MARI MENDENGAR & MEMAHAMI AL-QUR'AN

Listen to Quran

Khamis, September 30, 2010

Hentikan segera jualan susu Similac

SM Mohamed Idris

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) terkejut membaca laporan Reuters bahawa susu rumusan bayi Similac yang dikeluarkan oleh Abbott Laboratories Inc, telah menarik balik berjuta tin susu rumusan bayi yang dipercayai tercemar dengan kumbang di Amerika Syarikat. Susu rumusan bayi Similac juga turut dijual di Malaysia.

Keputusan secara sukarela untuk menarik balik produk itu dibuat apabila dua laporan pengguna dibuat berhubung pencemaran itu.

Pihak pengeluar juga secara sukarela menarik balik susu rumusan bayi itu di Guam, Puerto Rico dan pasaran Caribbean.

Hingga kini, pihak syarikat dan pihak berkuasa kesihatan Malaysia tidak membuat sebarang langkah untuk menarik balik produk itu daripada pasaran Malaysia. Dalam kes seperti ini langkah berhati-hati perlu diutamakan.

Demi untuk kepentingan keselamatan pengguna, CAP menggesa Kementerian Kesihatan menangani perkara itu dan mengambil tindakan menarik balik dengan segera terhadap produk itu sehingga keselamatannya boleh dipastikan.

CAP juga menasihatkan ibu-ibu supaya menyusui bayi mereka dengan susu ibu kerana “susu ibu adalah yang terbaik”.


Penulis adalah Presiden, Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan boleh dihubungi pada talian 04-8299511, faks - 04 8298109 dan emel - idrismd@tm.net.my

RASIONAL TERHADAP KENAIKAN TARIF AIR DI KEDAH


Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Bekalan Air Darulaman (SADA) Dato’ Adzmi Haji Din mengumumkan kenaikan tarif air di Kedah mulai 1 Oktober 2010. Secara puratanya kenaikan tarif air hanyalah RM0.10 bagi setiap meter padu air.

Kali terakhir tarif air di Kedah di semak ialah pada 1 Mac 1993. Mulai tarikh itu sehingga 30 September 20010, harga satu meter padu air ialah RM0.40. Ia adalah harga air yang kedua terendah di Malaysia selepas Pulau Pinang. Harga semeter padu air di Pulau Pinang hanya RM0.30, manakala perlis yang berada di tempat ke tiga terendah ialah RM0.48. Kedua-kedua negeri itu mendapat sumber air percuma dari sungai serta kawasan tadahannya yang berada di Kedah.

Sepanjang 17 tahun tarif air tidak pernah naik di Kedah, harga petrol naik berpuluh-puluh kali. Kenaikan harga petrol menyebabkan semua perkhidmatan yang berkaitan dengannya juga naik. Antaranya ialah tarif elektrik yang naik entah berapa kali sepanjang tempoh 17 tahun itu.

Maka jika kerajaan negeri, melalui SADA mengumumkan kenaikan tarif air mulai 1 Oktober 2010 maka ia adalah tindakan yang sangat munasabah.

Dalam isu kenaikan tarif air ini, kita boleh memberikan alasan munasabah yang melampaui batas keraguan.

Pertama: Semakan dan pelarasan tarif air ini adalah arahan dari Kerajaan Pusat setelah melihat kegagalan pengurusan air di hampir kesemua negeri di Malaysia akibat dari hasil air yang dikutip tidak seimbang dengan belanja pengurusan yang tinggi.

Semakan dan pelarasan yang diumumkan Kedah ini telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan mengikut Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Kadar Perkhidmatan Bekalan Air - Negeri Kedah) 2010. Maknanya, Pusat sudah merestuinya. Pusat pasti merestuinya kerana ia memudahkan kerajaan negeri untuk membayar balik hutang pengurusan air kepada Pusat sebanyak RM50 juta setahun.

Kenaikan akan juga berlaku di negeri-negeri lain, termasuk negeri yang ditadbir BN. Cuma Kedah yang mula dahulu.

Kedua: Kenaikan ini tidak dapat dielak memandangkan kos pengeluaran dan pengurusan bekalan air meningkat yang meningkat. Contohnya, kos berdasarkan kuantiti bahan kimia yang dibeli untuk mengolah dan merawat air juga meningkat sepanjang 17 tahun iaitu dari RM1,977,334.81 pada tahun 1993 kepada RM4,792,296.03 pada tahun 2009. Bahan kimia ini termasuklah Polyaluminium Chloride, Sodium Silicoflouride, Chlorine dan Hydrated Lime yang diguna untuk membersih air dalam tangki-tangki.

Antara yang naik juga ialah tarif elektrik. Lebih 50 peratus kos pengeluaran air ialah kos elektrik. Ia menjadikan kos yang terpaksa dibayar kepada TNB juga bertambah iaitu sebanyak RM1,977,334.81 pada tahun 1993 meningkat menjadi RM4,792,296.03 pada tahun 2009.

Satu lagi faktor khusus yang mengakibatkan peningkatan kos ialah perjanjian pengurusan bekalan air dengan pihak swasta yang dibuat di zaman kerajaan terdahulu merugikan pihak kerajaan. Jabatan Bekalan Air Kedah (sekarang SADA) terpaksa membayar kepada syarikat Utara Indah Sdn. Bhd. Lebih RM327 juta bagi tempoh 1993 hingga 2009 dan Taliworks (Langkawi) Sdn. Bhd sebanyak RM206 juta sepanjang tempoh yang sama.

Pada tahun 2009 sahaja kerajaan terpaksa membayar kepada syarikat swasta itu RM39 juta sedangkan kutipan hasil air di Langkawi hanya sebanyak RM14 juta, bermakna kerajaan terpaksa ‘top up’ sebanyak RM25.

Begitu juga perjanjian dengan syarikat Utara Indah Sdn Bhd yang diberi tugas merawat air di loji Pelubang, Jitra. Bayaran dibuat berdasarkan kapasiti air yang dirawat bukannya kapasiti air yang sampai kepada pengguna. Hakikatnya kapasiti air yang sampai kepada pengguna hanya kira-kira 55 peratus. Bermakna kerajaan hanya ‘menderma’ kepada syarikat tersebut untuk kerja merawat baki 45 peratus air yang tidak sampai kepada pengguna.

Harga barangan atau perkhidmatan apa pun tidak pernah kekal sehingga melebihi 17 tahun. Cukuplah kita menamatkan rekod tariff air yang bertahan untuk 17 tahun demi kesejahteraan rakyat.

Selasa, September 28, 2010

Israel dan Operation Sky Breeze:Malaysia tetap bersama APCO


Faisal Mustaffa dan Lingswaran Singh



Serangan pasukan Komando Laut Israel ke atas kapal-kapal Freedom Fortilla yang membawa bantuan kemanusiaan pada 31 Mei 2010 telah mengundang kritik antarabangsa yang hebat. Operasi yang dinamakan sebagai Operation Sea Breeze atau Operation Sky Winds oleh Angkatan Pertahanan Israel telah mengorbankan sembilan aktivis dari seluruh dunia, dan puluhan lagi tercedera termasuk tujuh anggota tentera Israel.

Namun, kita lihat seluruh dunia hanya mampu mengkritik dan menyelar. Jaguh "war on terrorism" Amerika Syarikat menutup sebelah mata apabila keganasan dilakukan oleh Israel, tetapi tidak senang duduk apabila Iran mengumumkan pembangunan senjata Nuklear.

Entah mengapa Israel tidak disenaraikan sebagai pengganas antarabangsa. Mengikut undang-undang antarabangsa, Israel sudah cukup syarat untuk dikategorikan sebagai pengganas antarabangsa. Malah mengikut undang-undang Amerika Syarikat pun, Israel menepati definisi pengganas seperti tertera dalam US Federal Criminal Code. Sungguhpun demikian, tidak ada apa-apa tindakan ketenteraan dibuat ke atas Israel. Barangkali kerana Israel tidak mempunyai simpanan minyak yang banyak? Atau kerana Congress dikawal oleh The Jewish Lobby?

Suara paling lantang bukan dari Malaysia

Amerika Syarikat tanpa segan silu melalui Congress 20 Mei 2010 telah meluluskan hampir USD205 Juta untuk membantu Israel dalam membina "sistem pertahanan" Iron Dome. Perbelanjaan tersebut diluluskan dengan undi 410 menyokong, 4 bantahan dan 8 tidak hadir / berkecuali. Pelik tapi benar, Amerika Syarikat memberi dana kepada Israel untuk membina sistem pertahanan yang canggih untuk melawan militia-militia Palestin yang bersenjatakan batu dan bahan ledak dan sukarelawan antarabangsa yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza.

Apa yang lebih menghairankan adalah fakta bahawa suara paling lantang melawan Israel bukannya dari Malaysia yang tidak habis mengutuk, mengkritik dan menghina kezaliman Israel, akan tetapi dari presiden Venezuela, Hugos Chavez. Pemimpin Amerika Latin ini melalui kerajaannya telah menghantar bantuan kemanusiaan ke Palestin. Venezuela turut menerajui usaha-usaha kemanusiaan ke Palestin, di mana Venezuela bersama komuniti Arab, Islam dan Amerika Latin telah membekalkan ubatan, makanan, air bersih, susu dan sebagainya kepada mangsa-mangsa kezaliman Israel di Gaza.

Pada Ogos yang lalu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-Moon telah mengumumkan bahawa U.N akan menjalankan satu siasatan terhadap serangan tersebut. Satu laporan oleh United Nations Human Rights Council yang diterbitkan pada 22 September 2010, melaporkan bahawa Israel telah bertindak melampau, dan telah menunjukkan tahap kekejaman yang tidak boleh diterima. Tentera Israel barangkali boleh dibandingkan dengan Timbalan Pendakwaraya dalam Inkues kematian Teo Beng Hock apabila menyatakan bahawa mereka telah menemui pisau dapur, klab bola lisut, lastik atau ketapel bersama guli, baju kalis peluru, topeng gas serta alat penglihatan gelap di atas kapal Mavi Marmara.

Persamaan dengan Malaysia

Tentera Israel menjustifikasi serangan mereka dengan mendakwa bahawa "serangan" ke atas tentera Israel itu telah dirancang dari awal. Ini bukan perkara yang menghairankan, kerana Israel memang terkenal dengan reaksi yang melampau terhadap kanak-kanak, wanita dan orang tua Palestin yang tidak bersenjata. Mungkin kedayusan Israel sebegitu rupa sehingga pisau dapur boleh menggugat keselamatan Israel. Tidak menjadi suatu perkara yang pelik bagi rakyat Malaysia kerana kerajaan kita lebih hebat lagi sehinggakan komik pun boleh dianggap membahayakan keselamatan negara. Mungkin tidak lama lagi tulisan kami juga dikelaskan sebagai menggugat keselamatan dalam negeri.

Kami juga tidak boleh nafikan bahawa tekanan dan kritikan antarabangsa telah berjaya memaksa Israel dan Mesir untuk membuka sekatan laluan ke Gaza di mana semua barangan bukan senjata boleh dibawa masuk ke Gaza. Menteri luar Israel Avigdor Lieberman mencadangkan agar tanggungjawab menjaga sempadan Gaza diberikan kepada komuniti antarabangsa, dan cadangan ini membangkitkan persoalan mengapa tidak diserahkan sahaja kepada Hamas? Gaza masih memerlukan bantuan untuk pulih daripada kesengsaraan yang sedang dialaminya. Kami berpendapat wang RM35 juta yang digunakan untuk projek Malaysian Pavillion lebih bermanfaat jika digunakan untuk membantu rakyat Palestin.

Israel yang selama ini biadap, dan kejam terhadap jirannya sudah mula menunjukkan kebiadapan terhadap komuniti antarabangsa. Kami khuatir, regim Zionis ini akan menindas negara-negara lain juga apabila sudah cukup kuat dan tidak memerlukan sokongan Amerika Syarikat. Sampai bila lagi akan rakyat Palestin dibuli? Sampai bila lagi seluruh Liga Arab berdiam diri tatkala rakyat Palestin merayu akan perlindungan? Sampai bila lagi Malaysia akan melanjutkan kontrak APCO World Wide?

*Faisal Mustaffa dan Lingswaran Singh ialah penulis bebas.

Selasa, September 21, 2010

Zam dan retorik silamnya


Ahmad Tajdid

Zam muncul lagi selepas lama menghilang diri. Selepas kalah dalam cubaan pertama bertanding di kerusi Parlimen Sungai Petani, nama Zam atau Zainudin Maidin jarang muncul di media massa.

Bekas Menteri Penerangan dan mantan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu itu mungkin kelemasan apabila dilanda ombak tsunami politik pada pilihan raya umum Mac 2008 lalu. Apatah lagi ketika kempen pilihan raya umum rancak berjalan, Zam secara angkuh memperkecil-kecilkan kemampuan pencabarnya untuk menandingi BN.

Setelah lebih dua tahun menghilangkan diri, Zam yang kini bergelar Tan Sri muncul dalam wawancara dengan Umno-online.com. Sedutan wawancaranya itu dipetik Utusan online menerusi tajuk berita "Pas parti ekstrem".

Sepanjang wawancara itu, Zam nampaknya masih tidak dapat membuang sifat negatifnya terhadap PAS yang menjadi musuh tradisinya sejak dahulu lagi.

Bagi Zam, PAS tetap parti ekstrem walaupun kini "mengambil pendekatan liberalisme dalam mencari sokongan politik".

Beliau memberikan contoh kononnya ada pemimpin PAS yang pernah meminta bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman merampas harta orang Cina tempatan selepas tragedi 13 Mei 1969.

Ia juga menuduh PAS bersekongkol dengan Indonesia untuk mengambil alih pemerintahan negara dan menangkap para pemimpin tempatan semasa era konfrontasi dengan negara jiran tersebut.

Justeru, kata beliau, tindakan itu mencerminkan PAS merupakan sebuah pertubuhan politik bersifat perkauman berasaskan "ekstremisme kepada Islam yang bertentangan dengan ajaran agama berkenaan".

Begitulah enaknya Zam menghentam PAS seperti enaknya beliau menghentam mentornya Dr Mahathir Mohamad yang didakwanya meminta diwawancara dalam bahasa Inggeris ketika dalam rangka lawatan ke sebuah negara jiran. Hentaman tanpa sandaran fakta itu menyebabkan Zam terpelanting dari Kumpulan Utusan. Itu balasan yang dihadapinya kerana 'menderhakai' mentornya.

Akhbar yang dipimpinnya juga pernah disaman pemimpin PAS kerana mengeluarkan berita dan rencana berunsur fitnah. Paling menonjol adalah artikel tulisan Zam dalam kolum mingguan Awang Selamat bertajuk "Nabi Fadzil Nor dan Nabi Abdul Hadi". Akhbar milik Umno itu akhirnya diperintahkan membayar ganti rugi kepada Presiden dan Timbalan Presiden PAS itu.

Ketika menerajui Utusan, Zam juga memberi ruang kepada penulis-penulis yang sealiran dengannya untuk menghentam PAS, menghina ulama dan mempertikaikan sudut-sudut ajaran Islam seperti hudud yang dianggap bertentangan dengan konsep "Islam sebenar" yang diperjuangkannya. Antaranya ialah Akbar Ali yang mendakwa kononnya para ulama tradisional gagal berfikir dengan rasional kerana ikatan ketat serban-serban mereka menghalang oksigen daripada masuk ke kepala!

Buku tulisan Akbar Ali tentang Islam dirujuk pula oleh Presiden MCA, Dato' Dr Chua Soi Lek sehingga mendorong 'playboy warga emas' itu mengeluarkan kenyataan menghina Islam ketika berucap merasmikan progam MCA Kedah baru-baru ini.

Insiden-insiden di atas membuktikan bahawa Zam bukanlah sumber yang autoritatif dan objektif untuk bercakap tentang PAS kerana permusuhan tebalnya dengan parti Islam itu. Zam hanyalah mesin propaganda Umno yang kini dikitar semula untuk membantu 'menyelamatkan' parti itu yang kini goyah menghadapi gelombang kesedaran rakyat.

Tatkala cuba memburukkan PAS dengan tragedi 13 Mei, Zam lupa bahawa Kelantan yang diperintah PAS pada 1969 tidak langsung terbawa-bawa dengan sentimen kebencian kaum yang meluap-luap pada waktu itu. Malah masyarakat minoriti Cina di negeri itu hidup aman damai sehingga sekarang walaupun diperintah PAS selama lebih 40 tahun! Masyarakat Cina, India, Siam dan lain-lain kaum juga hidup harmoni di negeri-negeri PAS berpengaruh seperti Terengganu, Perlis, Kedah dan utara Perak.

Rahsianya adalah pegangan kuat para ahli dan pendokong PAS terhadap nilai-nilai universal Islam berbanding fahaman Islam bersendi perkauman pegangan Umno yang didokongi Zam.

Mungkin Zam tidak menyedari bahawa seorang pemimpin MCA Pusat, Dr Ng Yen Yen mendapat biasiswa Kerajaan PAS Kelantan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti, jauh sebelum Umno dan BN tergagap-gagap bercakap tentang meritokrasi dan semangat 1Malaysia.

Zam juga mengecam Mursyidul Am PAS yang dakwanya menerima pemimpin bukan Islam yang tidak bermoral sedangkan individu yang dimaksudkan beliau itu menjadi mangsa teman lelakinya, seorang Melayu muslim yang lebih tidak bermoral. Dan adakah Zam boleh memberi jaminan bahawa moral para pemimpin Umno dan BN (khsususnya Presiden MCA) lebih boleh dibanggakan berbanding moral pemimpin bukan Islam Pakatan Rakyat?

Dalam keghairahan memperkecil-kecilkan kerjasama politik Pakatan Rakyat, Zam seakan-akan terlupa dengan masalah yang dihadapi komponen BN. Percakaran berterusan Umno dan parti-parti teras BN yang lain seperti MCA, Gerakan dan MIC bagaikan retak menunggu belah. Ini diburukkan lagi dengan kehadiran Perkasa, kumpulan pendesak yang dianggotai ahli-ahli Umno yang tegar dengan faham fanatik bangsa.

Realiti sistem demokrasi di Malaysia menuntut kerjasama politik parti-parti berlainan ideologi bagi membentuk kerajaan sama ada di peringkat pusat mahupun negeri. BN juga dianggotai belasan parti politik berlainan ideologi. Umno khususnya tidak akan berjaya membentuk kerajaan di peringkat persekutuan kerana ia hanya memiliki 77 kerusi Parlimen berbanding 222 kerusi Dewan Rakyat.

Bagi memastikan ia terus diberi mandat memerintah, Umno perlu membentuk kesepakatan dengan lain-lain parti di bawah bendera BN. Dan seperti juga Pakatan Rakyat, parti-parti gabungan BN yang lain turut mempunyai ideologi, dasar dan matlamat perjuangan yang berbeza berbanding Umno. Malah ahli MCA dan MIC (walaupun beragama Islam) tidak akan diterima menyertai Umno dan begitu juga sebaliknya, kerana parti-parti itu berasaskan kaum.

Usaha memecahbelahkan Pakatan Rakyat adalah strategi lapuk BN dan Umno untuk mengelakkan persaingan mendapatkan kuasa. Kewujudan Pakatan Rakyat sebenarnya menjadi mimpi ngeri kepada BN kerana ia bakal merealisasikan sistem dua parti di negara ini.

Zam boleh terus memainkan lagu-lagu lama untuk memperlekehkan PAS dan Pakatan Rakyat. Bagaimanapun lagu yang dimainkan Zam sudah ketinggalan zaman dan hanya didengari peminat-peminat setia warga emas di saluran Klasik fM!

Khamis, September 09, 2010

Perutusan Hari Raya Presiden PAS

Rayakan Syawal, jangan tentang usaha Nabi s.a.w.Thursday, 30 Ramadan 1431




Allahuakbar, Allahukbar, Allahuakbar…
Lailaha Hilallah Wallahu Akbar,
Allahuakbar Walillahil Hamd.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Dengan Nama Allah Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Penyayang;

Saya bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan kepada seluruh muslimin dan muslimat. Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri, hari raya kurnia Allah SWT bersempena dengan kita menunaikan ibadat puasa di bulan Ramadan. Menjadi kelaziman selepas menunaikan ibadat-ibadat yang besar. Allah Ta’ala, mengurniakan hari yang besar. Bagi sembahyang lima waktu dikurniakan hari Jumaat, bagi puasa Ramadan dikurniakan Hari Raya Aidilfitri dan bagi ibadat Haji dikurniakan Hari Raya Korban (Aidiladha).

Hari Raya Aidlifitri mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Setelah umat Islam dididik, ditarbiyyah dengan mengerjakan ibadat puasa di bulan Ramadan, supaya menjadi orang-orang yang bertaqwa kepada Allah SWT. Adalah juga menjadi suatu hikmah yang besar apabila Allah SWT memilih di bulan Ramadan ini berlakunya peristiwa al-Quran Karim diturunkan dan peristiwa peperangan Badar. Peristiwa pembukaan Mekah, diikuti dengan bulan Rejab, bulan Syawal dengan peristiwa Ahzab.

Ini menunjukkan bahawa kemuncak kepada taqwa yang ditarbiyyahkan melalui puasa Ramadan. Orang-orang yang beriman hendaklah menerima al-Quran Karim, satu-satunya petunjuk yang benar kerana ia (al-Quran) daripada Allah SWT. Setelah Allah SWT menyatakan tujuan ibadat puasa itu, supaya kamu (manusia) bertaqwa kepada Allah SWT.

Allah SWT juga menegaskan, “Kitab (al-Quran) ini tidak syak lagi memberi Petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa”. Dan hanya orang-orang yang bertaqwa yang menjadikan al-Quran Karim sebagai Petunjuk. Marilah kita mempelajari daripada menafsirkan al-Quran Karim secara praktikal atau amali yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Apabila beramal dengan al-Quran bukan sahaja mengaku menjadi seorang Islam yang mengucap dua kalimah syahadah. Tetapi, disertakan dengan keimanan yang sungguh-sungguh dan dalam masa yang sama menegakkan al-Quran itu menjadi Petunjuk dalam seluruh cara hidup individu, keluarga dan masyarakat.

Apabila Rasulullah SAW berusaha untuk mendirikan sebuah negara atau amalan politik. Ini menunjukkan bahawa seluruh al-Quran Karim tidak boleh dilaksanakan melainkan dengan adanya amalan (kuasa) politik yang menjadi syarat, kerana hukum-hukum yang ada dalam al-Quran Karim mensyaratkan adanya negara yang didirikan. Negara yang dilandaskan al-Quran Karim itu dan Petunjuk yang diajar oleh Rasulullah SAW supaya hukum-hukumnya diamalkan.

Para ulama’ mengatakan, “Apa yang tidak sempurna dari perkara yang wajib melainkan dengannya, maka ia (perkara itu) menjadi wajib”. Bagi mendirikan sembahyang syaratnya mestilah berwudhuk, maka berwudhuk untuk sembahyang yang wajib hukumnya wajib. Bagi menutup aurat yang wajib mestilah mempunyai pakaian yang lengkap bagi menutup aurat. Maka, mencari pakaian yang lengkap bagi menutup aurat hukumnya adalah wajib. Bagi melaksanakan seluruh perintah-perintah al-Quran Karim memerlukan amalan politik bagi mendirikan negara yang mendaulatkan Syariat (hukum) Allah. Maka, berpolitik mendirikan negara adalah wajib. Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW. Apabila di sana terdapat di kalangan manusia yang tidak boleh menerima petunjuk al-Quran Karim. Ini kerana, al-Quran itu menghalang hawa nafsu mereka untuk memerintah secara zalim dan diktator. Untuk mereka melakukan cara yang melampau dalam menyalahgunakan kuasa, menyalahgunakan nikmat harta negara yang diberi oleh Allah SWT. Meneguhkan kuasa menyebabkan seseorang itu boleh membuat apa sahaja.

Apabila al-Quran Karim menghalang kelakuan yang haram dan buruk itu, menyebabkan kumpulan-kumpulan yang mahu melakukan amalan itu menentang usaha Nabi SAW untuk mendirikan negara Islam. Maka, berlakulah pertembungan antara haq dan batil, di antara benar dan salah, di antara adil dan zalim. Inilah yang menimbulkan peristiwa Badar, yang menimbulkan pembukaan Mekah, yang menimbulkan peristiwa Ahzab.

Apa yang menarik, peristiwa-peristiwa ini melibatkan bangsa Arab, melibatkan orang-orang Yahudi Ahlil Kitab. Ini menunjukkan bahawa pertembungan yang melahirkan Furqan, yang membezakan haq dan batil, bukan di atas asas kebangsaan, bukan di atas asas ke negerian. Tetapi di atas asas prinsip aqidah Islam yang benar, yang menegakkan iman, yang menolak kufur, yang menegakkan Islam, yang menolak jahiliah, yang menegakkan adil yang menolak kezaliman.

Inilah semangat yang perlu dilahirkan dari Ramadan, semangat yang diperlukan lahir dari hari raya. Di sinilah hikmatnya, mengapa tiap-tiap hari raya kita bertakbir membesarkan Allah SWT dengan menyebut ‘Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar’ dan Allah sahaja Yang Maha Besar. Dan bagi Allah sahaja kepujian dan kita menyebut (maksudnya): “Tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah, Esa-Nya dan tidak ada sekutu bagi-Nya, yang menolong hamba-Nya, yang berjuang untuk menegakkan Islam, yang menghancurkan bala tentera Ahzab. Yang menentang usaha bagi menegakkan Islam itu”.

Inilah semangat hari raya yang perlu disambut. Dalam masa yang sama, kita hendaklah mengukuhkan saf umat Islam itu sendiri. Khususnya, di kalangan mereka yang menegakkan Islam dengan mengeratkan hubungan persaudaraan di antara satu sama lain. Dan mereka yang terlanjur melakukan kesilapan hendaklah sedar dan insaf serta kembali ke pangkal jalan. Sebagaimana yang ditunjuk oleh generasi awal umat Islam yang membawa mereka kepada kemuliaan. Kemuliaan yang diberi oleh Islam sebagaimana yang dinyatakan oleh Khalifah Umar al-Khatab, “Kita adalah umat yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan yang lain dari Islam, nescaya kita akan menerima penghinaan daripada Allah”.

Cukuplah, kehinaan yang menimpa umat Islam hari ini mereka diratah oleh kaum yang lain. Mereka sepatutnya menjadi contoh kepada umat yang lain, tiba-tiba mereka terpengaruh dengan umat yang lain. Marilah, kita kembali dengan semangat Ramadan, dengan semangat hari raya melahirkan umat yang dinyatakan oleh Allah (bermaksud): “Kamu adalah umat yang dijadikan oleh Allah untuk dikeluarkan kepada manusia, untuk menjadi contoh, untuk memimpin manusia, dengan ciri-ciri dan sifat-sifat kamu menyuruh kepada yang baik dan kamu mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah”.

Dan mudah-mudahan kita dapat melaksanakan kewajipan ini dengan penuh mendapat rahmat dan pertolongan dari Allah SWT sebagaimana yang dijanjikan (bermaksud): “Allah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, bahawa Allah yang menjadikan mereka itu golongan yang berkuasa, dan memerintah negara di atas muka bumi ini sebagaimana dikurniakan kepada umat yang terdahulu dan Allah menjadikan keadaan yang berubah, agama yang diredha ialah Islam ini berkuasa memerintah. Keadaan yang menakutkan bertukar menjadi keamanan. Mereka itu mengabdikan diri kepada Aku yakni Allah, dan mereka tidak menyengutui Aku yakni Allah dengan sesuatu yang lain. Dan sesiapa yang kufur selepas itu mereka itulah orang-orang yang fasiq.

Sekian.

Salam Hormat,

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Rabu, September 08, 2010

Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin


PAS Cawangan Bandar Laguna mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyumbang- penyumbang yang telah memberikan sumbangan kepada PAS Cawangan dalam menjayakan beberapa aktiviti sepanjang Ramadhan ini. Semoga anda semua dirahmati Allah.

Rabu, September 01, 2010

Apa rasional Najib tarik subsidi, beri bonus

Langkah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membelanjakan RM934.65 juta dengan memberi RM500 bonus kepada setiap kakitangan kerajaan wajar dipersoal secara rasional.

Menurut Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, langkah Najib itu seakan tidak selari dengan langkah rasionalisasi subsidi dengan menarik semula subsidi lima komoditi asasi yang bernilai RM750 juta demi mengurangkan beban perbelanjaan kerajaan.

"Bukan saya tidak setuju dengan pemberian ini, saya sokong rakyat diberi bonus, tetapi apa rasional Najib menarik RM750 juta subsidi dan berbelanja RM900 juta untuk bonus," ujarnya di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Shah Alam, petang ini.

Bagaimanapun, beliau menyokong kakitangan awam, khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana layak menerima bonus tersebut.

Baginya, tindakan Najib yang juga Menteri Kewangan itu seakan suatu tindakan bermotif politik ekoran Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengumumkan pemberian elaun RM500 kepada kakitangan kerajaan negeri.

"Apakah pemberian itu semata-mata kerana Pulau Pinang bagi bonus, maka dia pun bagi," ujarnya yang juga anggota Lajnah Politik PAS Pusat.

Beliau turut mencabar Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin supaya tampil menjelaskan langkah terbaru Najib itu.

Ini kerana, katanya, Khairy merupakan antara pemimpin Umno yang dilihat menonjol menjelaskan tentang rasionalisasi subsidi sebagai alternatif terbaik menangani perbelanjaan defisit yang dialami kerajaan pusat sejak 11 tahun lalu.

Menurutnya, langkah Najib itu sebenarnya berbeza dengan langkah kerajaan Pulau Pinang dan Selangor memberi bonus kepada kakitangan kerajaan negeri masing-masing.

"Pulau Pinang dapat bagi bonus, Selangor dapat bagi bonus disebabkan pengurusan kerajaan yang baik serta perbelanjaan yang berjimat cermat.

"Tetapi, kerajaan federasi (pusat) sendiri pun dah mengaku defisit dengan rasuah dan pembaziran dalam perbelanjaan, dia kata subsidi tidak efisyen, tiba-tiba dia bagi pula," beliau menambah.