ADA tiga perkara besar yang menjadi rukun terpenting kepada belanjawan negara. Sumber kewangan, pengurusan dan sasaran. Kejayaan belanjawan sangat bergantung dengan ketiga-tiga perkara ini.
Sebarang kelemahan, kekurangan atau kecacatan, menjadikannya gagal mencapai matlamat untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat dan kemajuan negara dalam erti kata yang sebenarnya. Walaupun berapa banyak peruntukan kewangan dan apa pun slogan yang dicipta serta indahnya kata-kata yang diucapkan, tanpa menyempurnakan rukun-rukun tersebut pasti menemui kegagalan.
Kesemua rukun ini hendaklah dilaksanakan dengan adil dan bijak, secara makruf dan mencegah kemunkaran, menunaikan amanah perintah Allah dengan betul dan ikhlas.
Allah menjanjikan keberkatan kepada perbelanjaan sebagaimana Firman Allah yang bermaksud: "Dan kalau sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertaqwa, necaya kami bukakan untuk mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka membohongi, lalu kami bertindak keatas mereka dengan sebab apa yang telah mereka usahakan".
Perkataan berkat hanya berada dalam istilah ekonomi dan kewangan Islam. Ia bermaksud memberi faedah dunia dan akhirat. Perkataan ini cukup bermakna setelah kita menyaksikan dan merasai tanda-tanda awal kemusnahan yang menimpa manusia hari ini, tempiasnya juga dirasai oleh kita di sini.
Kita semua menerima Islam menjadi agama persekutuan dan hak kepada penganut agama lain secara adil. Kerajaan wajib membebaskan pemikiran sempit yang membelenggu pelaksanaan Islam secara menyeluruh dan melaksanakan Islam secara teragak-agak serta terpilih, bukannya secara pengabdian diri kepada Allah.
Saya (Hadi Awang, gambar kiri) ingin mengemukakan dasar dan konsep Islam dalam belanjawan negara, bagi mengisi ketiga-tiga rukun belanjawan tersebut. Saya yakin dan percaya perbezaan agama, bangsa dan politik tidak menghalang sedikit pun pelaksanaannya, sekira ianya difahami dan dilaksanakan dengan adil yang menjadi anutan semua manusia.
Sumber Kewangan
Islam mewajibkan sumber yang halal dan diambil dengan cara yang adil. Dalam perbezaan perkara halal, Islam melarang paksaan terhadap penganut agama lain, mengambil dan memanfaatkan sumber yang diizin oleh agama masing-masing mengikut kepercayaan mereka, dengan syarat meletakkan sumber itu ke dalam simpanan khas bagi mereka dan untuk mereka dan tidak disasarkan kepada penganut Islam.
Dalam mengendalikan urusan ini pihak kerajaan masih tidak istiqamah dengan tidak melakukan pengasingan ini. Kerajaan negeri di bawah Pas diberi arahan melaksanakan perkara ini iaitu mengasingkan hasil halal dan haram.
Sumber daripada judi, arak dan riba yang haram dengan nyata masih lagi bergelumang dengan sumber kewangan negara. Bahkan dianggap terpenting. Begitulah kenyataannya pemimpin yang mengaku menganut Islam, walaupun Allah menegaskan dengan amaran yang keras.
Tidak ada dalam sejarah dunia, negara-negara yang maju dengan sumber judi, arak dan riba. Apa yang berlaku ialah keruntuhan negara disebabkan judi, arak dan riba.
Perlesenan judi oleh kementerian kewangan di bawah kuasa kerajaan pusat bukannya kerajaan negeri. Sangat malang dan memalukan, apabila kita menjadi negara yang mempunyai pusat judi yang terbesar di rantau ini dan bertaraf antarabangsa.
Kegiatannya sentiasa bertambah dengan keizinan kerajaan di atas nama kawalan. Banyak amaran Allah terhadap haramnya judi dan apa yang diharamkan pasti membawa mudarat dan penyakit.
Kalau ada manfaat sekalipun, terlalu sedikit dan tidak boleh menampung bencana daripada penyakitnya. Firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah ayat 219: "Mereka bertanyakan kamu berkenaan arak dan judi. Katakan kepada mereka, pada keduanya dosa yang besar dan beberapa manfaat kepada manusia, namun dosa kedua-duanya lebih besar daripada beberapa manfaat yang dihasilkan".
Seluruh penyelidik kemasyarakatan, sama ada Islam atau bukan Islam mengakui hakikat bahawa sebarang bentuk judi menyebabkan gejala negatif yang merugikan jauh lebih besar daripada hasil kewangannya.
Di antara hasil kewangan negara ialah perusahaan arak dan judi yang dibangunkan sejak daripada zaman penjajah. Sumber kewangan negara masih juga ada pergantungan kepada hutang yang berlandaskan riba dan amalan yang berlandaskan riba.
Di antara sebab kemusnahan parah yang menimpa sistem liberal kapitalisme yang dijulang oleh kuasa besar barat ialah riba. Allah SWT mengharamkan riba dengan sekeras-kerasnya dengan amaran dunia dan akhirat, sudah pasti riba sebenarnya penyakit barah ekonomi khususnya kepada aspek kewangan.
Allah SWT berfirman dalam surah al Baqarah ayat 276 yang bermaksud; "Allah menghapuskan (berkat dan kebaikan) daripada riba dan memberi keuntungan kepada segala sedekah (yang bersifat bertolong menolong), dan Allah tidak mengasihi setiap keengkaran dan dosa".
Allah juga memberi amaran yang keras terhadap mereka yang malakukan muamalah riba dalam Al Quran surah Al Baqarah ayat 278 dan 279; "Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah (dengan mematuhi segala perintahnya dan meninggalkan larangannya) dan tinggallah saki-baki riba, sekiranya kamu benar-benar menjadi orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak melakukannya (dengan menunaikan perintah Allah yang mengharamkan riba itu) bermakna kamu mengizinkan Allah mengisytiharkan perang terhadap kamu, dan jika sekiranya kamu bertaubat, maka untuk kamu ialah modal harta kamu yang sebenar, dalam keadaan kamu tidak menzalimi dan di zalimi".
Walaupun muamalat Islam dikembangkan dalam bidang perbankan dengan berbagai iktiviti dengan jumlah kewangan yang besar dan menerima pelaburan asing, tetapi kemungkaran riba tidak dicegah, menyebabkan hasil kewangan yang tidak saksama dengan tepat.
Sumber kewangan juga diambil melalui cara zalim terhadap rakyat dan negeri. Kami tetap menegaskan bahawa merampas royalti petroleum daripada negeri Terengganu dan menfikan hak Kelantan adalah satu kezaliman yang haram.
Begitu juga peruntukan dan pengurusan hasil kekayaan di Sabah dan Sarawak masih tidak dapat menyelesaikan kemudahan asas setelah berlalu kemerdekaan setengah abad. Cukai-cukai dan denda yang tidak berpatutan, membebankan rakyat miskin yang berada di seluruh negara.
Bayaran yang diwajibkan kepada rakyat lebih besar daripada yang wajib dilakukan oleh kerajaan kepada rakyat, tetapi tidak dilaksanakan dengan sempurna saperti rawatan kesihatan, pendidikan dan kemudahan asas.
Karajaan menjadikan perkara-perkara tersebut salah satu daripada sumber kewangan negara yang dibebankan kepada rakyat.
Terlalu banyak sumber-sumber alam kurniaan Allah di tanah air kita ini dan sumber yang boleh diambil daripada kalangan mereka yang kaya raya. Tetapi malangnya tidak dikendalikan dengan betul, lalu membebankan rakyat secara menyeluruh, termasuk kalangan yang miskin. Tanpa membetulkan proses memanfaatkan sumber alam dan mereka yang kaya raya tidak diatur supaya menjadi penyumbang yang sistematik dan adil, dengan pencapaian produktiviti yang menjadi hasil negara.
Puncanya kerana salah urus, dibayangi rasuah dan monopili yang haram. Di antara puncanya juga ialah campur tangan politik yang melampau, sehingga menjadikannya sentiasa tidak mencukupi. Keadaan ini menjadikan sumber kekayaan negara berkisar dikalangan orang yang tertentu, tanpa peduli larangan Allah. Firman Allah; "Supaya jangan berkisar di kalangan orang-orang kaya yang tertentu", iaitu kalangan kaya-raya yang berkeliaran di keliling pihak yang berkuasa dengan sumbangan kewangan untuk mengukuhkan pengaruh dengan rasuah. Sehingga kewangan tidak diurus dengan saksama.
Pengurusan
Saya sangat menghargai kakitangan dan pegawai kerajaan yang mengendalikan urusan menjayakan belanjawan mengikut bidang masing-masing. Mereka adalah kalangan yang berpelajaran, berpengalaman dan berkebolehan yang bertaraf tinggi.
Contoh rakan-rakan yang sama melarikan diri berkhidmat di negara luar mendapat pujian di negara tempat mereka berkhidmat. Mengapa mereka yang berada dalam negeri mengalami halangan yang menjadikan segala rancangan Malaysia yang terdahulu tidak mencapai matlamat yang memuaskan dan kita merasa bimbang rancangan malaysia yang sedang dan akan datang mengalami nasib yang lebih buruk.
Di antara puncanya ialah, wujudnya roh politik kepartian yang sangat kuat dalam pentadbiran dan pelaksanaan di semua peringkat. Penjawatan, kenaikan pangkat dan pertukaran tidak berdasar dan berkonsepkan kebolehan dan kelayakan yang sebenar.
Dalam negara demokrasi yang maju para pegawai mengambil tempat dan bertugas secara profesional bukannya kepartian. Mereka boleh menganut apa sahaja fahaman politik yang mereka pilih dan mereka bekerja dan bertugas secara profesional untuk negara di bawah kerajaan yang memerintah dengan tekun berkhidmat kepada negara dan masyarakat.
Ada pun di negara kita ini dirasuk hantu politik kepartian di semua peringkat daripada atas sampai ke bawah. Di peringkat atas saudara semua tahu, mereka yang berada di atas mungkin terlalu tinggi, tidak nampak apa yang berlaku di bawah terutamanya yang paling bawah.
Pengurusan di bawah diganggu oleh lapisan yang dinamakan JKKK. Mereka yang dilantik oleh parti diperingkat cawangan, bagi menjamin rakyat menyokong parti secara paksa dan mengugut.
Semua kelulusan permohonan, bermula daripada bantuan kebajikan bagi menyara hidup sehinggalah borang para pelajar disemua peringkat, wajib mendapat pengesahan JKKK. Terpaksalah terhegeh-hegeh menyembah JKKK sebelum dihantar ke jabatan-jabatan.
Para pegawai wajib menerima pengesahan JKKK, seolah-olah JKKK lebih besar dan dan berperanan daripada pegawai-pegawai yang berpegajian tinggi. Ini di antara penyakit pengurusan yang sedang membarah sekarang.
Ramai wakil-wakil rakyat BN pula bergantung kemenangan pilihanraya kepada JKKK. sudah tentu mereka mempertahankan golongan ini habis-habisan walaupun merosakkan pengurusan dan pentadbiran bagi menyalurkan bajet ini kepada sasarannya secara bijaksana bukan bijaksini.
Negara sedang mengalami kepimpinan yang tidak menjadi teladan, walaupun slogan ini pernah diwarwarkan beberapa dekad yang lalu dan berada dalam lipatan sejarah. Kita telah menyaksikan projek-projek gagal, sedang dan akan terus menyaksikannya.
Di pertengahan tahun wajib dibentangkan dalam dewan ini peruntukan tambahan. Kita tidak mahu peruntukan tanbahan kerana kejahatan manusia dengan sengaja, bukannya bencana yang tidak boleh dielak.
Saya adalah Melayu yang tidak lupa dengan peristiwa stadium runtuh, stesen bas runtuh, makmal di sekolah runtuh sehingga bumbung masjid pun ada juga yang runtuh. Mereka yang bertanggungjawab tidak nampak dan tidak didengari ada yang diambil tindakan.
Mungkin menunggu supaya dilupakan dan terus mendapat projek baru. Bayangan rasuah belum hilang walaupun ada kedengaran tindakan yang diambil, tetapi secara terpilih.
Saya yakin negara yang dihinggapi politik wang dalam pemilihan parti dan pilihanraya tidak mampu mengatasi penyakit rasuah, jauh sekali untuk menghapuskannya. Saya serahkan kepada rakan-rakan yang lain untuk menyebutnya secara detail.
Saya baru pulang dari lautan dalam bersama nelayan, dan saya menyaksikan sendiri bagaimana kapal pukat tunda yang berkuasa tinggi membersihkan laut daripada batu karang, di samping membaham unjam-unjam menarik ikan dan bubu nelayan kecil.
Kumpulan lanun ini bergerak dengan bebas dan berlesen besar, bukan sahaja menggangu nelayan kecil dan sederhana, tatapi sangat merbahaya kerana menghapuskan benih hasil laut dan kawasan pembiakan di dasar laut.
Ikan-ikan yang besar dibawa keluar negara, ikan-ikan yang sederhana, kecil dan kurang mutu dibawa ke darat untuk dijual atau dibuat baja. Saya dimaklumkan juga bahawa tuan punya di darat, pekerjanya daripada negara asing.
Di antara kegiatannya juga ialah mengisi minyak sabsidi dengan banyak untuk dijual di laut. Ada kalangan penguatkuasa memaklumkan kepada saya, tidak boleh diambil tindakan kerana jerung di darat terlalu besar menganga mulut untuk menelan kami.
Walaupun banyak negara dalam dunia termasuk negara maju mengharamkan sebarang cara yang merosakkan hasil laut tetapi kita masih berterusan dengan amalan makhluk perosak ini. Saya mencadangkan supaya pihak yang lebih berkuasa bertindak dengan berani dan telus bagi menyelamatkan keadaan.
Lebih daripada 50% nelayan pukat sederhana dan kecil terpaksa manjual bot, pukat dan alatan nelayan bagi mencari pekerjaan yang lain tanpa suatu jaminan yang kukuh. Keadaan yang sama berlaku di kawasan sungai dan tasik di Malaysia Timur dan Barat .
Sasaran
Perancangan memajukan negara yang membawa kebaikan kepada rakyat, tidak mencapai sasaran. Sekiranya sumber kewangan berpusing dikalangan orang-orang yang tertentu, dikalangan kroni dan mereka yang tidak layak menerimanya.
Perbelanjaan negara tidak bermanfaat sekiranya diletakkan tidak kena pada tempatnya atau tidak sampai kepada sasaran yang sebanar atau mereka yang diberi peluang tidak layak melaksanakannya dengan berjaya.
Pendekatan menjadikan harta kekayaan berpusing dikalangan mereka yang tertentu, daripada pemimpin kepada kroni dan ada bahagian untuk pemimpin dan diberi peluang lagi kepada kroni, hanya sedikit sahaja yang turun kepada sasaran yang sebenar.
Inilah hasil politik wang yang membentuk amalan yang begitu rupa. Amalan ini diakui sendiri oleh pemimpin-pemimpin utama BN.
Syarat pertama untuk mendapat projek ialah pengesahan menjadi penyokong kuat BN. Syarat pertama untuk medapat kemudahan bantuan dalam segala bidang ialah mendapat tanda tangan pengesahan daripada JKKK.
Yang menjadi mangsa terbanyak termasuk dikalangan bumiputera sendiri yang diberi hak istemewa.
Saya sangat menghargai semua kaum yang menjadi rakyat negara ini, yang menerima hakikat hak bumiputera yang perlu dibela dengan hak istemewa, kerana jumlah mereka lebih besar dan majoriti berada di kawasan yang tiada kemudahan hidup, dalam masa yang sama tanpa menafikan hak kaum lain yang terbengkalai.
Semua ketetapan ini hendaklah diamalkan dengan cara yang benar dan saksama. Jangan dipengaruhi oleh fanatik kepartaian yang lebih sempit daripada fanatik kaum yang lebih parah merbahayanya.
Hari ini kita melihat wujudnya gejala perkauman yang sengaja dibangkitkan semula. Saya suka menegaskan bahawa Islam tidak menghalang semangat kecintaan kepada kaum masing-masing kerana perkara ini menjadi naluri manusia dan Islam mewajibkan hubungan sesama keluarga secara wajib, yang dinamakan silaturrahim, yang diharamkan memutuskannya.
Semua para rasul melahirkan kecintaan kepada kaum bangsanya dalam ucapan mereka; "Wahai kaum bangsa ku abdikan diri kepada Allah".
Inilah ucapan semua para Rasul menunjukkan kecintaan mereka kepada kaum masing-masing.
Allah sendiri berfirman bahawa Dialah yang mewujudkan berbagai bangsa dan kaum, kerana hikmah memasyarakatkan manusia secara sejagat, bukannya untuk berpecah dan berkelahi sehingga berperang diantara satu sama lain.
"Wahai manusia, sesungguhnya kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu berkenalan diantara satu sama lain".
Berkenalan dengan makna hidup bermasyarakat, bertolong menolong dengan bertukar keperluan dan kebolehan yang berbeza dikalangan berbagai bangsa dan berbagai peringkat, menjadikan semua keperluan dapat dihasilkan secara kerjasama persaudaraan kemanusiaan.
Dalam kecintaan kepada bangsa masing-masing Allah meletakkan garis panduan, di antaranya ialah firman Allah; "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah sesuatu kaum itu mempersendakan kaum yang lain, boleh jadi kaum yang dipersendakan itu lebih daripada yang mempersendakannya, dan janganlah kaum wanita mempersendakan wanita yang lain, boleh jadi wanita yang dipersendakan itu lebih baik daripada yang mepersendakannya, dan janganlah kamu mencela sesama kamu dan jangan memberi gelaran yang menghina, seburuk buruk nama ialah fasik selepas beriman, dan sesiapa yang tidak bertaubat mereka itulah orang -orang yang zalim".
Apabila Allah mengaitkan amalan ini dengan iman dan fasik, menunjukkan bahawa mempersendakan kaum besar dosanya dalam agama Islam sehingga menjadi fasik yang tidak layak menjadi saksi di mahkamah.
Islam juga melarang fanatik kaum yang dinamakan asobiyyah. Sabda Rasulullah SAW; "Bukan daripada kalangan kami (orang Islam yang sebenar) orang yang mengajak kejalan asobiyyah, bukan daripada kalangan kita orang yang berperang di atas dasar asobiyyah dan bukan daripada kalangan kita orang yang mati kerana asobiyyah". Lalu ditanya: "Apakah asobiyyah itu?" Jawab Rasulullah SAW; "Kamu menolong kaum mu di atas perkara yang zalim".
Menunjukkan bahawa tidak menjadi salah sayangkan kaum masing-masing dan membela kaum masing-masing, tetapi salah dan sesat apabila dijadikan kecintaan kaum suatu aqidah perjuangan yang melampau.
Islam mengharamkan zalim dan menghina serta mengejek di kalangan kaum. Sehingga Rasulullah S.A.W. mengambil tindakan disiplin yang keras terhadap para sahabat yang menghina kaum.
Dalam satu peristiwa Rasulullah S.A.W. bangun berdiri apabila dibawa jenazah seorang penganut agama yahudi untuk dikebumikan. Rasulullah S.A.W. berdepan dengan jenazah, lalu dia bangun berdiri.
Diberitahu kepadanya: "Jenazah penganut agama Yahudi". Lalu dijawab, "Dia juga seorang manusia". Maksudnya menghormati kemanuasiaan, walaupun terhadap Yahudi yang paling bermusuh dengan Islam.
Islam mewajibkan penganutnya menghormati dan membantu ibu bapa dan keluarga yang beragama lain bagi menjaga hubungan kekeluargaan dan kemanusiaan.
Bermakna kecintaan kepada bangsa dan membela bangsa masing-masing yang lemah tidak menjadi kesalahan tetapi hendaklah dipelihara juga hubungan kemanusiaan.
Apabila kecintaan kepada bangsa dijadikan aqidah yang mengatasi perintah agama supaya berlaku adil terhadap semua dan bersifat kemanusiaan kepada semua adalah haram.
Perpaduan rakyat sangat penting bagi menegakkan negara , kerana rakyat adalah salah satu rukun bagi Negara. Kekukuhan perpaduan kalangan rakyat gagal diwujudkan berasaskan fanatik kaum. Dalam masa yang sama hak sesuatu kaum dalam negara tidak boleh dihapuskan sekali-kali.
Perpaduan dapat diwujudkan dengan menyuburkan sifat kemanusiaan bersama mengikut naluri bukannya dengan perasaan membuta tuli.
Semua kaum mengakui golongan bumiputra merupakan majoriti dan paling ramai dipinggirkan kerana pengurusan yang salah yang wajib diperbetulkan. Dalam masa yang sama wajib disedari bahawa kaum lain adalah hakikat menjadi rakyat tempatan yang tidak harus dilebelkan dengan kata-kata yang menyakitkan perasaan atau sendaan yang boleh mengeruhkan keadaan.
Islam meletakkan sikap sebigini adalah amalan jahiliyyiah yang wajib dikuburkan, dan Allah memuliakan sesuatu kaum dengan berpegang kepada ajaran Islam.
Sejarah Islam membuktikan bahawa kepimpinan negara Islam tidak tetap di tangan bangsa Arab sahaja. Apabila bangsa Arab meninggalkan Islam, kepimpinan bertukar kepada bangsa bukan Arab yang berpegang dengan Islam.
Keamanan dan keselamatan
Mutakhir ini kita mengalami gejala jenayah berat dan ringan yang tersebar meluas dalam keadaan yang menggerunkan. Ia menunjukkan tidak ada kehebatan undang-undang.
Menjadikan keadaan tidak selamat, daripada jalan raya sehingga dalam rumah sendiri. Sudah banyak mangsa yang dilaporkan terbunuh, hilang, cedera, kehilangan harta dan maruah diri, hilangnya peri kemanusiaan.
Menunjukkan kegagalan undang-undang, kelemahan penguatkuasaan dan badan kehakiman. Marilah kita mengaku kesilapan secara ikhlas, kerana Allah sentiasa membuka pintu taubat seluas timur dan barat, sepenuh langit dan bumi.
Jangan bersikap angkuh lalu tidak berlaku adil terhadap diri sendiri sehingga menutup kelemahan, kerana sikap begini akan membawa kemusnahan.
Pembangunan manusia
Pencapaian kemajuan negara sangat berkait dengan keadaan keselamatan yang menunjukkan kelemahan dalam dasar dan sistem pembangunan insan, kerana tidak memenuhi keperluan manusia mengikut fitrah mereka, daripada segi jasad dan roh, individu dan masyarakat.
Aspek ini berkait dengan peranan pendidikan dan media yang mempengaruhi perkembangan ilmu dan minda.
Sistem pendidikan yang gagal melahirkan insan yang beriman dan budiman, bukan sahaja berilmu. Pembangunan insan menjadi rukun pertama kepada pembangunan tamadun sesuatu umat, aspek kebendaan adalah selepasnya.
Semua negara kuasa besar yang musnah, ketika mereka berada dikemuncak kekayaan, sehingga berjaya mendirikan bangunan yang hebat, tinggi dan kukuh. Berada di kemuncak kekuatan sehingga menjajah kaum lain, tetapi tidak beriman dan budiman.
Persediaan pembangunan insan bukan sahaja bangunan pusat- pusat pendidikan disemua peringkat yang tersergam indah, dan kakitangan yang bergaji lumayan, tetapi juga sangat bergantung dengan dasar pendidikan dan sistem yang merangkumi aspek naluri manusia.
Pembangunan insan hendaklah membentuk akal dan rohani, bukan sahaja jasad yang dilihat. Islam mewajibkan semua ilmu berlandaskan iman sehingga tidak ada pemisahan di antara ilmu duniawi dan ilmu agama, kerana perhitungan dosa pahala berkait dengan seluruh kegiatan manusia.
Begitulah juga akhlak yang mulia. Inilah cara melahirkan manusia yang ikhlas kepada Tuhan dengan ilmu dan akhlak yang luhur, menjadi anggota yang berwibawa membangun umat dan negara, rela berkhidmat dengan penuh pengorbanan dan efisen.
Gejala bekerja kerajaan kerana tidak ada kerja di tempat lain, lebih suka berkhidmat di luar negara kerana mengejar gaji lebih dan keselesaan.
Masalah birokrasi, rasuah, projek terbengkalai menandakan kelemahan dalam pembangunan insan. Maka sistem pendidikan dan pentabirannya hendaklah dilakukan islah.
Peranan media sangat penting bagi melahirkan rakyat yang beriman, budiman dan berilmu. Sepatutnya media melahirkan rakyat yang minat berfikir dan berilmu dengan minat membaca dan mengkaji. Tetapi hari ini ia melahirkan rakyat yang minat berhibur dan berkhayal. Keadaan lebih merbahaya dizaman langit terbuka tanpa sempadan.
Bahasa Kebangsaan
Di awal kemerdekaan kita pernah menobatkan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan yang rasmi. Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan bagi memperkasakan bahasa kebangsaan.
Sehingga bahasa ini berjaya menjadi bahasa perantaran bebagai kaum yang diterima sehingga ke peringkat terbawah di kampung Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain, sehingga berjaya menghubungkan semua kaum, supaya mengeratkan perpaduan tanpa menafikan bahasa ibunda kaum masing-masing, dan mata pelajaran bahasa asing bagi perhubungan antarabangsa dan menimba ilmu dari seluruh pelusuk dunia.
Usaha dilakukan untuk mengambalikan semula bahasa kebangsaan menjadi bahasa ilmu yang pernah berlaku di rantau ini, sehingga digunakan oleh beratus juta manusia.
Ketika bangsa lain memperkasakan bahasa mereka, seperti Jepun, Cina, Jerman dan lain-lain sehingga berjaya menembusi kedudukan di peringkat antarabangsa dalam lapangan yang luas.
Tiba-tiba pemimpin kita kehilangan jiwa sehingga segan berbahasa dengan bahasa kebangsaannya sendiri. Keadaan ini menyebabkan kedudukan bahasa kebangsaan dipinggirkan dalam tanahair sendiri.
Pemantauan Bajet
Dalam negara maju bajet perlu dipantau. Di zaman kegemilangan Islam amalan ini pernah dilaksanakan, apabila kewangan negara bukan sahaja dipantau sumbernya, termasuklah juga pengurusan dan sasaran. Dalam negara moden berlaku secara lebih sistematik, dengan melibatkan tiga pihak iaitu politik, pentadbiran dan awam.
Politik
Belanjawan negara bukan sahaja melalui pembentangan di Parlimen untuk mengesahkannya dari segi perundangan. Yang terpenting, ia juga dipantau melalui soalan dan perbahasan wakil rakyat dan jawapan para menteri kabinet.
Pemantauan tidak berlaku dengan tepat sekiranya banyak soalan ditolak dan menteri yang bertanggungjawab tidak hadir menjawab dan memberi penjelasan. Dibimbangi ada sesuatu kecacatan yang disembunyikan dan menghalang kritikan membina.
Pihak kerajaan dan pembangkang sama-sama bertanggungjawab. Pihak pembangkang hendaklah dianggap penasihat bukannya musuh. Kalangan kerajaan juga mestilah terbuka dan telus, diberi hak yang sama untuk memberi pendapat termasuk mengkritik dengan bebas tanpa syarat yang menganggu hak memberi pendapat yang berbeza.
Pentadbiran
Kalangan pentadbiran yang mengurus dan mengendalikan secara langsung bukan sahaja memantau dari segi auditan yang khusus kepada aspek kewangan, termasuklah juga yang lain jika berlaku.
Kerana yang diambil kira bukan sahaja perbelanjaan keewangan, termasuklah juga pengurusan dan pelaksanaannya. Perkara yang menjadi tujuannya tercapai ataupun tidak.
Pihak awam
Pihak awam juga diberi hak sama memantau bajet, kerana masyarakat awam adalah sasaran utamanya. Individu yang berkepakaran melalui NGO dan media juga berhak memantau perjalanan jentera kerajaan dan politik bagi menggunakan jumlah wang yang diamanahkan. Kadang-kadang pendedahan pihak ini menyedarkan yang salah dan silap.
Penguatkuasaan OSA adalah langkah yang sangat negatif kerana menghalang hak yang adil terhadap negara bagi kebaikan kerajaan dan rakyat.
Undang-undang ini lebih bersifat menyembunyikan kesalahan dan kelemahan. Kerajaan yang kuat dan teguh bersifat berani walaupun menghadapi tuduhan dan tohmahan.
Tuduhan yang benar memberi kesempatan melakukan pembaikan dan pembetulan, tuduhan yang salah perlu dijawab, dan ada cara lain untuk bertindak terhadap penyebar fitnah. OSA menjadikan kerajaan berlagak maksum (bersih sepanjang masa).
Hanya mereka yang berjuang mengekalkan kuasa sahaja bersifat demikian. Peraturan alam daripada Allah menetapkan bahawa hanya kerajaan Allah sahaja yang kekal, semua kerajaan makhluk tidak kekal, walau pemimpinnya seorang Rasul yang mempunyai makjizat.
Allah mengesahkan satu kerajaan yang hebat tamadun kebendaannya, lalu berlagak bahawa dia sahaja yang betul dan memperbodohkan rakyat dengan kesenangan dan kemewahan. Allah berfirman; "Firaun (Raja Mesir) menyeru kaumnya dengan menyampaikan ucapan: Wahai kaumku, tidakkah aku yang memiliki kerajaan negeri Mesir ini, lihatlah sungai yang mengalir dibawah arahanku, adakah kamu tidak dapat melihatnya. Aku lebih baik daripada orang yang hina ini (Nabi Musa yang menentang kerajaan), yang tidak dapat memberi penjelasan dengan nyata. Mengapa tidak diberikan kepadanya gelang-gelang emas (tanda pangkat kebesaran) atau para malaikat datang mengiringinya? Lalu raja itu dapat menjadikan rakyatnya lemah dan bodoh, lalu mentaatinya secara melulu. Sesungguhnya mereka menjadi orang-orang yang fasik. Maka tatkala mereka melakukan perkara yang menyebabkan kami murka, kami pun memberi hukuman siksa keatas mereka, lalu kami tenggelamkan mereka semua. Maka kami jadikannya pengajaran kepada umat yang terdahulu dan contoh kepada umat yang kemudian".
Kebanyakan pengkaji sejarah zaman kini hanya melihat aspek kehebatan tamadun kebendaannya, tanpa melihat kezaliman yang tersirat membawa akibat terburuk.
Allah memerintah supaya kita sentiasa terbuka kepada kebebasan mencari kebenaran dan nasihat menasihati.
Allah berfirman; "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Melainkan orang-orang yang beriman, yang mengerjakan amal yang baik dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran".
Penutup
Akhirnya saya tegaskan, kejayaan bajet ini ialah meneruskan apa yang baik sebelum ini dan berani membuat muhasabah serta membetulkan kesilapan, menampung yang kurang menguatkan yang lemah. Perjalanannya hendaklah memenuhi rukun kejayaan, serta bersikap terbuka kepada semua pihak yang memberi teguran.
Saya tertarik dengan persembahan bajet yang bermuqadimah Al Quran daripada surah Al Qosas ayat 77. Ayat ini sebanarnya berkait dengan pengajaran daripada cerita Qarun yang dibinasakan bersama dengan harta kekayaannya.
Untuk merangkumi pengajarannya mestilah dibaca ayat 76 sehingga ayat 84. Sila rujuk kepada Al Quran saya petik sebahagian daripadanya; 76. "Sesungguhnya Karun adalah termasuk dikalangan kaum Musa, Maka ia berlaku zalim terhadap mereka, dan kami telah mengurniakan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepadanya: "Janganlah kamu terlalu bangga; Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri."
77. "Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan".
78. "Karun berkata: "Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, karana ilmu yang ada padaku," dan apakah ia tidak mengetahui, bahawasanya Allah sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan tidaklah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu, tentang dosa-dosa mereka."
79. "Maka keluarlah Karun kepada kaumnya dalam kemegahannya. Berkatalah orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia: "Moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Karun; Sesungguhnya ia benar-benar mempunyai keberuntungan yang besar."
80. "Berkatalah orang-orang yang dikurniakan ilmu kepadanya; "Kecelakaan yang besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan tidak diperoleh pahala itu, kecuali oleh orang- orang yang sabar."
81. "Maka kami benamkanlah Karun beserta rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya suatu golonganpun yang menolongnya terhadap azab Allah. dan tiadalah ia termasuk orang-orang (yang dapat) membela (dirinya)."
82. "Dan jadilah orang-orang yang kelmarin mencita-citakan kedudukan Karun itu, berkata: "Aduhai, benarlah Allah melapangkan rezeki bagi siapa yang dia kehendaki dari hamba-hambanya dan menyempitkannya; kalau Allah tidak melimpahkan kurnia-Nya atas kita benar-benar dia telah membenamkan kita (pula). Aduhai benarlah, tidak beruntung orang- orang yang mengingkari (nikmat Allah)."
83. "Negeri akhirat itu, kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di (muka) bumi, dan kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang-orang yang bertakwa."
84. "Barangsiapa yang datang dengan (membawa) kebaikan, maka baginya (pahala) yang lebih baik daripada kebaikannya itu; dan barangsiapa yang datang dengan (membawa) kejahatan, maka tidaklah diberi pembalasan kepada orang-orang yang telah mengerjakan kejahatan itu, melainkan (seimbang) dengan apa yang dahulu mereka kerjakan."
Qorun mendapat kecelakaan kerana sumber harta yang haram dan mengurus secara zalim. Hanya modal harta tanpa modal insan yang sebenar.
Kebahagian dunia sepatutnya menjadi jambatan bahagia sementara waktu di dunia dan kebahagian kekal dihari akhirat, tiba-tiba celaka di dunia dan lebih celaka di akhirat.
Modal insan yang sebenar hendaklah membina roh dan jasad, individu dan masyarakat, bermakna dengan ilmu iman dan akhlak. Saya tidak nampak kejayaan akan dicapai dengan sistem pendidikan yang tidak berjiwa bangsa kerana meminggirkan bahasa kebangsaan, tidak beriman dan berakhlak kerana bergantung dengan guru daripada negara barat.
Kuasa pihak pentadbir dan pendidik dihapus walau pun dibekal dengan gaji yang lumayan. Dalam aspek agama pula menyalahgunakan guru siswazah agama sekadar mengajar membaca dan menulis melalui progrem JQAF. Taraf imam masjid lebih hina daripada JKKK dan Tok Batin.
Daripada mana sumber kewangan yang hendak dibersihkan kalau diantara projeknya sebuah kasino untuk bersaing dengan Resort World Sentosa di Singapura.
Bagaimana untuk mencapai taraf negara maju kalau pekerjanya masih mengemis. Isu gaji minima baru di peringkat menubuhkan majlis konsultasi.
Amalan boros masih diteruskan dengan pembiayaan projek mewah untuk kemegahan dan kepentingan segelintir manusia dan mengabaikan majoriti rakyat. Rasulullah SAW bersabda di antara tanda akhir yang membawa kemusnahan alam ialah: "Apabila kamu melihat berlakunya orang yang dahulunya berkaki ayam (tanpa kasut) tanpa pakaian kerana terlalu miskin, tiba-tiba mereka berlumba-lumba mendirikan bangunan yang tinggi."
Saya memberi amaran bahawa penerusan membina menara tinggi yang baru, bukannya kemajuan tamadun, tetapi permulaan kemusnahan tamadun.
*Perbahasan Belanjawan 2011 oleh Abdul Hadi Awang selaku Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden PAS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan