MARI MENDENGAR & MEMAHAMI AL-QUR'AN

Listen to Quran

Ahad, Ogos 22, 2010

Berbuka puasa bersama Guan Eng


Written by Ahmad Tajdid

BUKAN sesuatu yang biasa bagi DAP menganjurkan majlis berbuka puasa untuk penggiat media alternatif. Sepanjang bertugas di Harakah, inilah pertama kali majlis seumpama itu diadakan DAP apatah lagi atas jemputan Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Suasana di Khatijah's Kitchen, Jalan Bukit, Petaling Jaya, restoran milik Dato' Khatijah Ibrahim itu agak meriah petang 19 Ogos lalu apabila seorang demi seorang pemimpin utama DAP muncul untuk turut sama berbuka puasa.

(Penulis menikmati juadah berbuka di majlis berbuka puasa anjuran Lim Guan Eng)

Selain Guan Eng, turut hadir Penasihat DAP Lim Kit Siang, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan Tengku Abdul Aziz Abdul Rahman (yang sajak bersongkok hitam), Ketua Pemuda Anthony Loke, Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor Teresa Kok dan Ean Yong Hian Wah, Ahli Parlimen PJ Utara Tony Pua dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

Walaupun tidak berpuasa, tiada seorang pun para pemimpin DAP yang hadir menjamah makanan sehingga azan Maghrib dilaungkan. Guan Eng sendiri mengakui tidak menjamah makanan sejak pukul 11.00 malam sebelumnya kerana ingin merasai nikmat berbuka puasa.

"Saya tak bersahur," katanya berseloroh.

Dia juga bercerita bagaimana pada awal menghadiri majlis berbuka di masjid, beliau hanya menjamah makanan kerana sudah kenyang. Oleh kerana merasakan tindakan itu tidak wajar, beliau memastikan untuk 'berpuasa' setiap kali ada jemputan berbuka. Dengan berpuasa, beliau dapat makan dengan berselera apatah lagi jika menu yang disajikan itu kari kambing!

Masa yang ada sementara menunggu masa berbuka puasa digunakan oleh Guan Eng untuk menjelaskan isu-isu berbangkit berhubung pentadbiran kerajaan negeri pimpinannya.

Beliau mengakui kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang kerap menerima serangan daripada media massa pro-BN sejak mengambil alih pemerintahan negeri.

BN ujarnya, terpaksa meniupkan isu-isu perkauman kerana tidak dapat mencari kelemahan DAP dan Pakatan Rakyat dalam isu-isu 'real' menyentuh pentadbiran negeri.

Beliau memberi contoh isu bazar Ramadan di Komtar apabila kerajaan negeri didakwa mahu menghalang para peniaga Melayu berniaga di bazar tersebut sedangkan isu sebenar adalah kegagalan syarikat penganjur menjelaskan sewa kepada pentadbiran Komtar.

Walaupun tidak menerima satu sen pun bayaran sewa daripada syarikat tersebut, pihak pengurusan Komtar membenarkan para peniaga meneruskan perniagaan kerana dimaklumkan sewa telah dibayar oleh para peniaga kepada syarikat penganjur bazar Ramadan itu.

Isu perkauman ini sengaja dimainkan untuk menutup kelemahan syarikat terbabit.

Satu lagi isu perkauman yang dijaja Umno adalah dakwaan kononnya kerajaan negeri pimpinan DAP bertindak merobohkan perkampungan Melayu di Pulau Pinang untuk melaksanakan projek-projek pembangunan.

"Ini tidak benar. Sepanjang menjadi Ketua Menteri saya tidak pernah mengarahkan walaupun satu rumah Melayu pun dirobohkan," kata Guan Eng.

Apa yang berlaku sebenarnya melibatkan tanah-tanah milik persendirian yang diduduki penduduk yang kemudiannya hendak dimajukan syarikat swasta. Ini, katanya membabitkan perintah mahkamah dan kerajaan negeri pimpinannya tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan.

Bagaimanapun kerajaan negeri, katanya berusaha berunding dengan syarikat pemaju. Dalam satu kes di Kampung Pokok Asam, kerajaan negeri telah meminta pemaju menangguhkan operasi merobohkan rumah penduduk selama tiga bulan bagi membolehkan langkah penyelesaian terbaik dicapai.

Kerajaan Pakatan Rakyat negeri juga, tegasnya berusaha sedaya mungkin untuk membantu penduduk yang terlibat dan ini tidak pernah dilakukan kerajaan BN negeri sebelum ini.

Perbualan terhenti ketika azan Maghrib kedengaran.

"Silalah dahulu, kamu berpuasa," kata seorang aktivis DAP kepada saya ketika melangkah ke meja buffet.

Ketika pengunjung beragama Islam mengambil hidangan untuk berbuka, para pemimpin dan aktivis DAP yang hadir tidak sama-sama menyesakkan meja buffet. Jelas mereka menghormati rakan-rakan media beragama Islam untuk berbuka puasa.

Ini jauh berbeza di beberapa hotel yang pernah saya hadiri untuk buffet Ramadan apabila para pengunjung bukan Islam turut sama berebut-rebut mendapatkan makanan. Sesetengahnya pula makan dan minum sebelum waktu berbuka.

Hairan juga bila mendengar khabar dari seorang tokoh agama pro-Umno kononnya pemimpin DAP tidak menghormati Islam.

Khatijah Kitchens tidaklah seluas restoran-restoran hotel-hotel besar di Kuala Lumpur, tetapi ia tetap diuruskan dengan baik. Makanan yang pelbagai bukan sahaja mencukupi untuk pelanggan yang melimpah ruah hingga ke luar, malah layanan para pekerjanya juga mesra.

Bagi mereka yang ingin menunaikan solat Maghrib, dua khemah sementara di pasang di belakang restoran.

Di akhir majlis berbuka puasa itu, Guan Eng selaku tuan rumah dijemput berucap. Tanpa menggunakan pembesar suara, pemimpin DAP itu berucap ringkas.

Dalam ucapannya, Guan Eng melahirkan rasa kesal dengan tindak-tanduk pemimpin Umno yang terus berbohong dan meniupkan isu agama dan perkauman bagi menyerang kerajaan negeri pimpinannya. Semua ini berlaku di bulan Ramadan yang mulia.

"Pemimpin Umno negeri juga menjadikan kehadiran saya dalam acara-acara agama sebagai isu," katanya.

Guan Eng mengakui tidak wajar hadir di majlis-majlis agama yang diadakan di masjid-masjid. Tetapi apa yang dikesali, kehadiran beliau dalam majlis penyampaian sumbangan Ihya Ramadan di luar kawasan masjid juga cuba dipolitikkan pemimpin Umno.

"Sumbangan diserahkan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh), saya hanya mengiringi. Adakah itu juga salah?" soal beliau.

Menurutnya, sumbangan Ihya Ramadan itu pertama kali disalurkan kerajaan negeri dan tidak pernah diberikan oleh kerajaan BN negeri sebelumnya.

Pembohongan terbaru yang disebarkan Umno terhadap kerajaan Pakatan Rakyat negeri amat menyentuh sensitiviti agama.

(Lim Guan Eng memberikan ucapan ringkas selepas berbuka)

Pengerusi Perhubungan Umno negeri yang juga Menteri Pertahanan, Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa kononnya kerajaan negeri mengarahkan nama Ketua Menteri dimasukkan dalam doa khutbah kedua Jumaat bagi menggantikan Yang di-Pertuan Agong.

"Ini tidak masuk akal. Saya bertanya Abdul Malik (Abul Hassan, Exco Agama negeri) adakah perkara itu benar-benar berlaku. Beliau menjawab ia sesuatu yang mustahil," ujarnya.

Berdasarkan siasatan awal, tidak terdapat sebuah masjid pun di Pulau Pinang berbuat demikian, katanya.

"Saya juga cuba menghubungi Dato' Ahmad Zahid untuk mendapat penjelasan tapi gagal," katanya.

Beliau berharap pemimpin Pusat itu lebih bertanggung jawab dalam mengeluarkan tuduhan apatah lagi di bulan Ramadan.

Kerajaan negeri pimpinannya sedia bertindak jika dakwaan itu benar.

Akhirnya Guan Eng mengingatkan tentang peri pentingnya media yang bebas dalam sebuah negara demokrasi. Sistem demokrasi yang diamalkan negara, jelasnya mempunyai tiga tunggak utama iaitu eksekutif, parlimen dan kehakiman. Tetapi ada kuasa keempat yang juga penting iaitu media.

Media ujarnya bertanggung jawab mewarnakan demokrasi dan media yang bebas dari kongkongan sesungguhnya penting bagi menghidupkan demokrasi yang sihat.

Sebaik sahaja Guan Eng tamat berucap, majlis dikejutkan pula dengan sapaan Dato' Khatijah Ibrahim yang tiba-tiba muncul memberikan ucapan ringkas. Beliau berterima kasih kepada hadirin kerana memilih Khatijah's Kitchen untuk berbuka puasa.

"Datanglah lagi di lain masa," katanya ceria.

Beliau turut memohon izin untuk bergambar dengan Guan Eng sebagai kenang-kenangan. Dan permintaan itu ditunaikan Guan Eng selepas doa dibacakan wartawan Harakahdaily, Dzulfikar Mashoor

Tiada ulasan:

Catat Ulasan