apabila bertelagah sesama sendiri.

Beliau mahu rakyat mencontohi cara berpolitik pemimpin MCA kerana mereka memlilih dan menjatuhkan seseorang pemimpin melalui pemilihan di peringkat dalaman parti.

Nik Aziz berkata, anggota parti mempunyai saluran tertentu untuk menjatuhkan mana-mana pemimpin yang mereka tidak suka dan bukan cara mendedahkan keaiban pemimpin itu di khalayak umum.

“Ini cara tidak kena dan peluang masih terbuka untuk pihak yang melakukan perbuatan itu kembali ke pangkal jalan untuk bertaubat daripada melakukan kesalahan itu,” katanya.

Mengenai kenyataannya dalam ceramahnya sebelum itu yang mengajak rakyat Kelantan beramai-ramai menyertai perarakan di Terengganu esok anjuran badan bukan kerajaan (NGO) bagi menyerahkan memorandum tuntutan royalti minyak kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, Nik Aziz berkata beliau tidak dapat hadir ke majlis itu kerana ada urusan lain.

Menurutnya, rombongan Kelantan ke majlis itu akan diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa.

Saya anak jantan, Ku Li nafi dakwaan Zahrain



Oleh G. Manimaran
KUALA TERENGGANU, 19 Mac — Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menafikan beliau merupakan salah seorang daripada lapan anggota Dewan Rakyat yang disebut-sebut sepatutnya menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menjayakan rancangan Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih kerajaan pusat pada 16 Sept 2008.

“Itu tidak betul,” kata beliau ketika mengulas kenyataan Ahli Parlimen Bebas dari Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim (gambar) semalam yang mendedahkan nama lapan Ahli Parlimen yang disebut-sebut akan melompat ke PKR bagi menjayakan rancangan PR untuk mengambil alih kerajaan pusat ketika itu.

“Kalau saya nak masuk mana-mana parti, tak tunggu dia isytiharlah, saya ini orang jantan,” kata beliau ketika ditemui selepas majlis Dialog Perdana Isu Royalti dan Solat Hajat di sini malam tadi.

Ketua Umno Gua Musang ini berkata, beliau tidak pasti sama ada Zahrain, bekas pengerusi PKR Pulau Pinang, berbohong ataupun tidak tetapi “pastinya saya tidak terlibat” dalam perkara itu.

Tengku Razaleigh juga menafikan beliau ada didampingi pihak berkenaan agar kelaur Barisan Nasional (BN) untuk menyertai PKR bagi membolehkan PR membentuk kerajaan persekutuan kira-kira tujuh bulan selepas pilihan raya umum ke-12.

Ketika ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan perundangan terhadap Zahrain, Tengku Razaleigh berkata: “Buat apa?”

Pun begitu Tengku Razaleigh mengakui beliau terkejut dengan laporan itu.

“Ya, ini baru saya dengar,” kata beliau yang sebelum itu pada majlis dialog tersebut mengulangi pendiriannya bahawa akan bersama dengan parti yang dianggotainya sekarang untuk menyuarakan kepentingan rakyat.

Malah ketika berdialog ada peserta mengesyorkan agar beliau mengetuai PR ekoran pengalamannya bersama Gagasan Rakyat pada awal 1990-an.

Selain Tengku Razaleigh, nama yang turut disebut Zahrain ialah Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan), Datuk Seri Anifah Aman (BN-Kimanis), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Chua Soon Bui (Bebas-Tawau) dan Datuk Eric Majimbun (Bebas-Sepanggar).

Nama lain ialah Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) dan Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (BN-Jerantut).

Nama mereka disenaraikan oleh Zahrain ketika menyambung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

Zahrain juga mendedahkan seorang Timbalan Speaker juga dikatakan akan menyertai PKR.

Kenyataan itu menyebabkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mencelah bertanya “Timbalan Speaker yang mana (Zahrain maksudkan)?” menyebabkan Dewan diselubungi gelak ketawa ahli-ahli Parlimen.

Sehari sebelum itu Zahrain mendedahkan kepincangan PKR dan PR yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zahrain berkata beliau yakin keputusannya keluar parti adalah tindakan tepat kerana tidak mahu sejarah menghukumnya kerana tidak berbuat apa-apa ketika perjuangan PKR dan pakatan pembangkang semakin terpesong menjadi perjuangan peribadi yang sempit.

Tengku Razaleigh juga ditanya tentang pendirian beliau dalam isu royalti minyak selepas muncul pada majlis ceramah perdana di Kota Baru Januari lalu dan terbaru di sini malam tadi.

“Pendirian saya tidak berubah. Saya dah sebut tadi, saya tetap akan mempertahankan kebenaran. Apa nak takut?” katanya.

Kata Tengku Razaleigh, beliau kini rasa lapang apabila dapat menyatakan pendiriannya secara terbuka dalam isu tersebut.

Oleh itu kata Tengku Razaleigh beliau juga tidak rasa kedudukannya tergugat.

“Gugat apa? Saya tidak pegang apa-apa jawatan, saya bukan menteri. Yang rasa tergugat ialah mereka yang memegang jawatan menteri, sebab itu mereka bersikap macam hipokrit,” katanya.

Qazaf: Apa pendirian kerajaan fatwa munafik, fasik


Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 19 Mac: Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf menggesa kerajaan menyatakan pendirian mengenai fatwa Pengerusi Persatuan Ulama Sedunia, Dr. Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi terhadap kes qazaf melibatkan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Yusmadi dalam satu sidang media di lobi Parlimen petang semalam berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom bertanggungjawab menjawab isu itu kerana mengikut fatwa yang dikeluarkan Yusuf, sesiapa yang merancang dalam fitnah tersebut, sama ada secara langsung atau tidak langsung, maka hukumnya adalah munafik manakala sesiapa yang membantu menyebarkan berita fitnah tersebut maka jatuh hukumnya sebagai fasik.

Beliau membuat gesaan itu ekoran soalannya bagi pertanyaan jawab lisan di Parlimen hari ini ditolak oleh pihak dewan atas alasan ianya bersifat subjudis.

"Hari ini soalan saya bagi soal jawab lisan ditolak atas alasan ianya subjudis. Saya kecewa kerana Kerajaan Malaysia kononnya mahu memartabatkan Sistem Kehakiman Syariah dan undang-undang syariah di Malaysia tapi tidak menyatakan pendirian mereka dalam isu ini," katanya.

Pada 11 Mac lalu, Ketua Angkatan Muda Malaysia (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin secara rasmi menyerahkan sesalinan rakaman fatwa Yusuf ke pejabat Perdana Menteri dan kepada Jamil Khir.

Namun sehingga ke hari ini, kedua-duanya masih belum memberikan sebarang respons berhubung rakaman itu.

"Seperti yang diamanahkan Dr Yusuf, Ketua AMK menyerahkan rakaman itu ke Pejabat Perdana Menteri namun selepas seminggu, masih belum apa-apa respons dari Datuk Seri Najib dan Datuk Jamil Khir," katanya.

Beliau berkata, Najib dan Jamil mesti menyatakan pandangan mereka kerana isu itu dapat memberikan implikasi besar kepada masyarakat Islam di negara ini.

Ujarnya, yang mengeluarkan fatwa itu bukan calang-calang orang, sebaliknya daripada tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.

"Ini pandangan daripada tokoh ulama dunia. Ini satu fitnah yang boleh mendatangkan implikasi besar kepada masyarakat Islam. Jadi kerajaan tidak boleh mengatakan pandangan Dr Yusuf ini sebagai mencampuri urusan mahkamah," katanya.

Coca-Cola Pelaburan tidak baik untuk komuniti, kesihatan awam


CAP
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) merasa amat bimbang apabila mendapati Syarikat Coca-Cola akan mendirikan kilang pembotolan minumannya di Negeri Sembilan, Malaysia. Ketika majlis pecah tanah yang diadakan pada 16 Mac 2010 di Bandar Enstek, Nilai, wakil syarikat menyatakan bahawa Coca-Cola akan menguasai pasaran minuman tempatan yang akan mensasarkan lebih daripada 60% penduduk iaitu mereka yang berusia di bawah 30 tahun.

Minuman Coca-Cola itu sendiri sebenarnya tidak elok, ia tidak lebih daripada karbonat, pewarna, asid, perisa, air yang dimaniskan yang berbahaya kepada kesihatan. Syarikat Coca-Cola juga tidak dapat lari daripada kontroversi kerana didakwa mencabuli hak asasi manusia dan alam sekitar di beberapa buah negara.

Tidak dapat dinafikan bahawa minuman ringan yang dipenuhi dengan gula seperti Coca-Cola mempunyai kesan negatif ke atas kesihatan. Malaysia merupakan negara ke-8 pengguna gula tertinggi di dunia dengan purata 26 sudu teh gula sehari diambil oleh setiap rakyat Malaysia.

Ujian oleh CAP mendapati minuman ringan di dalam tin mempunyai kandungan gula antara 4 – 8 sudu teh dan Coca-Cola mengandungi 7 sudu teh gula. Apabila Syarikat Coca-Cola merancang untuk mensasarkan belia Malaysia, kami bimbang akan implikasi kesihatan yang akan dibawa olehnya.

Gula bukanlah sebahagian daripada diet semula jadi kita, jadi walaupun satu tin minuman ringan diambil sehari, ia adalah tidak sihat dan tidak perlu sama sekali. Malah pada hakikatnya terdapat lebih daripada 60 penyakit yang telah dikaitkan dengan pengambilan gula dalam dokumen perubatan. Kerajaan Malaysia melalui kementeriannya menjalankan kempen untuk mengurangkan pengambilan gula. Adalah menjadi satu ironi untuk membenarkan pembinaan kilang Coca-Cola di Malaysia memandangkan ia jelas merendahkan usaha untuk mengurangkan pengambilan gula.

Kami amat bimbang bahawa lebih ramai orang yang akan dijangkiti dengan penyakit yang dikaitkan dengan gula dan obesiti dengan menjemput Syarikat Coca-Cola untuk membina kilang pembotolan di negara ini dan berdasarkan strategi pemasarannya. Adakah kerajaan melakukan penyelidikan yang sempurna sebelum meluluskan pelaburan ini, yang jelas diluluskan secara cepat sepertimana yang dilaporkan bahawa syarikat itu hanya mengambil masa empat bulan selepas perbincangan awal untuk menubuhkan kilang itu di sini.

Bagaimana dengan permintaan untuk air bagi kilang ini? Berapa banyakkah air yang akan digunakan oleh kilang ini dan dari mana sumber air ini akan diambil? Baru-baru ini terdapat laporan berhubung catuan air di Seremban akibat kemarau panjang dan kekurangan hujan di kawasan tadahan air. Kekurangan air ini akan kerap berlaku akibat kesan daripada perubahan iklim.

Selepas kilang Coca-Cola ini mula beroperasi, kami bimbang air yang amat diperlukan oleh orang ramai ini akan dialihkan kepada pihak industri. Perkara ini perlu diambil serius memandangkan Syarikat Coca-Cola mempunyai reputasi yang buruk dalam bentuk konflik dengan komuniti dalam perjuangan mereka untuk mendapatkan air. Jawapan kepada kekurangan air bukanlah dengan membina lebih banyak empangan kerana empangan boleh menyebabkan kesan negatif kepada alam sekitar.

Perjuangan untuk mempertahankan alam sekitar terhadap Coca-Cola di India seharusnya menjadi amaran kepada kita. Amalan Syarikat Coca-Cola di beberapa negeri di India telah mengakibatkan kesukaran kepada komuniti, ia termasuklah kekurangan air yang serius, pencemaran, masalah kesihatan, kelaparan dan kehilangan pendapatan daripada pertanian.

Rekod buruk Coca-Cola tidak terhad kepada India sahaja, ia juga berdepan dengan dakwaan pencabulan hak asasi manusia, pencabulan terhadap buruh dan pencabulan terhadap buruh kontrak di Colombia, Turki, Pakistan, China, Afrika Selatan, dan Guatemala.

Kami berpendapat pembinaan kilang Syarikat Coca-Cola ini akan menjejaskan komuniti, kesihatan awam dan alam sekitar. Sehubungan itu, CAP menuntut agar kerajaan Malaysia membatalkan rancangan untuk membina kilang Coca-Cola di negara ini.

SM Mohamed Idris,

Presiden CAP

Khamis, Mac 18, 2010

Politik sarkas di Malaysia


Angkasanuri

Sarkas merujuk satu tempat kurungan untuk meletakkan haiwan sama ada yang jinak atau liar untuk menjadi tontonan orang ramai. Maka haiwan itu akan menjerit dan melompat dengan gembiranya sambil mengeluarkan bunyi-bunyian yang tidak difahami.

Dalam riuh rendah haiwan di dalam sangkar atau kurungan maka pengunjung akan bertepuk tangan dan bersorak melihat telatah haiwan yang tak berakal itu.

Melihat tingkah laku haiwan yang menjerit dan melompat akan menimbulkan rasa puas orang ramai yang datang melihatnya. Jadi pengunjung merasa berbaloi untuk membayar kerana dapat menyaksikan tingkah laku haiwan dalam sarkas yang menjerit dan melalak tak henti-henti.

Dalam senario yang lain adakah itu perkara yang sama yang diinginkan oleh pengundi apabila memilih wakil rakyat mereka? Cuba menutup kelemahan sendiri dengan menyerang dan mengaibkan orang lain dengan cara tak bermoral dan beretika?

Dalam ilmu psikologi ini digelar 'helah belah diri' atau self mechanism.Lebih teruk lagi tingkah laku tak bermoral ini disokong oleh wakil rakyat lain dengan cara menjerit-jerit dan melolong-lolong tak tentu pasal.

Lebih parah lagi media seperti telivesyen dan akhbar memberi sokongan penuh kepada tingkah laku ala sarkas ini. Malah lebih memalukan lagi media berkenaan iaitu yang selama ini bersekongkol dengan memberi liputan utama pada cerita-cerita seperti dalam sarkas.

Walau bagaimanapun kita wajar berterima kasih kerana dapat menonton aksi sarkas semalam. Ini kerana bagi rakyat dan golongan inteletek serta cerdik pandai dapat menilai tingkah laku wakil rakyat mereka dan memudahkan mereka untuk menolak ahli parlimen seperti itu dalam pilihanraya akan datang.


Rabu, Mac 17, 2010

Ops halal: Penguatkuasa, media dikurung empat jam



Seorang pemilik kilang penyembelihan ayam di kawasan Taman Halal Pedas dekat Rembau bertindak mengurung 12 anggota penguatkuasa dan wakil media selama empat jam di premis itu semasa satu operasi semalam.

Pada kejadian jam 4 petang itu, sekumpulan enam anggota dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan enam daripada Kementerian perdagangan Dalam negeri, Koperasi dan Kepenggunaan membuat serbuan ke atas kilang itu.

Lima wakil media turut bersama dalam operasi itu untuk memeriksa kesahihan logo halal yang digunakan oleh kilang itu.

Bagaimanapun, seorang wartawan dalam kumpulan itu berjaya melepaskan diri lalu meminta bantuan polis.

Seramai 10 anggota polis dari Ibupejabat Balai Polis Daerah Rembau kemudian membebaskan kesemua yang terperangkap.

Ketika ditemui, Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Mohd Amri Abdullah, enggan mengulas mengenai tindakan lelaki berusia awal 40an itu.

"Saya hanya boleh katakan, sijil halal milik kilang ini akan digantung sehingga siasatan selesai," katanya kepada pemberita selepas keluar dari kawasan kilang pada pukul 8 malam semalam.

Sementara itu, wakil media dari TV3, Shamsul Liani Abbas yang terperangkap di kilang itu memberitahu, beliau difahamkan pasukan Jakim dan kementerian terbabit datang dari ibupejabat mereka di Putrajaya selepas menerima maklumat dari Pulau Pinang.

"Di Pulau Pinang, pasukan Jakim telah menyerbu sebuah pasar raya di mana ia menjual ayam yang mempunyai sijil halal JAKIM tetapi sembelihannya diragui," katanya kepada Bernama.

Apabila berjaya mengesan alamat kilang penyembelihan pada bungkusan ayam terbabit, pasukan dari Putrajaya ini telah menyoal siasat pemilik kilang sebelum lelaki itu menjadi berang.

- Bernama

Selasa, Mac 16, 2010

KEDAH NEGERIKU.......Hikayat Sang Katak.





Assalamualaikum..


Maka tersebutlah sebuah kesah dinegara antah berantah di utara peta Semenanjung Buana dan berjiran dengan Negeri Pasir Berdengung. Negeri antah berantah ini juga di panggil Negeri Kedahaq oleh rakyat jelata yang hidup dalam aman damai dan makmur yang di perintah oleh Rakyat Berpakat yang diketuai oleh Mamak Bendahara(bukan mamak Penang). Mamak Bendahara adalah gelaran untuk Negeri Kedahaq. Mamak Bendahara ini bernama Azazam memerintah dengan adil dan saksama walau pun kadang2 suaranya agak berdegaq dan agak kasar didengar oleh panglima2 Istana di dewan Seri Negeri. Tak ada makan suap dan membalun harta negara seperti bendahara sebelumnya. Semua hasil mahsul negeri masuk kekantung perbehandaraan negeri walau pun yang dulu suka masuk kekantung sendiri. Negeri Kedahaq ni walau bukan negeri yang kaya raya kerana tiada cecair hitam dari perut buminya tapi Negeri Kedahaq ni mempunyai hutan rimba yang kaya dengan batang2 kayu yang bernilai tinggi dipasaran seantero buana. Kedahaq juga mempunyai tanah landai yang subur dengan tanam tanaman terutamanya padi dan buah2 kayu yang enak dimakan secara mentah mau pun digoreng atau ditanak.

Arakiannya walau pun dalam keadaan aman damainya negeri Kedahaq ni rupa2nya dicemburui oleh Bendahara lama yang di tolak rakyat jelata semasa pengundian rakyat untuk Negeri Kedahaq yang lalu.Maka Bendahara lama pun memanggil lah panglima2nya yang masih setia untuk berbincang bagaimana nak mengambil semula jawatan tersebut dari Azazam. Maka bermesyuaratlah mereka tujuh hari tujuh malam sehingga lah mencapai 2 purnama. Masih gagal untuk menumbangkan kerajaan Azazam. Berbagai tektik digunakan menggunakan Sperman walau pun ianya bukan superman,menggunakan segala yang ada termasuk juga bekas2 ketua rakyat berpakat. Akhirnya setelah bermesyuarat begitu lama sehingga tumbuhnya janggut dan jambang dek kerana tak sempat bercukur kerana asyik dengan cita2 untuk mengmbil alih negeri Kedahaq maka adalah satu cadangan dari seorang bekas pegawai rakyat berpakat yang bernama Zamilang. Maka cadangannya adalah dengan memberi imbuhan berupa harta rakyat kepada panglima2 Azazam. Zamilang tahu bahawa ada dikalangan panglima Azazam ini yang akan terpengaruh dengan tawaran ini terutamanya Panglima yang menjaga penjuru istana dari rejemen Pasukan keris rencung atau selalu dipanggil PKR. Sayugianya dimaklumkan kepada pembaca budiman rancangan ini telah berjaya memerangkap seorang panglima yang berjaga didaerah Lanas. Maka melompatlah panglima Lanas kedalam kumpulan gerombolan ini. Walau pun seorang melompat masih belum mencukupi untuk mengambil alih Kedahaq. Maka peninglah kepala Bendahara Lama memikirkannya..........

Bendahara lama tau untuk mengambil alih Kedahaq memerlukan 3 atau 4 orang panglima lagi untuk mencukupkan kurum, Dia akan mengambil contoh bagaimana Negeri Pasir Berdengung dirampas sehinggakan dewan seri negeri diambil alih menyebabkan Bendahara yang berkuasa waktu itu terpaksa bermesyuarat dibawah pokok. Bendahara lama tahu perkara ini akan dihalalkan oleh Gabenor Gajet yang memerentah Semenanjung Buana. Gunalah apa cara sekali pun janji tampuk pemerintahan Kedahaq dirampas. Telahan Bendahara Azazam pun bernah berkata hampa nak tawan Kedahaq pun tawan lah kerana dah tak larat nak halang lagi panglima2nya dari melompat dan menyeberang. Maka terketaq ketaq lah kegembiraan Bendahara lama untuk mencuba sehingga berjaya. Maka semakin dicubanya sehingga sanggup menawarkan seberapa banyak yang diminta waima bendahara lama perlu meminta pada perbehendaraan Gabenor Gajet. Maka dihantarlah Panglima Lanas untuk berhubung dengan teman2nya dari Pasukan Keris Rencung untuk sama2 melompat dan menjadi kaya sepertinya. Panglima Lanas berkata kepada mereka lompatlah kerana rakyat tak akan marah dan membuat perkara yang tidak diingini kerana Panglima ini semua akan dijamin selamat dibuana ini. Bila termakan saja pujukan ini dan segala impian mereka untuk menjadi kaya raya terlaksana maka melompat lompatlah mereka semua kegembiraan. Lompatan mereka lebih tinggi dari Panglima Lanas kerana imbuhan mereka lebih tinggi dari Panglima Lanas...maka akan tumbanglah Negeri Kedahaq jatuh ketangan Bendahara Lama dari Kumpulan Gerobolan yang ditolak Rakyat.....lalu aku sebagai tentera terus menghunuskan keris........

Tiba2..........Bang.....bang....bangun bang...dah nak maghrib ni...tu la sapa suruh tidoq petang2 kan dah meracau.....Aku pun duduk termangu mengenangkan mimpi di petang hari tadi. Ada kah akan menjadi kenyataan. Mungkin dalam seminggu dua ni....aaaah lantak lah. Aku bukan ada kepentingan apa, Aku bukan ahli politik atau ahli majlis. Aku bukan ada jawatan pun. Aku cuma pemerhati Bebas macam ADUKA TARUNA. Aku cuma maukan yang terbaik saja yang memerintah Negeri dan Negara. Lantaklah kalau Katak2 PKR ni nak melompat. Esok depa jawab lah di akhirat kelak.....atau depa tunggulah rakyat mengajar mereka pada pilihanraya ke 13 nanti..........

LALU AKU TERFIKIR APAKAH AkAN MENJADI KENYATAAN MIMPIKU TADI........ Jikalau tida beruk masakan pokok bergoncang. Cuaca pun dah hujan balik maka Katak2 pun mulalah berbunyi.......ong..ooooong....oooooooooooongg.



Jin brabus

Dewan Undangan Negeri dilanda banjir




Oleh: WADIASSOFI JAAFAR


ALOR SETAR, 14 Mac: Tempat kunci nozel terkeluar didakwa menjadi punca air bertakung di dalam Bilik Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah di Blok A, Wisma Darul Aman, di sini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kedah di Jalan Tun Razak yang menerima panggilan kecemasan pada jam 8.30 pagi menghantar enam anggota bersama sebuah jentera bomba dan sebuah motor rim.

Menurut Pegawai Bomba, Wan Jamaludin Omar, pihaknya mengambil masa selama sejam untuk mengepam air yang bertakung di bilik berkenaan.

“Kami mendapat maklumat yang mengatakan bahawa tempat kunci nozel terkeluar didakwa menjadi punca air bertakung di dalam Bilik Mesyuarat Dewan Undangan Negeri,” katanya.




Parlimen: Perang mulut pertikai 1Malaysia, Malaysia Sederhana


TERKINI
Oleh Clara Chooi dan Shazwan Mustafa Kamal
KUALA LUMPUR, 16 Mac — Bahang sidang baru Parlimen dirasakan pagi ini dengan wakil Barisan Nasional dan pembangkang bertikam lidah berhubung konsep 1Malaysia diperkenalkan Datuk Seri Najib Razak dan Malaysia Sederhana oleh DAP.

Pertikaman lidah bermula apabila Najib menyifatkan konsep Malaysia Sederhana atau ‘Middle Malaysia’, yang diperkenalkan DAP pada persidangan kebangsaannya di Ipoh baru-baru ini, sebagai satu penjenamaan semula konsep “Malaysian Malaysia”.

“Malaysian Malaysia adalah satu kegagalan. Apabila sesuatu gagal, apa lagi harus dilakukan selain menjenamakan semula (konsep),” kata beliau dengan senyuman di Dewan Rakyat pagi ini.

Beliau menambah pengenalan Malaysia Sederhana hanya satu respons pembangkang kepada konsep 1 Malaysia.

“Saya merasakan usaha untuk memperkenalkan Malaysia Sederhana hanya satu reaksi kepada 1 Malaysia.

“Selepas 1Malaysia semakin pupopular tiba-tiba ada usaha ini untuk mewujudkan satu lagi konsep atas nama Malaysia Sederhana,” katanya.

“Tetapi kita tahu bahawa ia hanya satu penjenamaan semula Malaysian Malaysian,” katanya.

Ketika penyokong Pakatan Rakyat memperli responsnya Najib yang juga Presiden Umno berkata , “malah Malaysia Sederhana tidak berasaskan Perlembagaan ataupun sejarah negara.”

“Malaysia Sederhana hanya slogan pembangkang dan datang dengan retorik tetapi 1Malaysia pula datang dengan tindakan, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan,” katanya.

Isu 1 Malaysia muncul apabila Perdana Menteri ditanya oleh Alexander Nanta Linggi (BN-Kapit) agar menjelaskan kejayaan konsep dalam menyatupadukan rakyat Malaysia.

Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) dengan tenang memberitahu Dewan Rakyat konsep 1 Malaysia adalah satu konsep yang ditiru dan menambah bahawa sebelum Perdana Menteri bercakap tentang perpaduan kebangsaan dan prestasi untuk rakyat, Najib perlu membersihkan dirinya.

Di sebalik protes daripada Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional, Karpal Singh berkata pentadbiran Najib dicemari dengan beberapa perkara iaitu kematian model Mongolia Altantuya Sharibuu, isu bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim Saiful Bukhari Azlan dan pegawai khas Najib Datuk Nasir Safar.

“Najib dikaitkan dengan semua kejadian ini. Beliau perlu membersihkan dirinya terlebih dahulu,” katanya.

Beliau menambah Nasir tidak menunjukkan semangat 1Malaysia diperkenalkan Najib apabila membuat kenyataan rasis baru-baru ini.

Najib enggan mengulas rujukan Karpal berkaitan dengan Altantuya dan Saiful tetapi mengatakan bahawa Nasir telah diberhentikan sejak mengeluarkan kenyataannya.

Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timor) bangun untuk mengadu bahawa soalannya berkaitan dengan 1Malaysia telah ditolak.

“Bagaimana anda hendak menunjukkan semangat 1 Malaysia apabila soalan saya ditolak tanpa pertimbangan?” Katanya.

Lim berkata soalannya ditujukan kepada Menteri Dalam Negeri.

“Saya bertanya Menteri Dalam Negeri menjelaskan apa tindakan beliau hendak ambil terhadap Utusan Malaysia dan Berita Harian yang tidak bertindak selari dengan konsep 1Malaysia apabila menyiarkan laporan bias dan rasis bagi menggambarkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sebagai anti-Melayu,” katanya.

Surat kepada Warga Emas


Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membuat keputusan untuk mengirim RM100 di bawah Program Penghargaan Warga Emas ke alamat penerimanya. Ini adalah untuk memudahkan pengagihan wang tersebut agar warga emas tidak perlu bersusah-payah untuk berkunjung ke pusat khidmat ADUN untuk mendapat sumbangan wang sebanyak RM100. Sumbangan tersebut akan dikirimkan selepas pelancaran Program Penghargaan Warga Emas yang akan diadakan di Kompleks Masyarakat Penyayang pada 21.3.2010.

Bersama sumbangan tersebut, akan disertakan satu salinan surat daripada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dengan kandungannya seperti berikut:

Tuan/Puan,

Program Penghargaan Warga Emas Negeri Pulau Pinang Sebanyak RM100 Setahun

Sebagai kerajaan berjiwa rakyat, Kerajaan Negeri Pulau Pinang Pakatan Rakyat sentiasa berusaha mendengar suara rakyat, bekerja untuk rakyat dan memberi harapan baru kepada semua. Kerajaan berjiwa rakyat boleh disempurnakan menerusi prinsip 3P-Perkasakan, Perkuasakan dan Perkayakan rakyat.

-Perkasakan rakyat dengan kepakaran, ilmu pengetahuan dan pendidikan serta menyediakan peluang yang saksama kepada semua lapisan masyarakat demi mewujudkan kemakmuran rakyat.

-Perkasakan rakyat dengan hak-hak asasi, kebebasan dan kebertanggungjawaban supaya semua dapat peluang yang saksama dan berjaya atas usaha sendiri.

-Perkayakan rakyat dengan perkongsian kekayaan dan hasil ekonomi bagi mencapai keadilan sosio-ekonomi.

Julung kali dalam sejarah Pulau Pinang, warga emas yang berusia 60 tahun ke atas yang bermastautin di Pulau Pinang diberi penghargaan wang tunai sebanyak RM100 setahun. Ia adalah hadiah simbolik kerajaan negeri kepada semua warga emas atas sumbangan dan usaha mereka yang membolehkan Pulau Pinang mengecapi kejayaan hari ini, baik dari segi sosio-ekonomi mahupun dalam aspek perpaduan dan harmoni masyarakat majmuk.

Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat mampu berbuat demikian hanya atas amalan belanjawan berhemah, jimat-cermat, urus tadbir baik berdasarkan CAT (Cekap, Akauntabel, Telus) berdasarkan ‘amar maa’ruf nahi mungkar’. Urus tadbir CAT mendapat pengiktirafan oleh badan antarabangsa anti rasuah terunggul, Transparency International, yang buat kali pertamanya memuji sebuah kerajaan negeri di Malaysia. Laporan Ketua Audit Negara juga memuji kejayaan kerajaan negeri yang menukarkan anggaran defisit Belanjawan 2008 sebanyak RM35 juta kepada rekod lebihan RM88 juta dan anggaran defisit Belanjawan 2009 sebanyak RM40 juta kepada lebihan RM77 juta.

Kerajaan negeri berasa kesal pihak lawan politik kami telah cuba sabotaj program penghargaan wang tunai RM100 ini dengan tuduhan pemberian wang kepada warga emas adalah satu tindakan rasuah. Walaubagaimanapun, kami akan meneruskan program ini dan kami bersedia untuk menghadapi sebarang siasatan atau tindakan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Penghargaan wang tunai RM100 kali ini merupakan kesinambungan kerajaan PR yang telah pun berjaya membasmi miskin tegar, memberikan rebet air RM100 kepada hampir 170,000 keluarga susah dan juga sumbangan beras percuma pada tahun 2008-2009. Jangan ingat anda dilupakan apabila anda sudah tua. Selagi kerajaan PR Pulau Pinang ada, kepentingan warga emas akan diambil berat dan anda akan sentiasa dalam memori.

Usia Emas pujaan hati,
Tak lekang dek panas mahupun hujan,
Jasa dan budi di serata bumi,
Sanjungan rakyat berzaman-zaman.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

Lim Guan Eng,
Ketua Menteri Pulau Pinang

Jumaat, Mac 12, 2010

Terima Kasih atas sumbangan Anda

Kerusi dan meja batu untuk bersantai dimarkas



Kerusi dan meja batu ini adalah sumbangan Ketua Komiuniti (PAS) Bandar Laguna




PAS Cawangan Bandar Laguna mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penyumbang-penyumbang yang telah menyumbang kepada Pas Cawangan sama ada wang ringgit ataupun hartabenda. Semoga sumbangan anda semua diberkati oleh Allah.

Hujan turun sebaik Nik Aziz ketuai solat sunat Istisqa






KOTA BARU, 12 Mac – Solat sunat Istisqa’ yang diadakan memohon hujan pagi ini bukan sahaja menakjubkan 2,000 jemaah yang hadir bahkan rakyat negeri ini apabila kerahmatannya langsung terbukti sebaik sahaja solat dimulakan,

Hujan pun mula turun ketika bacaan surah al-Fatihah.

Solat yang dimulakan pada pukul 8.30 pagi ini itu diimamkan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ia diadakan di Padang Perdana bersebelahan jalan berhadapan dengan Stadium Sultan Mohamad IV, dekat sini.

Hadir sama seluruh kepimpinan kerajaan negeri termasuk exco, Adun dan Ahli Parlimen dari parti Pakatan Rakyat.

Nik Aziz yang ditemui selepas solat sunat tersebut melahirkan rasa syukur tidak terhingganya kerana menganggap doa rakyat Kelantan minta diturunkan hujan itu segera dimakbulkan Allah SWT.

“Syukur, kita sembahyang Istisqa’ hari ini mendapat sambutan baik dan di tengah-tengah sembahyang itu turun hujan.

“Saya sendiri telah didedah oleh Allah dengan air hujan yang pertama semasa sembahyang hari ini sangat-sangat besarlah harapan, mudah-mudahan Allah beri pada kita bahagia di dunia dan akhirat.

“Tiada erti kita bahagia di dunia tetapi akhirat kelak kita masuk neraka. Dengan sebab itu saya berusaha supaya rakyat Kelantan faham bahawa kesusahan yang berlaku atas dunia ini adalah berpunca daripada dosa.

“Ayat-ayat Quran banyak menyebut bala yang menimpa manusia ini adalah berpunca daripada dosa.

“Oleh yang demikian kita kena pakat-pakat (sama-sama) tegur, nasihat, tak kiralah dalam apa jua pun keadaan termasuk politik, ekonomi kerana ini cara Islam, bukan cara demokrasi, bukan cara komunis dan juga sosialis, tapi cara Islam” katanya.

Menjawab soalan sama ada solat hajat dan solat istisqa yang diadakan pagi ini sebagai tradisi negeri Kelantan, beliau berkata “wallahualam. Yang pastinya nabi Muhammad SAW sendiri sembahyang istisqa’ setiap kali berlakunya kemarau”.

MerdekaReview - Bukan Pinda tapi Mansuh ISA!

MerdekaReview - Bukan Pinda tapi Mansuh ISA!

Khamis, Mac 11, 2010

Kawal Kencing Manis, Lindungi Buah Pinggang Anda


HARI Buah Pinggang Sedunia 2010 (WKD) kali kelima yang berlangsung hari ini, 11 Mac akan merangkumi lebih 100 buah negara yang merentasi enam benua termasuk Malaysia.

Kempen WKD merupakan kempen kesedaran global yang memberikan fokus terhadap pripentingnya penjagaan buah pinggang serta bertindak sebagai medan terbaik kepada orang ramai bagi menjalani pemeriksaan buah pinggang.

Pemeriksaan itu bertujuan bagi mengetahui sama ada seseorang individu berisiko untuk menghidap penyakit buah pinggang atau sebaliknya.

Kempen tahun ini juga diharapkan dapat meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat tentang kawalan penyakit kencing manis bagi menghindari daripada serangan penyakit buah pinggang kronik (CKD).

Penyakit CKD itu akan berlaku apabila seseorang individu mengalami pembuangan albumin yang berlebihan dalam air kencing atau kemerosotan ketara dalam fungsi buah pinggang.

Sehingga kini, lebih daripada 500 juta penduduk dunia menderita akibat beberapa penyakit buah pinggang dan setiap tahun menyaksikan penduduk seluruh dunia mati akibat masalah buah pinggang yang berpunca daripada penyakit kencing manis.

Jika penyakit itu tidak dikawal pada peringkat awal sehingga boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, pesakit perlu menjalani rawatan dialisis atau pemindahan buah pinggang. Ekoran kesukaran untuk mendapatkan buah pinggang baru untuk proses pemindahan, ramai pesakit memilih kaedah rawatan haemodialysis atau peritonel dialysis.

Pihak kerajaan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan kini sedang giat mengenal pasti pesakit yang benar-benar memerlukan rawatan kerana negara kita telah mencatatkan seramai 20,000 pesakit dialisis.

Yayasan Buah Pinggang Malaysia (NKF) yang melantik Datuk Chef Wan sebagai dutanya pada tahun ini mempunyai 23 buah pusat dialisis dan bertindak sebagai pembekal perkhidmatan dialisis utama di negara ini. NKF yang bukan sahaja memyediakan pusat dialisis telah maju setapak dengan memberi tumpuan kepada langkah-langkah bagi memupuk kesedaran awal kepada masyarakat tentang pencegahan penyakit buah pinggang.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengurus NKF, Datuk Dr. Zaki Morad Zaher, pendedahan awal dan terperinci mengenai kaedah rawatan yang sedia ada perlu diberikan kepada masyarakat supaya mereka dapat merancang kaedah yang sesuai dengan gaya hidupnya.

Tema sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2010 adalah "Kawal Kencing Manis- Lindungi Buah Pinggang Anda,". Di Malaysia, hampir 55 peratus daripada pesakit dialisis baru adalah penghidap kencing manis.

Penyakit kencing manis 2, yang tidak dapat dikesan sejak bertahun-tahun dahulu akhirnya dapat dikesan akibat pengambilan gula berlebihan tanpa kawalan.

Di Malaysia, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF), Persatuan Nephrology Malaysia (MSN), dan Kementerian Kesihatan sekali lagi telah berganding bahu menganjurkan kempen kesedaran penjagaan buah pinggang peringkat kebangsaan pada Mac ini.

Bagi menjayakan kempen ini, NKF, MSN, dan MOH telah melancarkan unit pemeriksaan kesihatan bergerak NKF (NKF Life Check), iaitu dengan sebuah bas yang boleh memuatkan seramai 40 orang penumpang.

Perkhidmatan bas itu juga telah berada di Kota Bharu, Kelantan pada 6 Mac lalu dan bakal berada di Terengganu, Pahang dan Selangor untuk mengendalikan ujian saringan kesihatan secara percuma bagi orang awam.

Forum tersebut yang menyentuh mengenai penyakit buah pinggang dan penyakit kelenjar akan diadakan di negeri Terengganu, manakala pameran kesihatan buah pinggang dan kempen menderma organ pula akan berlangsung di semua lokasi sambuta WKD.

Di Kota Bharu, perasmian program akan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, manakala di Kuala Terengganu pula akan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar. Manakala di Pahang pula perasmian program akan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Hoh Khai Mun.

Acara kemuncak kempen dan pemeriksaan kesihatan itu adalah acara perasmian sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2010 yang akan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa, Hal-Ehwal Pekerja Ladang, Pembasmian Kemiskinan dan Masyarakat Penyanyang, Dr. Xavier Jayakumar di pusat Membeli belah One Utama pada 14 Mac ini.