MARI MENDENGAR & MEMAHAMI AL-QUR'AN

Listen to Quran

Rabu, April 20, 2011

Anak Kedah dipelawa sertai program Mahligai Sejahtera

Berita gembira untuk bakal pengantin anak kelahiran Kedah untuk menyertai program Mahligai Sejahtera.

Penyertaan dibuka kepada pengantin lelaki anak kelahiran Kedah, berpendapatan RM1000 ke bawah untuk menyertai program perkahwinan beramai-ramai Mahligai Sejahtera anjuran kerajaan negeri.

Demikian makluman dari Pengerusi Pembangunan Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, YB Ustazah Siti Ashah Ghazali.

“Kita buka penyertaan untuk perkahwinan kali pertama dan pengantin lelakinya anak Kedah yang pendapatannya RM1000 ke bawah. Penyertaan masih dibuka sekarang dan tarikh akhir mendaftar pada bulan Jun 2011,” terangnya.

Selain dari itu katanya lagi, kerajaan negeri juga menyediakan kursus perkahwinan untuk pasangan-pasangan terbabit secara perdana pada bulan Julai selama dua hari berturut-turut.

“Kita amat berbesar hati kerana YAB Menteri Besar kita meluluskan peruntukan dari kerajaan negeri sebanyak RM1000 untuk setiap pasangan,” maklum beliau.

Program Mahligai Sejahtera akan diadakan di Dewan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) pada 20 November 2011. Penyertaan dibuka kepada 50 pasangan pelbagai kaum.

Borang pendaftaran boleh didapati di pejabat PKWR dan MKK kawasan masing-masing.

Isnin, April 11, 2011

Sekolah terima notis awalkan peperiksaan, petanda PRU-13?

Di sebalik desas-desus kemungkinan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan tahun ini, laporan media menyebut sudah ada notis meminta peperiksaan sekolah-sekolah kerajaan pertengahan tahun ini dipercepatkan — dipercayai sebahagian persiapan menghadapi hari pengundian kelak.

Laporan Sin Chew Daily hari ini menyebut, satu notis kerajaan persekutuan telah diedarkan meminta sekolah agar mempercepatkan peperiksaan supaya pilihan raya umum ke-13 boleh diadakan Jun atau Julai ini, bergantung pada keputusan pilihan raya negeri Sarawak yang sedang berlangsung sekarang.

Akhbar itu berkata beberapa sekolah di Negeri Sembilan telah menerima notis dan peperiksaan mesti diadakan bulan depan dan dewan sekolah pula tidak boleh disewa kepada awam mulai Jun dan bulan seterusnya.

Penganalisis dan pemerhati melihat pilihan raya paling cepat akan diadakan pada Jun atau Julai atau pada Oktober memandangkan Ogos dan September merupakan bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri manakala November umat Islam akan menunaikan haji.

Pengetua sebuah sekolah rendah kebangsaan Cina di Selangor berkata notis pemberitahuan seumpama itu biasa dihantar oleh Kementerian Pelajaran sebulan atau dua bulan sebelum pilihan raya umum diadakan walaupun tiada sebab yang dinyatakan.

“Tapi notis seperti ini boleh menjadi petunjuk pilihan raya dan biasanya ia tepat,” kata pengetua yang enggan namanya didedahkan.

Menurut Sin Chew Daily lagi, setakat ini sekolah yang menerima notis pemberitahuan itu tidak banyak dan pilihan raya umum akan diadakan berpandukan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri Sarawak.

Pengundian pilihan raya negeri Sarawak diadakan 16 April ini.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mengakui BN itu akan berjaya mempertahankan Sarawak namun ramai yang percaya kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri BN akan berkurangan.

Kini, BN Sarawak yang dipimpin Tan Sri Abdul Taib Mahmud mempunyai 63 kerusi di Dewan Undangan Negeri manakala DAP enam, PKR dan Parti Cinta Malaysia masing-masing satu.

Dalam temu bual dengan Reuters awal bulan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata keputusan pilihan raya negeri Sarawak pertengahan bulan ini akan digunakan sebagai “ukuran” untuk menentukan tarikh pilihan raya umum ke-13 — sama ada dipercepatkan ataupun sebaliknya.

Pengerusi BN itu berkata kerajaan akan memutuskan masa yang sesuai bagi pilihan raya umum selepas pilihan raya negeri Sarawak.