MARI MENDENGAR & MEMAHAMI AL-QUR'AN

Listen to Quran

Selasa, September 21, 2010

Zam dan retorik silamnya


Ahmad Tajdid

Zam muncul lagi selepas lama menghilang diri. Selepas kalah dalam cubaan pertama bertanding di kerusi Parlimen Sungai Petani, nama Zam atau Zainudin Maidin jarang muncul di media massa.

Bekas Menteri Penerangan dan mantan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu itu mungkin kelemasan apabila dilanda ombak tsunami politik pada pilihan raya umum Mac 2008 lalu. Apatah lagi ketika kempen pilihan raya umum rancak berjalan, Zam secara angkuh memperkecil-kecilkan kemampuan pencabarnya untuk menandingi BN.

Setelah lebih dua tahun menghilangkan diri, Zam yang kini bergelar Tan Sri muncul dalam wawancara dengan Umno-online.com. Sedutan wawancaranya itu dipetik Utusan online menerusi tajuk berita "Pas parti ekstrem".

Sepanjang wawancara itu, Zam nampaknya masih tidak dapat membuang sifat negatifnya terhadap PAS yang menjadi musuh tradisinya sejak dahulu lagi.

Bagi Zam, PAS tetap parti ekstrem walaupun kini "mengambil pendekatan liberalisme dalam mencari sokongan politik".

Beliau memberikan contoh kononnya ada pemimpin PAS yang pernah meminta bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman merampas harta orang Cina tempatan selepas tragedi 13 Mei 1969.

Ia juga menuduh PAS bersekongkol dengan Indonesia untuk mengambil alih pemerintahan negara dan menangkap para pemimpin tempatan semasa era konfrontasi dengan negara jiran tersebut.

Justeru, kata beliau, tindakan itu mencerminkan PAS merupakan sebuah pertubuhan politik bersifat perkauman berasaskan "ekstremisme kepada Islam yang bertentangan dengan ajaran agama berkenaan".

Begitulah enaknya Zam menghentam PAS seperti enaknya beliau menghentam mentornya Dr Mahathir Mohamad yang didakwanya meminta diwawancara dalam bahasa Inggeris ketika dalam rangka lawatan ke sebuah negara jiran. Hentaman tanpa sandaran fakta itu menyebabkan Zam terpelanting dari Kumpulan Utusan. Itu balasan yang dihadapinya kerana 'menderhakai' mentornya.

Akhbar yang dipimpinnya juga pernah disaman pemimpin PAS kerana mengeluarkan berita dan rencana berunsur fitnah. Paling menonjol adalah artikel tulisan Zam dalam kolum mingguan Awang Selamat bertajuk "Nabi Fadzil Nor dan Nabi Abdul Hadi". Akhbar milik Umno itu akhirnya diperintahkan membayar ganti rugi kepada Presiden dan Timbalan Presiden PAS itu.

Ketika menerajui Utusan, Zam juga memberi ruang kepada penulis-penulis yang sealiran dengannya untuk menghentam PAS, menghina ulama dan mempertikaikan sudut-sudut ajaran Islam seperti hudud yang dianggap bertentangan dengan konsep "Islam sebenar" yang diperjuangkannya. Antaranya ialah Akbar Ali yang mendakwa kononnya para ulama tradisional gagal berfikir dengan rasional kerana ikatan ketat serban-serban mereka menghalang oksigen daripada masuk ke kepala!

Buku tulisan Akbar Ali tentang Islam dirujuk pula oleh Presiden MCA, Dato' Dr Chua Soi Lek sehingga mendorong 'playboy warga emas' itu mengeluarkan kenyataan menghina Islam ketika berucap merasmikan progam MCA Kedah baru-baru ini.

Insiden-insiden di atas membuktikan bahawa Zam bukanlah sumber yang autoritatif dan objektif untuk bercakap tentang PAS kerana permusuhan tebalnya dengan parti Islam itu. Zam hanyalah mesin propaganda Umno yang kini dikitar semula untuk membantu 'menyelamatkan' parti itu yang kini goyah menghadapi gelombang kesedaran rakyat.

Tatkala cuba memburukkan PAS dengan tragedi 13 Mei, Zam lupa bahawa Kelantan yang diperintah PAS pada 1969 tidak langsung terbawa-bawa dengan sentimen kebencian kaum yang meluap-luap pada waktu itu. Malah masyarakat minoriti Cina di negeri itu hidup aman damai sehingga sekarang walaupun diperintah PAS selama lebih 40 tahun! Masyarakat Cina, India, Siam dan lain-lain kaum juga hidup harmoni di negeri-negeri PAS berpengaruh seperti Terengganu, Perlis, Kedah dan utara Perak.

Rahsianya adalah pegangan kuat para ahli dan pendokong PAS terhadap nilai-nilai universal Islam berbanding fahaman Islam bersendi perkauman pegangan Umno yang didokongi Zam.

Mungkin Zam tidak menyedari bahawa seorang pemimpin MCA Pusat, Dr Ng Yen Yen mendapat biasiswa Kerajaan PAS Kelantan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti, jauh sebelum Umno dan BN tergagap-gagap bercakap tentang meritokrasi dan semangat 1Malaysia.

Zam juga mengecam Mursyidul Am PAS yang dakwanya menerima pemimpin bukan Islam yang tidak bermoral sedangkan individu yang dimaksudkan beliau itu menjadi mangsa teman lelakinya, seorang Melayu muslim yang lebih tidak bermoral. Dan adakah Zam boleh memberi jaminan bahawa moral para pemimpin Umno dan BN (khsususnya Presiden MCA) lebih boleh dibanggakan berbanding moral pemimpin bukan Islam Pakatan Rakyat?

Dalam keghairahan memperkecil-kecilkan kerjasama politik Pakatan Rakyat, Zam seakan-akan terlupa dengan masalah yang dihadapi komponen BN. Percakaran berterusan Umno dan parti-parti teras BN yang lain seperti MCA, Gerakan dan MIC bagaikan retak menunggu belah. Ini diburukkan lagi dengan kehadiran Perkasa, kumpulan pendesak yang dianggotai ahli-ahli Umno yang tegar dengan faham fanatik bangsa.

Realiti sistem demokrasi di Malaysia menuntut kerjasama politik parti-parti berlainan ideologi bagi membentuk kerajaan sama ada di peringkat pusat mahupun negeri. BN juga dianggotai belasan parti politik berlainan ideologi. Umno khususnya tidak akan berjaya membentuk kerajaan di peringkat persekutuan kerana ia hanya memiliki 77 kerusi Parlimen berbanding 222 kerusi Dewan Rakyat.

Bagi memastikan ia terus diberi mandat memerintah, Umno perlu membentuk kesepakatan dengan lain-lain parti di bawah bendera BN. Dan seperti juga Pakatan Rakyat, parti-parti gabungan BN yang lain turut mempunyai ideologi, dasar dan matlamat perjuangan yang berbeza berbanding Umno. Malah ahli MCA dan MIC (walaupun beragama Islam) tidak akan diterima menyertai Umno dan begitu juga sebaliknya, kerana parti-parti itu berasaskan kaum.

Usaha memecahbelahkan Pakatan Rakyat adalah strategi lapuk BN dan Umno untuk mengelakkan persaingan mendapatkan kuasa. Kewujudan Pakatan Rakyat sebenarnya menjadi mimpi ngeri kepada BN kerana ia bakal merealisasikan sistem dua parti di negara ini.

Zam boleh terus memainkan lagu-lagu lama untuk memperlekehkan PAS dan Pakatan Rakyat. Bagaimanapun lagu yang dimainkan Zam sudah ketinggalan zaman dan hanya didengari peminat-peminat setia warga emas di saluran Klasik fM!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan