Kerajaan persekutuan yang dikuasai Barisan Nasional sengaja mencari kesalahan kerajaan negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat, malah mensensasikan isu pasir di Selangor dan Pulau Pinang untuk memberi imej buruk terhadap kerajaan PR, kata Mohamad Sabu, ahli Jawatankuasa PAS Pusat ketika mengulas isu kecurian pasir di Pulau Pinang, semalam.
"Cuba kita lihat bagaimana pelbagai bentuk tribulasi yang dilakukan oleh UMNO dan BN di negeri-negeri yang diperintah oleh Kerajaan PR bagi menyalahkan Kerajaan Negeri yang tidak dipimpin oleh mereka," kata Mohamad Sabu.
"Isu pasir di Selangor dan di Pulau Pinang cuba mereka sensasikan. Pelbagai tuduhan dan dakwaan yang mereka lakukan semata-mata bagi memberi imej buruk terhadap kerajaan negeri yang diterajui oleh PR." Beliau berkata sedemikian di depan khalayak 4000 orang, yang menghadiri ceramah di Kompleks Yayasan An-Nadhoh, Kubang Semang, Bukit Mertajam, semalam.
Beliau menambah, "Mereka cuba menyifatkan kepimpinan Kerajaan PR adalah lemah dan tidak kuat. Namun begitu saya yakin rakyat kini bukan lagi mudah ditipu oleh Kerajaan yang diperintah oleh BN."
UMNO main sentimen perkauman
Sementara itu, Mohamad Sabu juga menyelar kepimpinan UMNO yang sentiasa memainkan sentimen perkauman terutamanya dalam isu yang melibatkan masyarakat Melayu.
"Seringkali mereka mengatakan sekiranya UMNO kalah dan hilang kerusi dalam pilihan raya maka kuasa dan politik Melayu akan hilang. Apakah mereka lupa apabila UMNO hilang kuasa di Kelantan sejak 20 tahun yang lalu apakah Melayu hilang kuasa sedangkan yang memerintah Kelantan itu adalah Melayu juga yang datangnya dari PAS?"
Mohamad Sabu menyeru, "Oleh kerana itu, rakyat jangan terpedaya dengan dakyah dan sentimen perkauman yang dimainkan oleh UMNO dan BN semata-mata bagi meraih sokongan yang semakin hilang terhadap mereka. Masyarakat Melayu khususnya jangan termakan isu yang dimainkan oleh UMNO apabila mengatakan kuasa politik akan hilang sekiranya UMNO tidak berkuasa, sedangkan PAS bersedia untuk menggantikan UMNO sebagai sebuah parti untuk orang Melayu dan umat Islam di negara ini."
Kejadian curi pasir berlarutan sejak zaman pemerintahan BN
Di samping itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng juga menyelar kerajaan persekutuan yang menyalahkan kerajaan negeri dalam isu kecurian pasir di atas tapak Politeknik Balik Pulau, Pulau Pinang. Menurut beliau lagi, kerajaan negeri sukar untuk mencampur tangan dalam hal tanah milik kerajaan persekutuan, lantaran daripada halangan dan kerenah dari kerajaan persekutuan.
"Walaupun begitu, sebagai sebuah kerajaan negeri yang mementingkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat maka kita turut berasa terpanggil untuk mengetahui perkembangan insiden kecurian pasir di atas tapak tanah milik Kerajaan Persekutuan itu," tambahnya.
"Kejadian ini telah berlarutan sejak tahun 2002 lagi semasa negeri ini diterajui oleh kepimpinan Barisan Nasional (BN). Namun begitu tiada tindakan yang diambil oleh mereka walaupun ianya telah berleluasa sekian lama. Adalah sesuatu yang menghairankan apabila mereka tidak mengambil apa-apa tindakan sejak lapan tahun yang lalu," kata Lim Guan Eng yang mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri selepas PRU ke-12, Mac 2008.
"Oleh kerana kepentingan rakyat dan masyarakat setempat adalah menjadi tanggungjawab kerajaan yang memerintah, maka kita tetap akan memberi kerjasama kepada kerajaan persekutuan bagi mencari dalang sebenar di sebalik aktiviti mencuri pasir di atas tanah tersebut," janji Lim Guan Eng.
Biarpun diasak dengan pelbagai tuduhan dari media arus perdana yang dikuasai UMNO-BN, namun hadirin tetap memberi sambutan gemuruh kepada Lim Guan Eng ketika beliau melontarkan kritikan terhadap kerajaan BN, di samping mengulas bagaimana kerajaan pimpinannya memanfaatkan warga Pulau Pinang dengan dasar-dasar yang mesra rakyat.
BN adalah punca kepada apa yang sedang berlaku
Manakala Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man dalam ucapan beliau menyeru agar seluruh masyarakat di Pulau Pinang supaya tidak percaya dengan pelbagai isu yang sedang dimainkan oleh BN.
Salleh Man berkata, banyak isu perumahan yang dibangkitkan oleh UMNO dan BN adalah untuk menunjukkan mereka prihatin terhadap rakyat walaupun sebenarnya mereka adalah punca kepada apa yang berlaku sekarang.
"Isu perumahan yang berlaku di Jelutong sebagai contoh bukannya bikinan PR. Ia telah berlaku sejak pemerintahan BN lagi. Segala macam tohmahan yang mereka dakwa mempunyai niat tertentu untuk menyembunyikan kesalahan lampau yang telah mereka lakukan terhadap masyarakat dan rakyat negeri ini."
"Apabila mereka mulai merasakan tercabar dan kuasa semakin hilang maka bagi meraih kembali dokongan yang semakin pudar itu isu akan disensasikan. Setelah mereka tidak berjaya dengan isu perumahan beralih pula kepada isu peniaga kecil. Kini mereka mainkan pula isu pasir di Balik Pulau yang ternyata berada di atas tanah milik mereka secara total."
"Dalam isu ini kita mahu mereka yang bertanggungjawab di sebalik kegiatan mencuri pasir di kawasan tersebut segera dihadapkan ke muka pengadilan. Selagi masalah ini tidak selesai maka Kerajaan Persekutuan akan sentiasa menyalahkan Kerajaan Negeri walaupun pada hakikatnya mereka sedar mengenai kejadian sebenar di atas tapak tersebut," katanya lagi.