MARI MENDENGAR & MEMAHAMI AL-QUR'AN

Listen to Quran

Rabu, Disember 22, 2010

Sambutan Ambang Sejahtera di Dataran Jam Besar, Sungai Petani


Seluruh lapisan rakyat negeri ini, khususnya warga Sungai Petani beruntung kerana sekali lagi berpeluang bergembira dengan acara Ambang Sejahtera

menunggu detik 12 malam menjelang tahun baru 2011 yang akan diadakan di Dataran Jam Besar Sungai Petani.

Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak bersama barisan exconya serta Ahli Dewan Undangan Negeri, ketua-ketua jabatan akan hadir bersama rakyat meraikan majlis tersebut.

Pada jam 5 petang orang ramai akan dapat menyasikkan persembahan sepakraga ratus yang terdiri daripada 300 orang dan pertunjukan seni mempertahan diri pelbagai kaum yang terdapat di negeri Kedah ini.

Selain itu, para peminat bola sepak jangan lepaskan peluang melihat aksi perlawanan persahabatan antara Skuad Liga Super Kedah melawan Skuad Piala Presiden Kedah.

Pada sebelah malamnya pula diadakan persembahan kebudayaan pelbagai kaum seperti gendang harmoni, tarian singa dan tarian merak. Persembahan kebudayaan ini juga dimeriahkan oleh Mel bekas vokalis kumpulan Wings dan Paklong.

Di samping itu para hadirin akan didedahkan dengan maklumat terkini serta pembangunan negeri Kedah dengan tayangan multimedia ‘Pencapaian Kedah 2009-2010’ selama empat minit. Manakala acara kemuncak ialah tembakan bunga api selepas jam 12 malam.

Acara dimulakan seawal 8 pagi dengan persiapan gerai jualan dan pertandingan memasak dan gubahan bunga. Bagi sesiapa yang berminat untuk menyertai boleh hubungi Puan Jamaliah Omar di talian 019-4161263. Manakala bagi ibu bapa yang ingin anak-anaknya mengambil bahagian dalam pertandingan mewarna dan melukis boleh hubungi Ustaz Ridzuan Jaafar di no 012-469296.

Selasa, Disember 14, 2010

Ketuanan Melayu: Nik Aziz pohon Raja-raja Melayu selesai guna al-Quran


Oleh Syed Mu’az Syed Putra

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mencadangkan Raja-raja Melayu agar perkenan mencari jalan penyelesaian terbaik sekiranya mengambil berat tentang nasib orang Melayu di negara ini.

Dalam kenyataan terbaru menyentuh polemik ungkapan Ketuanan Melayu, Mursyidul Am PAS berkata, Raja-raja Melayu yang memperlihatkan kebimbangan mengenai kedudukan orang Melayu sejak kebelakangan ini, perlu tampil mencari jalan penyelesaian menggunakan lunas al-Quran.

“Apabila terdapat beberapa orang Raja-raja Melayu yang menyuarakan kebimbangan berkenaan nasib orang Melayu, saya sarankan supaya marilah kita merujuk kepada al-Quran.

“Pada saya, Raja-raja Melayu berhak bimbang jika benar orang-orang Melayu terancam, tetapi marilah kita mencari penawar yang betul untuk penyakit yang berlaku,” kata beliau yang masih dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Dalam hal ini, kata Menteri Besar Kelantan, ungkapan Ketuanan Melayu merupakan ubat yang salah bahkan ia sebenarnya racun yang bisa.

“Justeru, bolehkah kiranya saya meletakkan harapan kepada pihak Raja-raja Melayu agar membawa rakyat kembali kepada Islam sebagai penyelesaian terhadap masalah yang berlaku? Yakinlah, dengan Islam, Melayu akan terbela,” katanya lagi.

Sejak bulan lalu, pendebatan isu konsep Ketuanan Melayu ini begitu hebat diperkatakan selepas Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam ucapan dasar Kongres Naional PKR meminta supaya “Ketuanan Melayu” ditinggalkan.

Malah Perkasa juga mengkritik dengan menyifatkan Dr Wan Azizah sebagai “pelacur politik” dan kacang melupakan kulit kerana meminta ungkapan “Ketuanan Melayu” diketepikan bagi memajukan orang Melayu.

Dalam kenyataan hari ini juga, Nik Aziz mendakwa Umno tidak mengutamakan kepentingan soal agama Islam tetapi mengagung-agungkan ungkapan Ketuanan Melayu yang dilihat tidak memberikan sebarang faedah kepada negara terutamanya orang Melayu.

Beliau berkata jika bercakap tentang ketuanan ia mesti kembali kepada Islam, bukannya Melayu yang selama ini menjadi modal perjuangan Umno.

“Ketuanan hendaklah kembali kepada Islam. Tidak dinafikan bahawa di negara ini majoriti umat Islam ialah berbangsa Melayu, ini sepatutnya menjadi satu kebanggaan bangsa Melayu sendiri yang sudah menerima Islam beratus-ratus tahun yang lampau.

“Bukankah Islam itu anugerah daripada Allah? Tidakkah hanya orang yang bertuah sahaja yang akan menerima anugerah daripada Allah s.w.t,” soal Nik Aziz.

Beliau juga melahirkan rasa kecewa apabila ada di kalangan orang Melayu di negara ini menolak Islam.

“Namun, dukacita sekali apabila ada orang Melayu sendiri yang menolak Islam, menolak Islam bererti menolak ketuanan Islam dan bila menolak Islam ertinya menolak anugerah Allah.

“Seolah-olah Islam ini bahan buangan yang tidak layak untuk diterima, demikianlah barangkali tanggapan mereka yang mengetepikan Islam sebagai perundangan hidup mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata slogan “Ketuanan Melayu” yang dilaungkan pemimpin Umno langsung tidak menggambarkan konsep Islam apabila bergelumang dengan pelbagai tuduhan rasuah dan pecah amanah.

“Hari ini, seruan Islam yang menjadi tonggak orang Melayu ini diganti dengan nasionalis. Dengan slogan Ketuanan Melayu, mereka beria-ia menjulang keris tumpul itu kononnya merekalah pendekar sejati mempertahankan hak Melayu.

“Apa yang peliknya, di samping menjulang ketuanan Melayu itulah, mereka telah terpalit dengan pelbagai tuduhan rasuah dan pecah amanah. Halalkah pelakuan rasuah ini di sisi mazhab ketuanan Melayu? Melaungkan Ketuanan Melayu dengan mengetepikan Islam hanya akan menjadikan bangsa Melayu lebih hina, bukannya lebih mulia,” katanya.

Oleh yang demikian, Nik Aziz mahu rakyat di negara ini berfikir secara matang sekiranya masih mahu Umno-Barisan Nasional (BN) memerintah negara.

“Bolehkah pimpinan sebegini menjadi tempat bergantung rakyat? Bukan sahaja orang bukan Melayu, bahkan orang Melayu sendiri akan disembelih dengan slogan seperti ini.

“Buktinya, di Kelantan yang majoritinya bangsa Melayu, dinafikan peruntukan pembangunan dan royalti minyak oleh ketuanan Melayu. Orang Melayu tidak terjaga, Islam pun terlepas dari genggaman.

“Hakikatnya, perjuangan ketuanan Melayu ini hanyalah perjuangan sia-sia. Demi menyedarkan rakyat tentang hakikat inilah, saya gagahi diri saya untuk terus berjuang memberikan kefahaman agar rakyat menerima Islam sebagai addin (din dan daulah),” katanya.

Rabu, November 10, 2010

PENJELASAN ISU BANJIR OLEH YAB MENTERI BESAR KEDAH

Antara perkara yang disentuh oleh YAB Menteri Besar dalam wawancara oleh WARTA DARUL AMAN adalah seperti berikut:

- Kerajaan Negeri tidak gagal atasi masalah banjir

- Mengapa kelam kabut di peringkat awal?

- Semua pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri bertungkus lumus, Muhyidin nak tuduh kita berlepas tangan?

- Kalau mahu maklumat datang Bilik Gerakan Banjir Negeri, bukan kutip dari Umno tepi jalan

- Kerajaan tempatan perlu kaji semula kelulusan Double Tracking Gamuda

- Pegawai Kerajaan Negeri ‘boikot’ lawatan TPM

Berikut adalah transkrip penuh penjelasannya:

Untuk makluman Kerajaan Negeri sudah menyalurkan bantuan pada hari pertama banjir dengan mengambil tindakan segera di mana kita memberi fokus tiga perkara dalam mengendalikan mangsa banjir dari segi penempatan mangsa iaitu Pengarah Operasi Peringkat Negeri ialah Setiausaha Kerajaan, Peringkat Daerah ialah Pegawai Daerah dan Penempatan ialah Penghulu-Penghulu Mukim.

Kita mengkoordinasi dengan semua agensi kerajaan termasuklah pihak PDRM, ATM, Bomba dan Penyelamat dengan Pertahanan Awam, Pasukan Relawan, JKR, perubatan dengan semua sekali serentak naik. Itu operasi kita dari hari pertama kita menghadapi banjir dan Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan bekalan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Semua penempatan peringkat awal ditanggung oleh Kerajaan Negeri sehingga pihak lain datang memberi bantuan termasuklah NGO dalam negeri dan luar Kedah. Pada peringkat awal sehingga hari ini pun memang Kerajaan Negeri sediakan peruntukan dan semua tu disalur melalui Pejabat Daerah.

Bagaimanapun pada peringkat awal memang kita hadapi sedikit masalah kerana air naik cepat dan kita bertindak berdasar kepada nasihat dari pihak agensi tertentu daripada Jabatan Pengairan dan Saliran, PDRM dan dan beberapa agensi lain seperti Bomba dan seumpamanya.

Tentang kejadian banjir kali ini air naik dengan pantas di tempat-tempat rendah dan bahaya. Berdasarkan maklumat inilah, kita sediakan tempat pemindahan. Keduanya kita maklumkan kepada penduduk supaya meninggalkan rumah mereka supaya datang ke tempat pemindahan

Bagi yang dapat menerima nasihat tapi terdapat juga yang masih berdegil tidak mahu berpindah. Mereka ini masih berat hendak meninggalkan rumah dan akhirnya air naik tinggi terpaksa juga berpindah. Dalam keadaan seperti ini beberapa masalah timbul bagi anggota penyelamat menjalankan tugas. Jalanraya sudah terputus. Jalan raya menjadi sungai kenderaan tidak boleh dilalui, kenderaan ringan tidak boleh pergi kenderaan beratpun tidak boleh sampai.

Maka kita kena pergi dengan motorbot Tentera atau Bomba. Tapi bila sampai separuh jalan tidak boleh pergi kerana tempat itu sudah tidak air. Di sebelah sana ada air jadi macam pulau. Jadi ini melambatkan. Itu yang mengatakan kita lambat memberi pertolongan. Kita memerlukan kerjasama dari semua penduduk. Kita nasihat. Tapi sudah usaha membantu. NGO dan orang ramai ikut membantu untuk bawa mereka yang terkandas.

Kemudian bila sampai ke tempat penempatan berlaku masalah lain pula. Kita buat persiapan untuk 3,000 tiba-tiba yang datang 4,000. Mulanya tidak mahu datang tetapi keadaan memaksa datang. Bila sampai kita hendak sediakan makan tengahari dan malam. Alhamdulillah semua nya kita dapat atasi dengan cepat. Ini masalah pada peringkat awal sahaja.

Akhirnya berlaku masalah bekalan elektrik terpotong. Air bersih tidak boleh dapat kerana air mentah ketika itu air tidak boleh dirawat lagi. Kita terpotong air bersih.

Pihak berkenaan tidak boleh pergi ke loji kerana jalanraya sudah jadi laut. Jadi dengan sebab itu kita terpaksa cari bantuan air. Ini kerana Sada tidak cukup lori dan peralatan. Dari sinilah terjadi sedikit masalah. Tapi selepas dua hari kita mendapat bantuan daripada Perak, Pulau Pinang dan Selangor.

Mereka hantar air bersih dan edar ke semua tempat penempatan dan hospital. Semua tangki berkerja 24 jam. Lebih 100 tangki di tempatkan di pusat-pusat pemindahan dan sekarang bila kebanyakan mangsa banjir pulang, mungkin mereka akan balik ke negeri mereka.

Di sinilah ada pihak-pihak tertentu kata kita tak buat kerja. Sebenarnya kita tidak gagal. Kita berjaya atasi masalah ini. Banjir satu kejadian yang tidak diduga. Tapi semua agensi Kerajaan Negeri dengan kerjasama dengan Kerajaan Pusat telah berjaya mengatasi masalah yang timbul dan bantuan dapat disalurkan seperti dijadualkan.

Ini yang kita buat. Makanan kita boleh masak tidak ada masalah. Makanan Kerajaan Negeri salurkan ke semua penempatan. Cumanya ada tempat-tempat yang lambat menerima kerana tak boleh keluar dia tak dapat makanan kita tak boleh hantar pasal jalanraya terputus. Itu saja. Sekarang ini masih kita menerima bantuan-bantuan dan kita meningkatkan peruntukan kita daripada RM 600 ribu kepada RM 2 juta bagi tujuan beri bantuan semasa mangsa berada di tempat pemindahan.

Selain itu kita menerima bantuan zakat sebanyak RM 500 ribu yang diserahkan oleh KDYMM Tuanku Sultan dan RM100 ribu sumbangan peribadi baginda.



Dakwaan Menteri Kebajikan Masyarakat yang menuduh kita hanya mengharap bantuan pusat adalah silap. Dia silap. Dia datang satu jam sahaja. Kita duduk 60 jam. Bagaimana dia boleh buat kenyataan tanpa datang ke Bilik Gerakan bencana Alam negeri. Dia tak hubungi pihak autoriti negeri. Bilik Gerakan utama negeri. Sama ada peringkat Setiausaha Kerajaan Negeri atau pejabat Daerah. Dia hanya melawat tempat tertentu sambil mendengar laporan daripada Ketua Umno seorang dua.

Dia timbulkan mengenai kanak-kanak yang lemas. Itu kerana emak bapa dia tak jaga dia jatuh sungai. Itu kenyataannya. Kita kerja. Semua pegawai berjaga siang malam. Dia buat kenyataan sedap-sedap kononnya Kerajaan Negeri lepas tangan. Menteri itu dapat maklumat dari tepi jalan. Sepatutnya dia mai dengar di bilik Gerakan Negeri. Di situ ada Polis dan Tentera. Ada Jenderal yang duduk bersama kita. Ketua Polis, Ketua Bomba serta semua pengarah-pengarah berada bersama kita dalam Jawatankuasa Bencana Alam. Kenapa buat kenyataan yang tak cerdik.

Itu kenyataan politik. Hari ini (mereka dakwa) banjir disebabkan air datang dari Hatyaai. Itu tak betul. Kita cakap masalah banjir berdasar laporan dan kajian daripada pihak agensi yang terlibat. Agensi yang bertanggungjwab. Kepakarannya yang ada. Pengarah JPS dia tahu pergerakan air dan JKR kita dengar maklumat hari itu baru kita buat kenyataan.

Hujan bermula di Padang Terap bukan dari Hatyaai. Kemudian melimpah di Padang Terap dan tradisinya akan mengalir ke Daerah Pokok Sena. Dan mengalir ke Dehrang dari situ turun ke Wang Tepus, Jitra dari Dehrang turun ke Sungai Tajar dan akan pergi ke Sungai Haji Deris. Sebahagian pergi ke kawasan Pendang tapi tahun ini air tidak pergi ke kawasan Pendang. Tapi air pergi ke Dehrang terus Wang Tepus tembus sampai Changlon. Air memenuhi kawasan rendah di Jitra, Pekan Jitra barulah mengalir ke kawasan sebelah barat memenuhi Kubang Pasu, Pulau Kerengga, Pulau Timbul dan kawasan Tunjang, Megat Dewa dan kawasan sekitar Gunung

Daerah Pendang sikit sahaja. Masalah perjalanan air diganggu oleh landasan keretapi double tracking. Air tertumpu di Alor Setar. Landasan keretapi yang sedang dibina sepatutnya ada saluran yang lebih besar. Tapi saluran itu bilangan sikit dan kecil. Maka air lambat keluar memakan masa. Itulah sebabnya berlaku banjir di tempat-tempat yang tak pernah banjir rumah saya telah tenggelam kali ini. Ada yang sampai ke dada.

(Ada yang) Tinggal selama 20 tahun ada yang sudah 30 tahun tidak pernah banjir. Laporan pihak JPS mengatakan air tidak boleh bergerak kerana terhalang oleh landasan keretapi ini. JPS yang juga hak Kerajaan Pusat dan Krajaan Negeri. Pengarahnya Kerajaan Negeri yang bayar gaji walaupun dia pegawai persekutuan dia kerja di Kedah. Adakah TPM bercakap dengan Pengarah JPS atau Pegawai Mada?



Jadi kita sebut kita minta supaya jalan air yang sempit ini diperbesarkan. Kita panggil hari itu supaya (Gamuda) datang bincang. Petang baru datang dia mesyuarat dan dia setuju nak luaskan saluran air supaya mudah air mengalir ke laut. Dia memang korek hari itu. Kalau dia tak korek saya arahkan JPS buka saluran kepada orang awam. Bila dia buka saluran sekarang banjir cepat kering. Lepas buka (baru) kering. Memang saluran kecil.

Dalam hal ini dia kata dia rugi. Gangguan . Kenyataan KTM Berhad kata dia rugi. Ini cakap tak bertanggungjawab. Dia rugi kerana pentingkan keuntungan. Rakyat rugi dia tak sebut. Yang tak berniaga beratus juta punah wang habis. Rosak harta benda. Rakyat rugi ratusan juta. Terganggu kerja sampai sekarang. Kenapa tak cakap macam tu. Kenapa nak simpati dengan pihak Gamuda dan keretapi ini yang tak buat kerja dengan cara betul. Ini kerugian rakyat biasa yang setiap bulan kenak potong gaji bayar sewa rumah. Ada yang RM 700- 800 sebulan. Dapat gaji hanya hanya seribu atau lebih. Sekarang lepas banjir terpaksa baiki sana sini rumah rosak kerana tenggelam sampai lima hingga enam hari.


Ini tidak termasuk kemusnahan harta benda. Kenapa tak bercakap kerugian rakyat dia bercakap kerugian dia. Maka tak peliklah bila nanti rakyat akan saman dia lepas ni. Saya difahamkan rakyat akan buat tuntutan di mahkamah. Biar mahkamah putuskan air daripada mana. Kesilapan (dipihak) dia, memanglah banjir kerana hujan lebat. Landasan ini salah satu faktor yang menyebabkan lambat air nak turun.

Bila saya bercakap mula-mula pihak Keretapi Tanah Melayu menafikan. Bila petang pihak yang bina landasan iatu Gamuda datang baiki. Jadi dia dok ulang. Makna dia bercakap atas maklumat yang tak betul.

Saya bercakap fasal rakyat saya. Maka sebab itu saya arahkan semua kerajaan tempatan supaya kaji semula tentang kelulusan yang kita bagi kepada Gamuda tentang kelulusan landasan keretapi ini supaya disemak semula pesetujuan kita yang benarkan dulu. Ini kerana telah membebankan rakyat. Eesok ada mesyuarat saya akan arahkan semua PBT terlibat iaitu Kubang Pasu, Kota Setar, Padang Terap supaya semak semula tentang kelulusan yang kita bagi ini. Kita tidak akan benarkan lagi sehingga mereka selesaikan masalah ini.

Pasca dari segi kerugian harta benda, rumah dan kereta. Keduanya kerosakan tanaman kita serahkan kepada pihak Mada. Memang Mada bertanggungjawab kerana yang ini kita tidka ada peruntukan. TPM akan minta senarai.

Pegawai dia bila datang Kedah tidak jumpa kita. Mai rumah kita kenalah tanya kita. Demokrasi dia laung-laungkan. Dia patut kena tanya saya. Maka sebab itu tak pelik tidak ada seorang pun pegawai Kerajaan Negeri pergi sambut dia di stadium. Yang ada cuma seorang iatu Pengurus Stadium. Ini kerana dia hendak dengar ucapan Umno bukan laporan Kerajaan Negeri.

Sepatutnya sebagai Negeri Persekutuan dia kena datang jumpa saya atau hubungi Kerajaan Negeri. Saya hubungi Menteri Besar negeri lain minta tolong. Kerana kami tak cukup peralatan. Minta lori air dari Perak, Selangor bawa lori air. Air kita ada di paip-paip yang kita telah baiki tapi kita tidak ada tangki. Yang ada tidak cukup. Terima kasihlah kepada Kerajaan Negeri Selangor, Perak dan Pulau Pinang.

Kerajaan Pusat ada duit banyak dia datang tolong. Kerajaan negeri tidak ada duit. Tapi tak payah ajar kita. Kita tahu apa nak buat. Dia mengatakan kita sensasikan cerita. Kita bagi bantuan tak tanyapun dia orang tu Umno atau Pas. Peruntukan diambil dari Kerajaan Negeri. Itu saja.

Saya tak tunggu bantuan Kerajaan Pusat. Sekalipun saya tak minta. Siapa kata saya minta?Sapa kata saya lepas tangan? Tan Sri Mahyudin kata saya lepas. Pernahkah pejabat saya hantar surat ke Kuala Lumpur minta selesaikan masalah. Tak ada. Saya cuna merayu NGO. Kalau berlaku gempa bumi di Pakistan, di Afghanistan dan Indonesia berduyun-duyun pergi tolong di sana. Kenapa tidak tolong rakyat di Kedah yang ditimpa bencana. Itu saja itu saya minta kepada NGO. Saya tak pernah tulis surat kepada PM tolong sat saya. Saya tak pernah tulis surat kepada Shahrizat mai sat tolong saya. Dia turun pun pi Tunjang bukan tempat banjir. Kaki kasut dia pun tak basah. Nak cakap apa.

Saya sangat simpati dengan penduduk yang terkena banjir. Tempat pertama saya pergi di Padang terap. Semua pusat pemindahan saya pergi. Masjidnya, surau dan sekolah. Saya beramah mesra dengan mereka. Saya pergi Bilik Gerakan. Mereka yang bertugas gembira saya datang. Kanak-kanak nampak saya datang bersalaman. Kanak-kanak biasalah tetap gembira Cuma ibu dan bapa nampak runsing. Masa itu kita sediakan keperluan makan minum, selimut. Masalah makanan lambat siap dan tidak cukup bantal dan selimut adalah.

Tempat lain begitu juga. Alhamdulilah. Mereka nampaknya tenang. Layanan dari kita begitu baik dan para sukarelawan menolong mereka. Kadang-kadang makanan lambat. Itu biasalah kerana hendak siapkan makanan dengan jumlah yang banyak. Nak masak, nak bungkus sedikit terlambat pada hari pertama.

Ada yang pindah ke sekolah. Di Jitra ada yang pindah ke sekolah ingatkan selamat tiba-tiba malam air naik terpaksa pindah pula. Jadi terpaksa gunakan jentera-jentera kenderaan berat. Saya menghargai semua jasa dan kerjasama pegawai-pegawai kerajaan negeri. Saya waktu siang keluar pukul 4 petang balik 11 malam. Keluar 10 pagi balik petang. Malam pergi pula. Saya pindah dari satu Bilik Gerakan ke satu Bilik Gerakan saya hubungi Setiausaha Kerajaan dan DO-DO apa yang diperlukan atau ada apa kekurangan. Semua cukup tapi kita standby arah keluarkan duit Kerajaan Negeri.

Pelik juga tang mana saya lepas tangan. Itu political statement tapi pihak BN mengeksploit untuk kepentingan politik.

Mereka pasang bendera BN di stadium Sultan Abdul Halim tunggu TPM turun. Makanya itu lebih mencari publisiti daripada untuk kemanusian. Saya pergi tak bawa bendera Pas tak bawa bendera Kedah. Saya pergi nak jumpa bertanya khabar ada pihak Umno sendiri nak control dan Puteri-puterinya menafikan bantuan Kerajaan Negeri. Ini menghalang orang nak melawat. Itu tak bertamadun. Otak tamadun sempit. Politik sempit. Kita tak boleh buat begitu. Termasuklah Menteri yang dibodohkan oleh pemimpin Umno di Kedah. Dan rakyat akan menilai mereka nanti.

Saya ucapkan terima kasih kepada semua sukrelawan dan pihak-pihak yang membantu. Saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang datang membantu. Saya ucapkan selamat datang. Bagi mangsa banjir Alhamdullilah kita selamat walaupun hilang harta benda tapi tidak hilang keluarga. Kita bersyukur.

Pejabat Menteri Besar Tingkat 3 Blok A

Selasa, November 09, 2010

Usahlah Ke Putrajaya, Kita Ke Puduraya Ajalah...


Oleh laniisma


Berita yang kita dengar berkaitan PKR lebih macam-macam berbanding PAS dan DAP. Berita kali ini akan digunakan semahunya akhbar BN untuk menghentam PR. Hari ini Datuk Zaid Ibrahim membuat pengumuman mengejut untuk menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dan juga mengumumkan beliau meletakkan semua jawatannya dalam PKR


Masalahnya seperti di dakwa Zaid. Apa yang didakwa Zaid akan laku juga walaupun dia agak kalah berbanding Azmin. Mungkin juga untuk menutup kekalahannya. Ntahlah! Permasalahan dalam pemilihan ini pasti menjadi tajuk utama dengan tujuan menggugah kepercayaan masyarakat awam, maksudnya bukan penyokong totok sesebuah parti politik. Kalau mereka totok senang ceritalah.

Kita perlu ingat aura Obama hanya bertahan 2 tahun, sekarang Obama hanya menjadi biasa-biasa juga. Mawi...jangan ceritalah, tak dengar khabar sekarang. Kita takut aura PR juga akan menjadi biasa-biasa juga selepas ini. Kita juga perlu ingat PR menang banyak negeri kerana mereka tak sukakan Pak Lah dan PR menang bukannya kerana penyokong totok PR. Hendak menjadi totok juga agak payah. Kalau mengharapkan penyokong totok PR tak ke mana juga. Yang kita risaukan sokongan yang ramai-ramai yang tidak totok itu mudah beralih arah kerana mereka akan beranggapan "Huh! PR pun sama juga" disebabkan oleh masalah-masalah sebegini. Walaupun ia dianggap kecil oleh PR, yang kecil itulah akan diperbesarkan-besarkan oleh BN.

Kalau masalah-masalah begini tetap timbul, usahlah ke Putrajaya, kita ke Puduraya ajalah, tengok bas!

Selasa, Oktober 26, 2010

Fakta Pilihan Raya Kecil Galas

GUA MUSANG: Berikut beberapa fakta mengenai pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan N45 Galas.

Kawasan : N45 Galas

Calon BN : Abdul Aziz Yusoff, 49, bekas pengurus pejabat operasiLembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar)

Calon PAS : Dr Zulkefli Mohamad, 44, Pengamal perubatan

Penyandang :Chek Hashim Sulaima, 46, (PAS)(Chek Hashim meninggal dunia akibat kanser usus pada 27 September lalu memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum Mac 2008 menewaskan calon BN Mohamed Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi)

Jajahan : Gua Musang

Jumlah pengundi : 11,553 (127 pengundi pos)

Komposisi : Melayu 7,125 orang (61.7 peratus), kaum Cina 2,317 (20.06 peratus), India (185 orang), Orang Asli (1,889 orang) dan Bumiputera Siam 10 orang.

Kegiatan ekonomi : Pertanian dan PerniagaanPegawai Pengurus P/Raya : Wan Mustapha Wan Abdul Hamid

Hari pengundian : 4 November 2010

Bil saluran mengundi : 25

Bil pusat mengundi : 13

Bil daerah mengundimenggunakan khidmat helikopter: 4 daerah Orang Asli (Belatim, Balar, Bihai, Hau)

Pusat penjumlahan undi : Dewan Pusat Sivik Gua Musang, Jalan Pesiaran Raya, Gua Musang.

Ahad, Oktober 24, 2010

Belanjawan 2011: Bajet harta Qarun dari seorang Perdana Menteri


ADA tiga perkara besar yang menjadi rukun terpenting kepada belanjawan negara. Sumber kewangan, pengurusan dan sasaran. Kejayaan belanjawan sangat bergantung dengan ketiga-tiga perkara ini.

Sebarang kelemahan, kekurangan atau kecacatan, menjadikannya gagal mencapai matlamat untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat dan kemajuan negara dalam erti kata yang sebenarnya. Walaupun berapa banyak peruntukan kewangan dan apa pun slogan yang dicipta serta indahnya kata-kata yang diucapkan, tanpa menyempurnakan rukun-rukun tersebut pasti menemui kegagalan.

Kesemua rukun ini hendaklah dilaksanakan dengan adil dan bijak, secara makruf dan mencegah kemunkaran, menunaikan amanah perintah Allah dengan betul dan ikhlas.

Allah menjanjikan keberkatan kepada perbelanjaan sebagaimana Firman Allah yang bermaksud: "Dan kalau sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertaqwa, necaya kami bukakan untuk mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka membohongi, lalu kami bertindak keatas mereka dengan sebab apa yang telah mereka usahakan".

Perkataan berkat hanya berada dalam istilah ekonomi dan kewangan Islam. Ia bermaksud memberi faedah dunia dan akhirat. Perkataan ini cukup bermakna setelah kita menyaksikan dan merasai tanda-tanda awal kemusnahan yang menimpa manusia hari ini, tempiasnya juga dirasai oleh kita di sini.

Kita semua menerima Islam menjadi agama persekutuan dan hak kepada penganut agama lain secara adil. Kerajaan wajib membebaskan pemikiran sempit yang membelenggu pelaksanaan Islam secara menyeluruh dan melaksanakan Islam secara teragak-agak serta terpilih, bukannya secara pengabdian diri kepada Allah.

Saya (Hadi Awang, gambar kiri) ingin mengemukakan dasar dan konsep Islam dalam belanjawan negara, bagi mengisi ketiga-tiga rukun belanjawan tersebut. Saya yakin dan percaya perbezaan agama, bangsa dan politik tidak menghalang sedikit pun pelaksanaannya, sekira ianya difahami dan dilaksanakan dengan adil yang menjadi anutan semua manusia.

Sumber Kewangan

Islam mewajibkan sumber yang halal dan diambil dengan cara yang adil. Dalam perbezaan perkara halal, Islam melarang paksaan terhadap penganut agama lain, mengambil dan memanfaatkan sumber yang diizin oleh agama masing-masing mengikut kepercayaan mereka, dengan syarat meletakkan sumber itu ke dalam simpanan khas bagi mereka dan untuk mereka dan tidak disasarkan kepada penganut Islam.

Dalam mengendalikan urusan ini pihak kerajaan masih tidak istiqamah dengan tidak melakukan pengasingan ini. Kerajaan negeri di bawah Pas diberi arahan melaksanakan perkara ini iaitu mengasingkan hasil halal dan haram.

Sumber daripada judi, arak dan riba yang haram dengan nyata masih lagi bergelumang dengan sumber kewangan negara. Bahkan dianggap terpenting. Begitulah kenyataannya pemimpin yang mengaku menganut Islam, walaupun Allah menegaskan dengan amaran yang keras.

Tidak ada dalam sejarah dunia, negara-negara yang maju dengan sumber judi, arak dan riba. Apa yang berlaku ialah keruntuhan negara disebabkan judi, arak dan riba.

Perlesenan judi oleh kementerian kewangan di bawah kuasa kerajaan pusat bukannya kerajaan negeri. Sangat malang dan memalukan, apabila kita menjadi negara yang mempunyai pusat judi yang terbesar di rantau ini dan bertaraf antarabangsa.

Kegiatannya sentiasa bertambah dengan keizinan kerajaan di atas nama kawalan. Banyak amaran Allah terhadap haramnya judi dan apa yang diharamkan pasti membawa mudarat dan penyakit.

Kalau ada manfaat sekalipun, terlalu sedikit dan tidak boleh menampung bencana daripada penyakitnya. Firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah ayat 219: "Mereka bertanyakan kamu berkenaan arak dan judi. Katakan kepada mereka, pada keduanya dosa yang besar dan beberapa manfaat kepada manusia, namun dosa kedua-duanya lebih besar daripada beberapa manfaat yang dihasilkan".

Seluruh penyelidik kemasyarakatan, sama ada Islam atau bukan Islam mengakui hakikat bahawa sebarang bentuk judi menyebabkan gejala negatif yang merugikan jauh lebih besar daripada hasil kewangannya.

Di antara hasil kewangan negara ialah perusahaan arak dan judi yang dibangunkan sejak daripada zaman penjajah. Sumber kewangan negara masih juga ada pergantungan kepada hutang yang berlandaskan riba dan amalan yang berlandaskan riba.

Di antara sebab kemusnahan parah yang menimpa sistem liberal kapitalisme yang dijulang oleh kuasa besar barat ialah riba. Allah SWT mengharamkan riba dengan sekeras-kerasnya dengan amaran dunia dan akhirat, sudah pasti riba sebenarnya penyakit barah ekonomi khususnya kepada aspek kewangan.

Allah SWT berfirman dalam surah al Baqarah ayat 276 yang bermaksud; "Allah menghapuskan (berkat dan kebaikan) daripada riba dan memberi keuntungan kepada segala sedekah (yang bersifat bertolong menolong), dan Allah tidak mengasihi setiap keengkaran dan dosa".

Allah juga memberi amaran yang keras terhadap mereka yang malakukan muamalah riba dalam Al Quran surah Al Baqarah ayat 278 dan 279; "Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah (dengan mematuhi segala perintahnya dan meninggalkan larangannya) dan tinggallah saki-baki riba, sekiranya kamu benar-benar menjadi orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak melakukannya (dengan menunaikan perintah Allah yang mengharamkan riba itu) bermakna kamu mengizinkan Allah mengisytiharkan perang terhadap kamu, dan jika sekiranya kamu bertaubat, maka untuk kamu ialah modal harta kamu yang sebenar, dalam keadaan kamu tidak menzalimi dan di zalimi".

Walaupun muamalat Islam dikembangkan dalam bidang perbankan dengan berbagai iktiviti dengan jumlah kewangan yang besar dan menerima pelaburan asing, tetapi kemungkaran riba tidak dicegah, menyebabkan hasil kewangan yang tidak saksama dengan tepat.

Sumber kewangan juga diambil melalui cara zalim terhadap rakyat dan negeri. Kami tetap menegaskan bahawa merampas royalti petroleum daripada negeri Terengganu dan menfikan hak Kelantan adalah satu kezaliman yang haram.

Begitu juga peruntukan dan pengurusan hasil kekayaan di Sabah dan Sarawak masih tidak dapat menyelesaikan kemudahan asas setelah berlalu kemerdekaan setengah abad. Cukai-cukai dan denda yang tidak berpatutan, membebankan rakyat miskin yang berada di seluruh negara.

Bayaran yang diwajibkan kepada rakyat lebih besar daripada yang wajib dilakukan oleh kerajaan kepada rakyat, tetapi tidak dilaksanakan dengan sempurna saperti rawatan kesihatan, pendidikan dan kemudahan asas.

Karajaan menjadikan perkara-perkara tersebut salah satu daripada sumber kewangan negara yang dibebankan kepada rakyat.

Terlalu banyak sumber-sumber alam kurniaan Allah di tanah air kita ini dan sumber yang boleh diambil daripada kalangan mereka yang kaya raya. Tetapi malangnya tidak dikendalikan dengan betul, lalu membebankan rakyat secara menyeluruh, termasuk kalangan yang miskin. Tanpa membetulkan proses memanfaatkan sumber alam dan mereka yang kaya raya tidak diatur supaya menjadi penyumbang yang sistematik dan adil, dengan pencapaian produktiviti yang menjadi hasil negara.

Puncanya kerana salah urus, dibayangi rasuah dan monopili yang haram. Di antara puncanya juga ialah campur tangan politik yang melampau, sehingga menjadikannya sentiasa tidak mencukupi. Keadaan ini menjadikan sumber kekayaan negara berkisar dikalangan orang yang tertentu, tanpa peduli larangan Allah. Firman Allah; "Supaya jangan berkisar di kalangan orang-orang kaya yang tertentu", iaitu kalangan kaya-raya yang berkeliaran di keliling pihak yang berkuasa dengan sumbangan kewangan untuk mengukuhkan pengaruh dengan rasuah. Sehingga kewangan tidak diurus dengan saksama.

Pengurusan

Saya sangat menghargai kakitangan dan pegawai kerajaan yang mengendalikan urusan menjayakan belanjawan mengikut bidang masing-masing. Mereka adalah kalangan yang berpelajaran, berpengalaman dan berkebolehan yang bertaraf tinggi.

Contoh rakan-rakan yang sama melarikan diri berkhidmat di negara luar mendapat pujian di negara tempat mereka berkhidmat. Mengapa mereka yang berada dalam negeri mengalami halangan yang menjadikan segala rancangan Malaysia yang terdahulu tidak mencapai matlamat yang memuaskan dan kita merasa bimbang rancangan malaysia yang sedang dan akan datang mengalami nasib yang lebih buruk.

Di antara puncanya ialah, wujudnya roh politik kepartian yang sangat kuat dalam pentadbiran dan pelaksanaan di semua peringkat. Penjawatan, kenaikan pangkat dan pertukaran tidak berdasar dan berkonsepkan kebolehan dan kelayakan yang sebenar.

Dalam negara demokrasi yang maju para pegawai mengambil tempat dan bertugas secara profesional bukannya kepartian. Mereka boleh menganut apa sahaja fahaman politik yang mereka pilih dan mereka bekerja dan bertugas secara profesional untuk negara di bawah kerajaan yang memerintah dengan tekun berkhidmat kepada negara dan masyarakat.

Ada pun di negara kita ini dirasuk hantu politik kepartian di semua peringkat daripada atas sampai ke bawah. Di peringkat atas saudara semua tahu, mereka yang berada di atas mungkin terlalu tinggi, tidak nampak apa yang berlaku di bawah terutamanya yang paling bawah.

Pengurusan di bawah diganggu oleh lapisan yang dinamakan JKKK. Mereka yang dilantik oleh parti diperingkat cawangan, bagi menjamin rakyat menyokong parti secara paksa dan mengugut.

Semua kelulusan permohonan, bermula daripada bantuan kebajikan bagi menyara hidup sehinggalah borang para pelajar disemua peringkat, wajib mendapat pengesahan JKKK. Terpaksalah terhegeh-hegeh menyembah JKKK sebelum dihantar ke jabatan-jabatan.

Para pegawai wajib menerima pengesahan JKKK, seolah-olah JKKK lebih besar dan dan berperanan daripada pegawai-pegawai yang berpegajian tinggi. Ini di antara penyakit pengurusan yang sedang membarah sekarang.

Ramai wakil-wakil rakyat BN pula bergantung kemenangan pilihanraya kepada JKKK. sudah tentu mereka mempertahankan golongan ini habis-habisan walaupun merosakkan pengurusan dan pentadbiran bagi menyalurkan bajet ini kepada sasarannya secara bijaksana bukan bijaksini.

Negara sedang mengalami kepimpinan yang tidak menjadi teladan, walaupun slogan ini pernah diwarwarkan beberapa dekad yang lalu dan berada dalam lipatan sejarah. Kita telah menyaksikan projek-projek gagal, sedang dan akan terus menyaksikannya.

Di pertengahan tahun wajib dibentangkan dalam dewan ini peruntukan tambahan. Kita tidak mahu peruntukan tanbahan kerana kejahatan manusia dengan sengaja, bukannya bencana yang tidak boleh dielak.

Saya adalah Melayu yang tidak lupa dengan peristiwa stadium runtuh, stesen bas runtuh, makmal di sekolah runtuh sehingga bumbung masjid pun ada juga yang runtuh. Mereka yang bertanggungjawab tidak nampak dan tidak didengari ada yang diambil tindakan.

Mungkin menunggu supaya dilupakan dan terus mendapat projek baru. Bayangan rasuah belum hilang walaupun ada kedengaran tindakan yang diambil, tetapi secara terpilih.

Saya yakin negara yang dihinggapi politik wang dalam pemilihan parti dan pilihanraya tidak mampu mengatasi penyakit rasuah, jauh sekali untuk menghapuskannya. Saya serahkan kepada rakan-rakan yang lain untuk menyebutnya secara detail.

Saya baru pulang dari lautan dalam bersama nelayan, dan saya menyaksikan sendiri bagaimana kapal pukat tunda yang berkuasa tinggi membersihkan laut daripada batu karang, di samping membaham unjam-unjam menarik ikan dan bubu nelayan kecil.

Kumpulan lanun ini bergerak dengan bebas dan berlesen besar, bukan sahaja menggangu nelayan kecil dan sederhana, tatapi sangat merbahaya kerana menghapuskan benih hasil laut dan kawasan pembiakan di dasar laut.

Ikan-ikan yang besar dibawa keluar negara, ikan-ikan yang sederhana, kecil dan kurang mutu dibawa ke darat untuk dijual atau dibuat baja. Saya dimaklumkan juga bahawa tuan punya di darat, pekerjanya daripada negara asing.

Di antara kegiatannya juga ialah mengisi minyak sabsidi dengan banyak untuk dijual di laut. Ada kalangan penguatkuasa memaklumkan kepada saya, tidak boleh diambil tindakan kerana jerung di darat terlalu besar menganga mulut untuk menelan kami.

Walaupun banyak negara dalam dunia termasuk negara maju mengharamkan sebarang cara yang merosakkan hasil laut tetapi kita masih berterusan dengan amalan makhluk perosak ini. Saya mencadangkan supaya pihak yang lebih berkuasa bertindak dengan berani dan telus bagi menyelamatkan keadaan.

Lebih daripada 50% nelayan pukat sederhana dan kecil terpaksa manjual bot, pukat dan alatan nelayan bagi mencari pekerjaan yang lain tanpa suatu jaminan yang kukuh. Keadaan yang sama berlaku di kawasan sungai dan tasik di Malaysia Timur dan Barat .

Sasaran

Perancangan memajukan negara yang membawa kebaikan kepada rakyat, tidak mencapai sasaran. Sekiranya sumber kewangan berpusing dikalangan orang-orang yang tertentu, dikalangan kroni dan mereka yang tidak layak menerimanya.

Perbelanjaan negara tidak bermanfaat sekiranya diletakkan tidak kena pada tempatnya atau tidak sampai kepada sasaran yang sebanar atau mereka yang diberi peluang tidak layak melaksanakannya dengan berjaya.

Pendekatan menjadikan harta kekayaan berpusing dikalangan mereka yang tertentu, daripada pemimpin kepada kroni dan ada bahagian untuk pemimpin dan diberi peluang lagi kepada kroni, hanya sedikit sahaja yang turun kepada sasaran yang sebenar.

Inilah hasil politik wang yang membentuk amalan yang begitu rupa. Amalan ini diakui sendiri oleh pemimpin-pemimpin utama BN.

Syarat pertama untuk mendapat projek ialah pengesahan menjadi penyokong kuat BN. Syarat pertama untuk medapat kemudahan bantuan dalam segala bidang ialah mendapat tanda tangan pengesahan daripada JKKK.

Yang menjadi mangsa terbanyak termasuk dikalangan bumiputera sendiri yang diberi hak istemewa.

Saya sangat menghargai semua kaum yang menjadi rakyat negara ini, yang menerima hakikat hak bumiputera yang perlu dibela dengan hak istemewa, kerana jumlah mereka lebih besar dan majoriti berada di kawasan yang tiada kemudahan hidup, dalam masa yang sama tanpa menafikan hak kaum lain yang terbengkalai.

Semua ketetapan ini hendaklah diamalkan dengan cara yang benar dan saksama. Jangan dipengaruhi oleh fanatik kepartaian yang lebih sempit daripada fanatik kaum yang lebih parah merbahayanya.

Hari ini kita melihat wujudnya gejala perkauman yang sengaja dibangkitkan semula. Saya suka menegaskan bahawa Islam tidak menghalang semangat kecintaan kepada kaum masing-masing kerana perkara ini menjadi naluri manusia dan Islam mewajibkan hubungan sesama keluarga secara wajib, yang dinamakan silaturrahim, yang diharamkan memutuskannya.

Semua para rasul melahirkan kecintaan kepada kaum bangsanya dalam ucapan mereka; "Wahai kaum bangsa ku abdikan diri kepada Allah".

Inilah ucapan semua para Rasul menunjukkan kecintaan mereka kepada kaum masing-masing.

Allah sendiri berfirman bahawa Dialah yang mewujudkan berbagai bangsa dan kaum, kerana hikmah memasyarakatkan manusia secara sejagat, bukannya untuk berpecah dan berkelahi sehingga berperang diantara satu sama lain.

"Wahai manusia, sesungguhnya kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu berkenalan diantara satu sama lain".

Berkenalan dengan makna hidup bermasyarakat, bertolong menolong dengan bertukar keperluan dan kebolehan yang berbeza dikalangan berbagai bangsa dan berbagai peringkat, menjadikan semua keperluan dapat dihasilkan secara kerjasama persaudaraan kemanusiaan.

Dalam kecintaan kepada bangsa masing-masing Allah meletakkan garis panduan, di antaranya ialah firman Allah; "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah sesuatu kaum itu mempersendakan kaum yang lain, boleh jadi kaum yang dipersendakan itu lebih daripada yang mempersendakannya, dan janganlah kaum wanita mempersendakan wanita yang lain, boleh jadi wanita yang dipersendakan itu lebih baik daripada yang mepersendakannya, dan janganlah kamu mencela sesama kamu dan jangan memberi gelaran yang menghina, seburuk buruk nama ialah fasik selepas beriman, dan sesiapa yang tidak bertaubat mereka itulah orang -orang yang zalim".

Apabila Allah mengaitkan amalan ini dengan iman dan fasik, menunjukkan bahawa mempersendakan kaum besar dosanya dalam agama Islam sehingga menjadi fasik yang tidak layak menjadi saksi di mahkamah.

Islam juga melarang fanatik kaum yang dinamakan asobiyyah. Sabda Rasulullah SAW; "Bukan daripada kalangan kami (orang Islam yang sebenar) orang yang mengajak kejalan asobiyyah, bukan daripada kalangan kita orang yang berperang di atas dasar asobiyyah dan bukan daripada kalangan kita orang yang mati kerana asobiyyah". Lalu ditanya: "Apakah asobiyyah itu?" Jawab Rasulullah SAW; "Kamu menolong kaum mu di atas perkara yang zalim".

Menunjukkan bahawa tidak menjadi salah sayangkan kaum masing-masing dan membela kaum masing-masing, tetapi salah dan sesat apabila dijadikan kecintaan kaum suatu aqidah perjuangan yang melampau.


Islam mengharamkan zalim dan menghina serta mengejek di kalangan kaum. Sehingga Rasulullah S.A.W. mengambil tindakan disiplin yang keras terhadap para sahabat yang menghina kaum.

Dalam satu peristiwa Rasulullah S.A.W. bangun berdiri apabila dibawa jenazah seorang penganut agama yahudi untuk dikebumikan. Rasulullah S.A.W. berdepan dengan jenazah, lalu dia bangun berdiri.

Diberitahu kepadanya: "Jenazah penganut agama Yahudi". Lalu dijawab, "Dia juga seorang manusia". Maksudnya menghormati kemanuasiaan, walaupun terhadap Yahudi yang paling bermusuh dengan Islam.

Islam mewajibkan penganutnya menghormati dan membantu ibu bapa dan keluarga yang beragama lain bagi menjaga hubungan kekeluargaan dan kemanusiaan.

Bermakna kecintaan kepada bangsa dan membela bangsa masing-masing yang lemah tidak menjadi kesalahan tetapi hendaklah dipelihara juga hubungan kemanusiaan.

Apabila kecintaan kepada bangsa dijadikan aqidah yang mengatasi perintah agama supaya berlaku adil terhadap semua dan bersifat kemanusiaan kepada semua adalah haram.

Perpaduan rakyat sangat penting bagi menegakkan negara , kerana rakyat adalah salah satu rukun bagi Negara. Kekukuhan perpaduan kalangan rakyat gagal diwujudkan berasaskan fanatik kaum. Dalam masa yang sama hak sesuatu kaum dalam negara tidak boleh dihapuskan sekali-kali.

Perpaduan dapat diwujudkan dengan menyuburkan sifat kemanusiaan bersama mengikut naluri bukannya dengan perasaan membuta tuli.

Semua kaum mengakui golongan bumiputra merupakan majoriti dan paling ramai dipinggirkan kerana pengurusan yang salah yang wajib diperbetulkan. Dalam masa yang sama wajib disedari bahawa kaum lain adalah hakikat menjadi rakyat tempatan yang tidak harus dilebelkan dengan kata-kata yang menyakitkan perasaan atau sendaan yang boleh mengeruhkan keadaan.

Islam meletakkan sikap sebigini adalah amalan jahiliyyiah yang wajib dikuburkan, dan Allah memuliakan sesuatu kaum dengan berpegang kepada ajaran Islam.

Sejarah Islam membuktikan bahawa kepimpinan negara Islam tidak tetap di tangan bangsa Arab sahaja. Apabila bangsa Arab meninggalkan Islam, kepimpinan bertukar kepada bangsa bukan Arab yang berpegang dengan Islam.

Keamanan dan keselamatan

Mutakhir ini kita mengalami gejala jenayah berat dan ringan yang tersebar meluas dalam keadaan yang menggerunkan. Ia menunjukkan tidak ada kehebatan undang-undang.

Menjadikan keadaan tidak selamat, daripada jalan raya sehingga dalam rumah sendiri. Sudah banyak mangsa yang dilaporkan terbunuh, hilang, cedera, kehilangan harta dan maruah diri, hilangnya peri kemanusiaan.

Menunjukkan kegagalan undang-undang, kelemahan penguatkuasaan dan badan kehakiman. Marilah kita mengaku kesilapan secara ikhlas, kerana Allah sentiasa membuka pintu taubat seluas timur dan barat, sepenuh langit dan bumi.

Jangan bersikap angkuh lalu tidak berlaku adil terhadap diri sendiri sehingga menutup kelemahan, kerana sikap begini akan membawa kemusnahan.

Pembangunan manusia

Pencapaian kemajuan negara sangat berkait dengan keadaan keselamatan yang menunjukkan kelemahan dalam dasar dan sistem pembangunan insan, kerana tidak memenuhi keperluan manusia mengikut fitrah mereka, daripada segi jasad dan roh, individu dan masyarakat.

Aspek ini berkait dengan peranan pendidikan dan media yang mempengaruhi perkembangan ilmu dan minda.

Sistem pendidikan yang gagal melahirkan insan yang beriman dan budiman, bukan sahaja berilmu. Pembangunan insan menjadi rukun pertama kepada pembangunan tamadun sesuatu umat, aspek kebendaan adalah selepasnya.

Semua negara kuasa besar yang musnah, ketika mereka berada dikemuncak kekayaan, sehingga berjaya mendirikan bangunan yang hebat, tinggi dan kukuh. Berada di kemuncak kekuatan sehingga menjajah kaum lain, tetapi tidak beriman dan budiman.

Persediaan pembangunan insan bukan sahaja bangunan pusat- pusat pendidikan disemua peringkat yang tersergam indah, dan kakitangan yang bergaji lumayan, tetapi juga sangat bergantung dengan dasar pendidikan dan sistem yang merangkumi aspek naluri manusia.

Pembangunan insan hendaklah membentuk akal dan rohani, bukan sahaja jasad yang dilihat. Islam mewajibkan semua ilmu berlandaskan iman sehingga tidak ada pemisahan di antara ilmu duniawi dan ilmu agama, kerana perhitungan dosa pahala berkait dengan seluruh kegiatan manusia.

Begitulah juga akhlak yang mulia. Inilah cara melahirkan manusia yang ikhlas kepada Tuhan dengan ilmu dan akhlak yang luhur, menjadi anggota yang berwibawa membangun umat dan negara, rela berkhidmat dengan penuh pengorbanan dan efisen.

Gejala bekerja kerajaan kerana tidak ada kerja di tempat lain, lebih suka berkhidmat di luar negara kerana mengejar gaji lebih dan keselesaan.

Masalah birokrasi, rasuah, projek terbengkalai menandakan kelemahan dalam pembangunan insan. Maka sistem pendidikan dan pentabirannya hendaklah dilakukan islah.

Peranan media sangat penting bagi melahirkan rakyat yang beriman, budiman dan berilmu. Sepatutnya media melahirkan rakyat yang minat berfikir dan berilmu dengan minat membaca dan mengkaji. Tetapi hari ini ia melahirkan rakyat yang minat berhibur dan berkhayal. Keadaan lebih merbahaya dizaman langit terbuka tanpa sempadan.

Bahasa Kebangsaan

Di awal kemerdekaan kita pernah menobatkan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan yang rasmi. Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan bagi memperkasakan bahasa kebangsaan.

Sehingga bahasa ini berjaya menjadi bahasa perantaran bebagai kaum yang diterima sehingga ke peringkat terbawah di kampung Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain, sehingga berjaya menghubungkan semua kaum, supaya mengeratkan perpaduan tanpa menafikan bahasa ibunda kaum masing-masing, dan mata pelajaran bahasa asing bagi perhubungan antarabangsa dan menimba ilmu dari seluruh pelusuk dunia.

Usaha dilakukan untuk mengambalikan semula bahasa kebangsaan menjadi bahasa ilmu yang pernah berlaku di rantau ini, sehingga digunakan oleh beratus juta manusia.

Ketika bangsa lain memperkasakan bahasa mereka, seperti Jepun, Cina, Jerman dan lain-lain sehingga berjaya menembusi kedudukan di peringkat antarabangsa dalam lapangan yang luas.

Tiba-tiba pemimpin kita kehilangan jiwa sehingga segan berbahasa dengan bahasa kebangsaannya sendiri. Keadaan ini menyebabkan kedudukan bahasa kebangsaan dipinggirkan dalam tanahair sendiri.

Pemantauan Bajet

Dalam negara maju bajet perlu dipantau. Di zaman kegemilangan Islam amalan ini pernah dilaksanakan, apabila kewangan negara bukan sahaja dipantau sumbernya, termasuklah juga pengurusan dan sasaran. Dalam negara moden berlaku secara lebih sistematik, dengan melibatkan tiga pihak iaitu politik, pentadbiran dan awam.

Politik

Belanjawan negara bukan sahaja melalui pembentangan di Parlimen untuk mengesahkannya dari segi perundangan. Yang terpenting, ia juga dipantau melalui soalan dan perbahasan wakil rakyat dan jawapan para menteri kabinet.

Pemantauan tidak berlaku dengan tepat sekiranya banyak soalan ditolak dan menteri yang bertanggungjawab tidak hadir menjawab dan memberi penjelasan. Dibimbangi ada sesuatu kecacatan yang disembunyikan dan menghalang kritikan membina.

Pihak kerajaan dan pembangkang sama-sama bertanggungjawab. Pihak pembangkang hendaklah dianggap penasihat bukannya musuh. Kalangan kerajaan juga mestilah terbuka dan telus, diberi hak yang sama untuk memberi pendapat termasuk mengkritik dengan bebas tanpa syarat yang menganggu hak memberi pendapat yang berbeza.

Pentadbiran

Kalangan pentadbiran yang mengurus dan mengendalikan secara langsung bukan sahaja memantau dari segi auditan yang khusus kepada aspek kewangan, termasuklah juga yang lain jika berlaku.

Kerana yang diambil kira bukan sahaja perbelanjaan keewangan, termasuklah juga pengurusan dan pelaksanaannya. Perkara yang menjadi tujuannya tercapai ataupun tidak.

Pihak awam

Pihak awam juga diberi hak sama memantau bajet, kerana masyarakat awam adalah sasaran utamanya. Individu yang berkepakaran melalui NGO dan media juga berhak memantau perjalanan jentera kerajaan dan politik bagi menggunakan jumlah wang yang diamanahkan. Kadang-kadang pendedahan pihak ini menyedarkan yang salah dan silap.

Penguatkuasaan OSA adalah langkah yang sangat negatif kerana menghalang hak yang adil terhadap negara bagi kebaikan kerajaan dan rakyat.

Undang-undang ini lebih bersifat menyembunyikan kesalahan dan kelemahan. Kerajaan yang kuat dan teguh bersifat berani walaupun menghadapi tuduhan dan tohmahan.
Tuduhan yang benar memberi kesempatan melakukan pembaikan dan pembetulan, tuduhan yang salah perlu dijawab, dan ada cara lain untuk bertindak terhadap penyebar fitnah. OSA menjadikan kerajaan berlagak maksum (bersih sepanjang masa).

Hanya mereka yang berjuang mengekalkan kuasa sahaja bersifat demikian. Peraturan alam daripada Allah menetapkan bahawa hanya kerajaan Allah sahaja yang kekal, semua kerajaan makhluk tidak kekal, walau pemimpinnya seorang Rasul yang mempunyai makjizat.

Allah mengesahkan satu kerajaan yang hebat tamadun kebendaannya, lalu berlagak bahawa dia sahaja yang betul dan memperbodohkan rakyat dengan kesenangan dan kemewahan. Allah berfirman; "Firaun (Raja Mesir) menyeru kaumnya dengan menyampaikan ucapan: Wahai kaumku, tidakkah aku yang memiliki kerajaan negeri Mesir ini, lihatlah sungai yang mengalir dibawah arahanku, adakah kamu tidak dapat melihatnya. Aku lebih baik daripada orang yang hina ini (Nabi Musa yang menentang kerajaan), yang tidak dapat memberi penjelasan dengan nyata. Mengapa tidak diberikan kepadanya gelang-gelang emas (tanda pangkat kebesaran) atau para malaikat datang mengiringinya? Lalu raja itu dapat menjadikan rakyatnya lemah dan bodoh, lalu mentaatinya secara melulu. Sesungguhnya mereka menjadi orang-orang yang fasik. Maka tatkala mereka melakukan perkara yang menyebabkan kami murka, kami pun memberi hukuman siksa keatas mereka, lalu kami tenggelamkan mereka semua. Maka kami jadikannya pengajaran kepada umat yang terdahulu dan contoh kepada umat yang kemudian".

Kebanyakan pengkaji sejarah zaman kini hanya melihat aspek kehebatan tamadun kebendaannya, tanpa melihat kezaliman yang tersirat membawa akibat terburuk.

Allah memerintah supaya kita sentiasa terbuka kepada kebebasan mencari kebenaran dan nasihat menasihati.

Allah berfirman; "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Melainkan orang-orang yang beriman, yang mengerjakan amal yang baik dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran".

Penutup

Akhirnya saya tegaskan, kejayaan bajet ini ialah meneruskan apa yang baik sebelum ini dan berani membuat muhasabah serta membetulkan kesilapan, menampung yang kurang menguatkan yang lemah. Perjalanannya hendaklah memenuhi rukun kejayaan, serta bersikap terbuka kepada semua pihak yang memberi teguran.

Saya tertarik dengan persembahan bajet yang bermuqadimah Al Quran daripada surah Al Qosas ayat 77. Ayat ini sebanarnya berkait dengan pengajaran daripada cerita Qarun yang dibinasakan bersama dengan harta kekayaannya.

Untuk merangkumi pengajarannya mestilah dibaca ayat 76 sehingga ayat 84. Sila rujuk kepada Al Quran saya petik sebahagian daripadanya; 76. "Sesungguhnya Karun adalah termasuk dikalangan kaum Musa, Maka ia berlaku zalim terhadap mereka, dan kami telah mengurniakan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepadanya: "Janganlah kamu terlalu bangga; Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri."

77. "Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan".

78. "Karun berkata: "Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, karana ilmu yang ada padaku," dan apakah ia tidak mengetahui, bahawasanya Allah sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan tidaklah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu, tentang dosa-dosa mereka."

79. "Maka keluarlah Karun kepada kaumnya dalam kemegahannya. Berkatalah orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia: "Moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Karun; Sesungguhnya ia benar-benar mempunyai keberuntungan yang besar."

80. "Berkatalah orang-orang yang dikurniakan ilmu kepadanya; "Kecelakaan yang besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan tidak diperoleh pahala itu, kecuali oleh orang- orang yang sabar."

81. "Maka kami benamkanlah Karun beserta rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya suatu golonganpun yang menolongnya terhadap azab Allah. dan tiadalah ia termasuk orang-orang (yang dapat) membela (dirinya)."

82. "Dan jadilah orang-orang yang kelmarin mencita-citakan kedudukan Karun itu, berkata: "Aduhai, benarlah Allah melapangkan rezeki bagi siapa yang dia kehendaki dari hamba-hambanya dan menyempitkannya; kalau Allah tidak melimpahkan kurnia-Nya atas kita benar-benar dia telah membenamkan kita (pula). Aduhai benarlah, tidak beruntung orang- orang yang mengingkari (nikmat Allah)."

83. "Negeri akhirat itu, kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di (muka) bumi, dan kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang-orang yang bertakwa."

84. "Barangsiapa yang datang dengan (membawa) kebaikan, maka baginya (pahala) yang lebih baik daripada kebaikannya itu; dan barangsiapa yang datang dengan (membawa) kejahatan, maka tidaklah diberi pembalasan kepada orang-orang yang telah mengerjakan kejahatan itu, melainkan (seimbang) dengan apa yang dahulu mereka kerjakan."

Qorun mendapat kecelakaan kerana sumber harta yang haram dan mengurus secara zalim. Hanya modal harta tanpa modal insan yang sebenar.

Kebahagian dunia sepatutnya menjadi jambatan bahagia sementara waktu di dunia dan kebahagian kekal dihari akhirat, tiba-tiba celaka di dunia dan lebih celaka di akhirat.

Modal insan yang sebenar hendaklah membina roh dan jasad, individu dan masyarakat, bermakna dengan ilmu iman dan akhlak. Saya tidak nampak kejayaan akan dicapai dengan sistem pendidikan yang tidak berjiwa bangsa kerana meminggirkan bahasa kebangsaan, tidak beriman dan berakhlak kerana bergantung dengan guru daripada negara barat.

Kuasa pihak pentadbir dan pendidik dihapus walau pun dibekal dengan gaji yang lumayan. Dalam aspek agama pula menyalahgunakan guru siswazah agama sekadar mengajar membaca dan menulis melalui progrem JQAF. Taraf imam masjid lebih hina daripada JKKK dan Tok Batin.

Daripada mana sumber kewangan yang hendak dibersihkan kalau diantara projeknya sebuah kasino untuk bersaing dengan Resort World Sentosa di Singapura.

Bagaimana untuk mencapai taraf negara maju kalau pekerjanya masih mengemis. Isu gaji minima baru di peringkat menubuhkan majlis konsultasi.

Amalan boros masih diteruskan dengan pembiayaan projek mewah untuk kemegahan dan kepentingan segelintir manusia dan mengabaikan majoriti rakyat. Rasulullah SAW bersabda di antara tanda akhir yang membawa kemusnahan alam ialah: "Apabila kamu melihat berlakunya orang yang dahulunya berkaki ayam (tanpa kasut) tanpa pakaian kerana terlalu miskin, tiba-tiba mereka berlumba-lumba mendirikan bangunan yang tinggi."

Saya memberi amaran bahawa penerusan membina menara tinggi yang baru, bukannya kemajuan tamadun, tetapi permulaan kemusnahan tamadun.

*Perbahasan Belanjawan 2011 oleh Abdul Hadi Awang selaku Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden PAS

Isnin, Oktober 18, 2010

Kuburkan Fasis:Tegakkan Keadilan Untuk Semua


Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran (Surah al-Qashash, ayat 4-5) bermaksud : Sesungguhnya Fir'aun telah berbuat sewenang-wenang di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dengan menindas segolongan dari mereka, menyembelih anak laki-laki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka.

Sesungguhnya Fir'aun termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan. Dan kami hendak memberi kurniaan kepada orang-orang yang tertindas di bumi (Mesir) itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi).

Fasis ditakrfikan sebagai penganut faham nasional yang didasarkan kepada pemerintahan yang bertindak atas keekuasaan daripada hak-hak demokratik.<1> Manakala fasisme pula merujuk kepada sistem (pandangan) politik puak pelampau yang berhaluan kanan.<2> Di dalam al-Quran, ada menceritakan bagaimana pemerintahan puak pelampau dengan kebanggaan keturunan yang telah mengorbankan ribuan nyawa penentangnya. Kisah Firaun yang menyembelih anak-anak lelaki Bani Israil kerana tidak sedarah dengan bangsanya iaitu Qibti merupakan kisah yang diulang-ulang di dalam al-Quran.

Demikian juga kisah Namrud iaitu raja di zaman Nabi Ibrahim AS yang terkenal dengan dasar pemerintahan yang zalim dan kezaliman telah dilakukan oleh ashabul ukhdud ke atas orang-orang yang mentaati ajaran Tuhan (mereka yang beriman). Ini menunjukkan bahawa fasis atau fasisme tidak hanya bermula pada zaman sejarah moden tetapi telah bermula semenjak tamadun awal manusia lagi. Justeru Islam datang kemudiannya adalah untuk mengkuburkan amalan dan fahaman fasis/fasisme dengan formula yang tersendiri.

Islam menolak fasisme

Islam adalah agama dari langit, diturunkan Allah melalui wahyu. Penyampai wahyunya adalah malaikat Jibrail dan disampaikan kepada Nabiu Muhammad SAW. Dua kandungan besar dalam ajaran Islam, iaitu pertama dunia ini diciptakan oleh Allah SWT dan bukan milik manusia dan manusia hanyalah bertaraf seorang penumpang di bumi.

Sehebat manapun seorang penumpang atau tetamu, dia tidak boleh melakukan apa sahaja yang disukainya. Ibarat seorang pemimpin yang bertamu di rumah orang lain, tentu sekali hanya boleh naik jika dijemput naik. Duduk pula di ruang tamu dan tidak boleh meredah masuk kecuali dengan keizinan. Begitulah penumpang di bumi Allah SWT. Mana mungkin seorang penumpang yang datang bertamu di bumi ini boleh melakukan apa sahaja yang dikehendaki olehnya? Nabi Muhammad SAW telah bersabda (dalam Sahih Bukhari) yang bermaksud "Jadilah kamu di dunia seolah-olah kamu bertamu atau bersinggah (di dalam perjalanan)."

Kedua, Islam mengajar penganutnya bahawa selepas hidup ini akan ada kematian dan dibangkitkan pula untuk hidup di akhirat. Hidup ini tidak akan tamat sahaja setakat di dunia, tetapi ia akan bersambung dengan hidup di alam akhirat. Hidup di akhirat ialah hidup yang berkekalan. Oleh sebab itu, akan berlaku proses pengadilan selepas dibangkitkan nanti. Ketika itu setiap orang akan melalui penghakiman atas apa yang dia buat semasa hidup di dunia. Atas nilai ajaran Islam yang sebeginilah seorang Islam sama ada bertaraf pemimpin atau rakyat biasa adalah tidak boleh melakukan amalan fasis dengan menzalimi orang lain.

Dengan perkataan lain, Islam melarang seseorang pemimpin itu melakukan kezaliman terhadap rakyatnya. Jauh sama sekali bagi pemimpin itu untuk menjadi seorang pemimpin fasisme. Maka tidak perlu khuatir apabila seorang pemimpin Islam memerintah, dia tidak mungkin menzalimi rakyatnya. Namun, dukacitanya ada pemimpin yang berlagak Islam, tetapi gaya memerintahnya adalah fasis, maka pemimpin itu mungkin pelampau yang hanya berwajah Islam. Pemimpin sedemikian merupakan menifestasi kekosongan hati dan jiwa yang tidak takut kepada Allah SWT, Tuhan yang menciptakan sekalian manusia!

Islam mampu mencegah fasis

Kekuatan ajaran Islam adalah berupaya memupuk keyakinan terhadap wujudnya hari pembalasan di akhirat kelak. Islam boleh menjadikan seorang itu patuh kepada ajaran agama dan gerun untuk melakukan dosa walaupun di dalam situasi tidak ada seorang pun melihatnya. Walaupun di situ tidak ada anggota penguatkuasa atau kamera litar tertutup (CCTV).

Ajaran Islam memberitahu setiap penganutnya, bahawa setiap masa akan ada pencatat ghaib (tidak nampak) yakni Malaikat sentiasa berada di bahu kanan dan kiri yang tugasnya sentiasa menulis apa sahaja yang kita lakukan. Catatan itu akan dibentangkan di hari penghakiman, maka berat timbangan atas perbuatan buruk balasannya siksaan neraka, sebaliknya berat timbangan atas perbuatan baik balasannya syurga. Ajaran ini sepatutnya menghalang setiap pemimpin bertindak fasis ke atas rakyat, malah akan gerun untuk melakukan menindas, merampas dan tidak beramanah dengan amanah rakyat dan negara.

Justeru, Allah SWT memberi ingatan kepada manusia betapa Dia sedia melaksanakan Pemantau ke atas setiap tindak-tanduk manusia. Dalam al-Quran, Allah SWT menyatakan (Surah al-Hadid, ayat 4) yang bermaksud: Dan dia bersama kamu di mama saja kamu berada, dan Allah Maha melihat apa yang kamu kerjakan.

Fasisme di Malaysia

Asas kuasa dan amalan pemerintahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah sekularisme yang berorientasikan semangat kebangsaan perkauman sempit. Ia tidak bersandarkan kepada mana-mana ajaran agama, meskipun dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan ada menyebut tentang Islam agama persekutuan dan agama-agama lain bebas diamalkan.

Ia bermakna, roh beragama tidak diamalkan dalam kerajaan BN, maka logiknya berlaku kezaliman, penindasan, rampasan hak dan ketidakadilan kepada rakyat tertentu. Justeru pemimpin BN tidak nampak asas dosa dan pahala mengikut acuan Allah SWT. Oleh kerana itu mereka menggunakan undang-undang tahanan tanpa bicara (Akta Keselamatan Dalam Negeri - ISA), menyekat kebebasan bersuara dengan pelbagai akta dan tidak memberikan permit (akhbar, radio, TV) untuk pembangkang, di samping berlaku persepsi serong beberapa agensi kerajaan (SPR, Polis, Mahkamah, Kehakiman).

Maka kita melihat pihak UMNO begitu gahirah menggunakan kuasa yang ada demi mmengekalkan kuasa sehingga berlaku amalan pemerintah fasis. Munasabahnya kerana fasis itulah, agama mereka tidak ikut, perlembagaan mereka tak patuh dan hak rakyat mereka rampas. Berlakulah seperti mana di Perak (rampasan kuasa) menggulingkan kerajaan yang dipilih secara sah.

Pengalaman Kelantan

UMNO turut melakukan kezaliman terhadap rakyat Kelantan yang boleh dianggap fasis. Sejak 1990, sebaik sahaja PAS mentadbir Negeri Kelantan, hak-hak dan lunas federalisme mereka langgar. Mereka lambatkan pemberian Wang Geran Tahunan yang termaktub dalam perlembagaan. Sehingga kini sebanyak 118 projek pembangunan untuk Negeri Kelantan telah disekat dan dibekukan. Pernah suatu ketika pemimpin Umno mengaku di dalam Dewan Negeri, bahawa merekalah yang menyekat dan menangguhkan projek-projek yang telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia.

Atas karenah fasis itu, sehingga kini Kerajaan Negeri telah dinafikan lebih daripada RM 200 juta kerana pemimpin UMNO tidak membayar Wang Royalti Minyak. Maka kita bertekad menuntut hak Wang Royalti Minyak dan pada bulan lepas Kerajaan Negeri telah membuat tuntutan melalui Mahkamah agar Petronas dapat membayar wang itu kepada Kerajaan Negeri. Kami yakin dengan pertolongan Allah SWT, bahawa apa yang kami lakukan demi melaksanakan amanah Allah untuk menentang fasis dan ke arah mewujud keadilan untuk semua.

Fasisme akan berkubur, yakinlah

Perlulah diyakini bahawa fasisme dalam apa jua bentuk sebenarnya sedang menuju kepada kehancuran. Kesedaran rakyat dan tahap celik maklumat yang dimiliki semakin menyusahkan UMNO dan BN - pemerintah yang fasis. UMNO mesti dihalang untuk terus memperkudakan nilai-nilai keadilan yang sepatut dinikmati oleh rakyat. Hari ini, fasisme yang pernah wujud di dalam sejarah dan sering dirujuk kepada pemerintahan Mussolini di Itali telah lama berkubur, tetapi benihnya mengakar dan berkembang ke seluruh dunia dalam pelbagai bentuk. Penafian hak-hak untuk berpolitik secara demokrasi yang telus juga termasuk di dalam kategori fasis. Demikian juga laungan-laungan perkauman yang melampau serta seruan-seruan rasis juga boleh membawa kepada amalan berteraskan fasisme.

Apa yang utama kini, masyarakat perlu dipertingkatkan kesedaran untuk menentang amalan fasis yang dibawa oleh UMNO dan BN. Kebenaran pasti akan terserlah. Umpama gelap pekat pada waktu malam, ia akan berakhir apabila terbitnya matahari. Natijahnya, fasisme ialah tiang kezaliman yang sedang reput dimamah anai-anai, ia akan tumbang bila tiba masa dan ketikanya.

Sekarang, masanya untuk Pakatan Rakyat memperkasakan gerakan memberi kesedaran kepada rakyat dan semua lapisan pengundi - di bandar, luar bandar dan pendalaman. Di sana-sini sudah ada tugas masing-masing pemimpin, dan pemimpin seharusnya membuktikan integriti dengan menunjukkan kepimpinan berakhlak berteraskan agama. Jangan sesekali mengenepi ajaran agama. Sebagaimana agama Islam meletakkan tanggungjawab ke atas setiap pemimpin, maka akan disoal di akhirat kelak atas kepimpinannya ke atas rakyat yang dipimpinnya.

Sekian.

Jumaat, Oktober 01, 2010

Peranan Pusat dalam isu kenaikan tarif air di Kedah

Ditulis oleh ZULKIFLI YAHAYA
Ramai yang meminta penjelasan berhubung kenyataan yang mendakwa kenaikan tarif air yang diumumkan di Kedah adalah atas ‘arahan dan restu Pusat’. Penjelasannya begini:

Cadangan penyemakan dan pelarasan tarif ini pernah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau juga membangkit rungutan kerajaan negeri (di semua negeri) yang menghadapi masalah kewangan akibat dari tarif air, cukai tanah dan cukai pintu yang kebanyakannya tidak disemak dan diselaraskan sejak sekian lama.

Jamaah Menteri memutuskan agar semakan semula tariff dijalankan dan dikuatkuasakan di semua negeri.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air (SPAN) telah mengadakan mesyuarat dengan semua operator air negeri berhubung dengan pelarasan tarif pada 7 Januari 2010. Semua negeri diminta mengemukakan cadangan untuk pelarasan tarif kepada SPAN selewat-lewatnya pada 7 Februari 2010.

Lanjutan itu SADA telah mengemukakan permohonan untuk pelarasan tarif kepada SPAN pada 7 Februari 2010. Beberapa siri perbincangan antara SPAN dan SADA diadakan.

Jemaah Menteri kemudian meluluskan cadangan semakan dan pelarasan itu berdasarkan Peraturan-peraturan Industri Perkhidmatan Air (Kadar Perkhidmatan Bekalan Air) Negeri Kedah 2010 yang akan berkuatkuasa mulai 1 Okober 2010.

SPAN juta telah bermesyuarat dan memutuskan bahawa negeri Melaka, Johor, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang adalah kumpulan negeri pertama yang akan mengumumkan pelarasan tarif mulai 1 Oktober 2010. Bagaimanapun kadar tersebut hanya berkuatkuasa sehingga 2012 sahaja kerana selepas itu SPAN akan turut menyeragamkan semua tarif air di Malaysia.

Pada tahun 2013 nanti, insyaAllah seluruh rakyat Malaysia akan dikenakan satu tarif air sahaja; sama seperti tarif elektrik, telefon (Telekom) atau harga minyak yang selama ini seragam di seluruh negara.

Khamis, September 30, 2010

Hentikan segera jualan susu Similac

SM Mohamed Idris

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) terkejut membaca laporan Reuters bahawa susu rumusan bayi Similac yang dikeluarkan oleh Abbott Laboratories Inc, telah menarik balik berjuta tin susu rumusan bayi yang dipercayai tercemar dengan kumbang di Amerika Syarikat. Susu rumusan bayi Similac juga turut dijual di Malaysia.

Keputusan secara sukarela untuk menarik balik produk itu dibuat apabila dua laporan pengguna dibuat berhubung pencemaran itu.

Pihak pengeluar juga secara sukarela menarik balik susu rumusan bayi itu di Guam, Puerto Rico dan pasaran Caribbean.

Hingga kini, pihak syarikat dan pihak berkuasa kesihatan Malaysia tidak membuat sebarang langkah untuk menarik balik produk itu daripada pasaran Malaysia. Dalam kes seperti ini langkah berhati-hati perlu diutamakan.

Demi untuk kepentingan keselamatan pengguna, CAP menggesa Kementerian Kesihatan menangani perkara itu dan mengambil tindakan menarik balik dengan segera terhadap produk itu sehingga keselamatannya boleh dipastikan.

CAP juga menasihatkan ibu-ibu supaya menyusui bayi mereka dengan susu ibu kerana “susu ibu adalah yang terbaik”.


Penulis adalah Presiden, Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan boleh dihubungi pada talian 04-8299511, faks - 04 8298109 dan emel - idrismd@tm.net.my

RASIONAL TERHADAP KENAIKAN TARIF AIR DI KEDAH


Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Bekalan Air Darulaman (SADA) Dato’ Adzmi Haji Din mengumumkan kenaikan tarif air di Kedah mulai 1 Oktober 2010. Secara puratanya kenaikan tarif air hanyalah RM0.10 bagi setiap meter padu air.

Kali terakhir tarif air di Kedah di semak ialah pada 1 Mac 1993. Mulai tarikh itu sehingga 30 September 20010, harga satu meter padu air ialah RM0.40. Ia adalah harga air yang kedua terendah di Malaysia selepas Pulau Pinang. Harga semeter padu air di Pulau Pinang hanya RM0.30, manakala perlis yang berada di tempat ke tiga terendah ialah RM0.48. Kedua-kedua negeri itu mendapat sumber air percuma dari sungai serta kawasan tadahannya yang berada di Kedah.

Sepanjang 17 tahun tarif air tidak pernah naik di Kedah, harga petrol naik berpuluh-puluh kali. Kenaikan harga petrol menyebabkan semua perkhidmatan yang berkaitan dengannya juga naik. Antaranya ialah tarif elektrik yang naik entah berapa kali sepanjang tempoh 17 tahun itu.

Maka jika kerajaan negeri, melalui SADA mengumumkan kenaikan tarif air mulai 1 Oktober 2010 maka ia adalah tindakan yang sangat munasabah.

Dalam isu kenaikan tarif air ini, kita boleh memberikan alasan munasabah yang melampaui batas keraguan.

Pertama: Semakan dan pelarasan tarif air ini adalah arahan dari Kerajaan Pusat setelah melihat kegagalan pengurusan air di hampir kesemua negeri di Malaysia akibat dari hasil air yang dikutip tidak seimbang dengan belanja pengurusan yang tinggi.

Semakan dan pelarasan yang diumumkan Kedah ini telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan mengikut Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Kadar Perkhidmatan Bekalan Air - Negeri Kedah) 2010. Maknanya, Pusat sudah merestuinya. Pusat pasti merestuinya kerana ia memudahkan kerajaan negeri untuk membayar balik hutang pengurusan air kepada Pusat sebanyak RM50 juta setahun.

Kenaikan akan juga berlaku di negeri-negeri lain, termasuk negeri yang ditadbir BN. Cuma Kedah yang mula dahulu.

Kedua: Kenaikan ini tidak dapat dielak memandangkan kos pengeluaran dan pengurusan bekalan air meningkat yang meningkat. Contohnya, kos berdasarkan kuantiti bahan kimia yang dibeli untuk mengolah dan merawat air juga meningkat sepanjang 17 tahun iaitu dari RM1,977,334.81 pada tahun 1993 kepada RM4,792,296.03 pada tahun 2009. Bahan kimia ini termasuklah Polyaluminium Chloride, Sodium Silicoflouride, Chlorine dan Hydrated Lime yang diguna untuk membersih air dalam tangki-tangki.

Antara yang naik juga ialah tarif elektrik. Lebih 50 peratus kos pengeluaran air ialah kos elektrik. Ia menjadikan kos yang terpaksa dibayar kepada TNB juga bertambah iaitu sebanyak RM1,977,334.81 pada tahun 1993 meningkat menjadi RM4,792,296.03 pada tahun 2009.

Satu lagi faktor khusus yang mengakibatkan peningkatan kos ialah perjanjian pengurusan bekalan air dengan pihak swasta yang dibuat di zaman kerajaan terdahulu merugikan pihak kerajaan. Jabatan Bekalan Air Kedah (sekarang SADA) terpaksa membayar kepada syarikat Utara Indah Sdn. Bhd. Lebih RM327 juta bagi tempoh 1993 hingga 2009 dan Taliworks (Langkawi) Sdn. Bhd sebanyak RM206 juta sepanjang tempoh yang sama.

Pada tahun 2009 sahaja kerajaan terpaksa membayar kepada syarikat swasta itu RM39 juta sedangkan kutipan hasil air di Langkawi hanya sebanyak RM14 juta, bermakna kerajaan terpaksa ‘top up’ sebanyak RM25.

Begitu juga perjanjian dengan syarikat Utara Indah Sdn Bhd yang diberi tugas merawat air di loji Pelubang, Jitra. Bayaran dibuat berdasarkan kapasiti air yang dirawat bukannya kapasiti air yang sampai kepada pengguna. Hakikatnya kapasiti air yang sampai kepada pengguna hanya kira-kira 55 peratus. Bermakna kerajaan hanya ‘menderma’ kepada syarikat tersebut untuk kerja merawat baki 45 peratus air yang tidak sampai kepada pengguna.

Harga barangan atau perkhidmatan apa pun tidak pernah kekal sehingga melebihi 17 tahun. Cukuplah kita menamatkan rekod tariff air yang bertahan untuk 17 tahun demi kesejahteraan rakyat.

Selasa, September 28, 2010

Israel dan Operation Sky Breeze:Malaysia tetap bersama APCO


Faisal Mustaffa dan Lingswaran Singh



Serangan pasukan Komando Laut Israel ke atas kapal-kapal Freedom Fortilla yang membawa bantuan kemanusiaan pada 31 Mei 2010 telah mengundang kritik antarabangsa yang hebat. Operasi yang dinamakan sebagai Operation Sea Breeze atau Operation Sky Winds oleh Angkatan Pertahanan Israel telah mengorbankan sembilan aktivis dari seluruh dunia, dan puluhan lagi tercedera termasuk tujuh anggota tentera Israel.

Namun, kita lihat seluruh dunia hanya mampu mengkritik dan menyelar. Jaguh "war on terrorism" Amerika Syarikat menutup sebelah mata apabila keganasan dilakukan oleh Israel, tetapi tidak senang duduk apabila Iran mengumumkan pembangunan senjata Nuklear.

Entah mengapa Israel tidak disenaraikan sebagai pengganas antarabangsa. Mengikut undang-undang antarabangsa, Israel sudah cukup syarat untuk dikategorikan sebagai pengganas antarabangsa. Malah mengikut undang-undang Amerika Syarikat pun, Israel menepati definisi pengganas seperti tertera dalam US Federal Criminal Code. Sungguhpun demikian, tidak ada apa-apa tindakan ketenteraan dibuat ke atas Israel. Barangkali kerana Israel tidak mempunyai simpanan minyak yang banyak? Atau kerana Congress dikawal oleh The Jewish Lobby?

Suara paling lantang bukan dari Malaysia

Amerika Syarikat tanpa segan silu melalui Congress 20 Mei 2010 telah meluluskan hampir USD205 Juta untuk membantu Israel dalam membina "sistem pertahanan" Iron Dome. Perbelanjaan tersebut diluluskan dengan undi 410 menyokong, 4 bantahan dan 8 tidak hadir / berkecuali. Pelik tapi benar, Amerika Syarikat memberi dana kepada Israel untuk membina sistem pertahanan yang canggih untuk melawan militia-militia Palestin yang bersenjatakan batu dan bahan ledak dan sukarelawan antarabangsa yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza.

Apa yang lebih menghairankan adalah fakta bahawa suara paling lantang melawan Israel bukannya dari Malaysia yang tidak habis mengutuk, mengkritik dan menghina kezaliman Israel, akan tetapi dari presiden Venezuela, Hugos Chavez. Pemimpin Amerika Latin ini melalui kerajaannya telah menghantar bantuan kemanusiaan ke Palestin. Venezuela turut menerajui usaha-usaha kemanusiaan ke Palestin, di mana Venezuela bersama komuniti Arab, Islam dan Amerika Latin telah membekalkan ubatan, makanan, air bersih, susu dan sebagainya kepada mangsa-mangsa kezaliman Israel di Gaza.

Pada Ogos yang lalu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-Moon telah mengumumkan bahawa U.N akan menjalankan satu siasatan terhadap serangan tersebut. Satu laporan oleh United Nations Human Rights Council yang diterbitkan pada 22 September 2010, melaporkan bahawa Israel telah bertindak melampau, dan telah menunjukkan tahap kekejaman yang tidak boleh diterima. Tentera Israel barangkali boleh dibandingkan dengan Timbalan Pendakwaraya dalam Inkues kematian Teo Beng Hock apabila menyatakan bahawa mereka telah menemui pisau dapur, klab bola lisut, lastik atau ketapel bersama guli, baju kalis peluru, topeng gas serta alat penglihatan gelap di atas kapal Mavi Marmara.

Persamaan dengan Malaysia

Tentera Israel menjustifikasi serangan mereka dengan mendakwa bahawa "serangan" ke atas tentera Israel itu telah dirancang dari awal. Ini bukan perkara yang menghairankan, kerana Israel memang terkenal dengan reaksi yang melampau terhadap kanak-kanak, wanita dan orang tua Palestin yang tidak bersenjata. Mungkin kedayusan Israel sebegitu rupa sehingga pisau dapur boleh menggugat keselamatan Israel. Tidak menjadi suatu perkara yang pelik bagi rakyat Malaysia kerana kerajaan kita lebih hebat lagi sehinggakan komik pun boleh dianggap membahayakan keselamatan negara. Mungkin tidak lama lagi tulisan kami juga dikelaskan sebagai menggugat keselamatan dalam negeri.

Kami juga tidak boleh nafikan bahawa tekanan dan kritikan antarabangsa telah berjaya memaksa Israel dan Mesir untuk membuka sekatan laluan ke Gaza di mana semua barangan bukan senjata boleh dibawa masuk ke Gaza. Menteri luar Israel Avigdor Lieberman mencadangkan agar tanggungjawab menjaga sempadan Gaza diberikan kepada komuniti antarabangsa, dan cadangan ini membangkitkan persoalan mengapa tidak diserahkan sahaja kepada Hamas? Gaza masih memerlukan bantuan untuk pulih daripada kesengsaraan yang sedang dialaminya. Kami berpendapat wang RM35 juta yang digunakan untuk projek Malaysian Pavillion lebih bermanfaat jika digunakan untuk membantu rakyat Palestin.

Israel yang selama ini biadap, dan kejam terhadap jirannya sudah mula menunjukkan kebiadapan terhadap komuniti antarabangsa. Kami khuatir, regim Zionis ini akan menindas negara-negara lain juga apabila sudah cukup kuat dan tidak memerlukan sokongan Amerika Syarikat. Sampai bila lagi akan rakyat Palestin dibuli? Sampai bila lagi seluruh Liga Arab berdiam diri tatkala rakyat Palestin merayu akan perlindungan? Sampai bila lagi Malaysia akan melanjutkan kontrak APCO World Wide?

*Faisal Mustaffa dan Lingswaran Singh ialah penulis bebas.

Selasa, September 21, 2010

Zam dan retorik silamnya


Ahmad Tajdid

Zam muncul lagi selepas lama menghilang diri. Selepas kalah dalam cubaan pertama bertanding di kerusi Parlimen Sungai Petani, nama Zam atau Zainudin Maidin jarang muncul di media massa.

Bekas Menteri Penerangan dan mantan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu itu mungkin kelemasan apabila dilanda ombak tsunami politik pada pilihan raya umum Mac 2008 lalu. Apatah lagi ketika kempen pilihan raya umum rancak berjalan, Zam secara angkuh memperkecil-kecilkan kemampuan pencabarnya untuk menandingi BN.

Setelah lebih dua tahun menghilangkan diri, Zam yang kini bergelar Tan Sri muncul dalam wawancara dengan Umno-online.com. Sedutan wawancaranya itu dipetik Utusan online menerusi tajuk berita "Pas parti ekstrem".

Sepanjang wawancara itu, Zam nampaknya masih tidak dapat membuang sifat negatifnya terhadap PAS yang menjadi musuh tradisinya sejak dahulu lagi.

Bagi Zam, PAS tetap parti ekstrem walaupun kini "mengambil pendekatan liberalisme dalam mencari sokongan politik".

Beliau memberikan contoh kononnya ada pemimpin PAS yang pernah meminta bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman merampas harta orang Cina tempatan selepas tragedi 13 Mei 1969.

Ia juga menuduh PAS bersekongkol dengan Indonesia untuk mengambil alih pemerintahan negara dan menangkap para pemimpin tempatan semasa era konfrontasi dengan negara jiran tersebut.

Justeru, kata beliau, tindakan itu mencerminkan PAS merupakan sebuah pertubuhan politik bersifat perkauman berasaskan "ekstremisme kepada Islam yang bertentangan dengan ajaran agama berkenaan".

Begitulah enaknya Zam menghentam PAS seperti enaknya beliau menghentam mentornya Dr Mahathir Mohamad yang didakwanya meminta diwawancara dalam bahasa Inggeris ketika dalam rangka lawatan ke sebuah negara jiran. Hentaman tanpa sandaran fakta itu menyebabkan Zam terpelanting dari Kumpulan Utusan. Itu balasan yang dihadapinya kerana 'menderhakai' mentornya.

Akhbar yang dipimpinnya juga pernah disaman pemimpin PAS kerana mengeluarkan berita dan rencana berunsur fitnah. Paling menonjol adalah artikel tulisan Zam dalam kolum mingguan Awang Selamat bertajuk "Nabi Fadzil Nor dan Nabi Abdul Hadi". Akhbar milik Umno itu akhirnya diperintahkan membayar ganti rugi kepada Presiden dan Timbalan Presiden PAS itu.

Ketika menerajui Utusan, Zam juga memberi ruang kepada penulis-penulis yang sealiran dengannya untuk menghentam PAS, menghina ulama dan mempertikaikan sudut-sudut ajaran Islam seperti hudud yang dianggap bertentangan dengan konsep "Islam sebenar" yang diperjuangkannya. Antaranya ialah Akbar Ali yang mendakwa kononnya para ulama tradisional gagal berfikir dengan rasional kerana ikatan ketat serban-serban mereka menghalang oksigen daripada masuk ke kepala!

Buku tulisan Akbar Ali tentang Islam dirujuk pula oleh Presiden MCA, Dato' Dr Chua Soi Lek sehingga mendorong 'playboy warga emas' itu mengeluarkan kenyataan menghina Islam ketika berucap merasmikan progam MCA Kedah baru-baru ini.

Insiden-insiden di atas membuktikan bahawa Zam bukanlah sumber yang autoritatif dan objektif untuk bercakap tentang PAS kerana permusuhan tebalnya dengan parti Islam itu. Zam hanyalah mesin propaganda Umno yang kini dikitar semula untuk membantu 'menyelamatkan' parti itu yang kini goyah menghadapi gelombang kesedaran rakyat.

Tatkala cuba memburukkan PAS dengan tragedi 13 Mei, Zam lupa bahawa Kelantan yang diperintah PAS pada 1969 tidak langsung terbawa-bawa dengan sentimen kebencian kaum yang meluap-luap pada waktu itu. Malah masyarakat minoriti Cina di negeri itu hidup aman damai sehingga sekarang walaupun diperintah PAS selama lebih 40 tahun! Masyarakat Cina, India, Siam dan lain-lain kaum juga hidup harmoni di negeri-negeri PAS berpengaruh seperti Terengganu, Perlis, Kedah dan utara Perak.

Rahsianya adalah pegangan kuat para ahli dan pendokong PAS terhadap nilai-nilai universal Islam berbanding fahaman Islam bersendi perkauman pegangan Umno yang didokongi Zam.

Mungkin Zam tidak menyedari bahawa seorang pemimpin MCA Pusat, Dr Ng Yen Yen mendapat biasiswa Kerajaan PAS Kelantan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti, jauh sebelum Umno dan BN tergagap-gagap bercakap tentang meritokrasi dan semangat 1Malaysia.

Zam juga mengecam Mursyidul Am PAS yang dakwanya menerima pemimpin bukan Islam yang tidak bermoral sedangkan individu yang dimaksudkan beliau itu menjadi mangsa teman lelakinya, seorang Melayu muslim yang lebih tidak bermoral. Dan adakah Zam boleh memberi jaminan bahawa moral para pemimpin Umno dan BN (khsususnya Presiden MCA) lebih boleh dibanggakan berbanding moral pemimpin bukan Islam Pakatan Rakyat?

Dalam keghairahan memperkecil-kecilkan kerjasama politik Pakatan Rakyat, Zam seakan-akan terlupa dengan masalah yang dihadapi komponen BN. Percakaran berterusan Umno dan parti-parti teras BN yang lain seperti MCA, Gerakan dan MIC bagaikan retak menunggu belah. Ini diburukkan lagi dengan kehadiran Perkasa, kumpulan pendesak yang dianggotai ahli-ahli Umno yang tegar dengan faham fanatik bangsa.

Realiti sistem demokrasi di Malaysia menuntut kerjasama politik parti-parti berlainan ideologi bagi membentuk kerajaan sama ada di peringkat pusat mahupun negeri. BN juga dianggotai belasan parti politik berlainan ideologi. Umno khususnya tidak akan berjaya membentuk kerajaan di peringkat persekutuan kerana ia hanya memiliki 77 kerusi Parlimen berbanding 222 kerusi Dewan Rakyat.

Bagi memastikan ia terus diberi mandat memerintah, Umno perlu membentuk kesepakatan dengan lain-lain parti di bawah bendera BN. Dan seperti juga Pakatan Rakyat, parti-parti gabungan BN yang lain turut mempunyai ideologi, dasar dan matlamat perjuangan yang berbeza berbanding Umno. Malah ahli MCA dan MIC (walaupun beragama Islam) tidak akan diterima menyertai Umno dan begitu juga sebaliknya, kerana parti-parti itu berasaskan kaum.

Usaha memecahbelahkan Pakatan Rakyat adalah strategi lapuk BN dan Umno untuk mengelakkan persaingan mendapatkan kuasa. Kewujudan Pakatan Rakyat sebenarnya menjadi mimpi ngeri kepada BN kerana ia bakal merealisasikan sistem dua parti di negara ini.

Zam boleh terus memainkan lagu-lagu lama untuk memperlekehkan PAS dan Pakatan Rakyat. Bagaimanapun lagu yang dimainkan Zam sudah ketinggalan zaman dan hanya didengari peminat-peminat setia warga emas di saluran Klasik fM!

Khamis, September 09, 2010

Perutusan Hari Raya Presiden PAS

Rayakan Syawal, jangan tentang usaha Nabi s.a.w.Thursday, 30 Ramadan 1431




Allahuakbar, Allahukbar, Allahuakbar…
Lailaha Hilallah Wallahu Akbar,
Allahuakbar Walillahil Hamd.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Dengan Nama Allah Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Penyayang;

Saya bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan kepada seluruh muslimin dan muslimat. Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri, hari raya kurnia Allah SWT bersempena dengan kita menunaikan ibadat puasa di bulan Ramadan. Menjadi kelaziman selepas menunaikan ibadat-ibadat yang besar. Allah Ta’ala, mengurniakan hari yang besar. Bagi sembahyang lima waktu dikurniakan hari Jumaat, bagi puasa Ramadan dikurniakan Hari Raya Aidilfitri dan bagi ibadat Haji dikurniakan Hari Raya Korban (Aidiladha).

Hari Raya Aidlifitri mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Setelah umat Islam dididik, ditarbiyyah dengan mengerjakan ibadat puasa di bulan Ramadan, supaya menjadi orang-orang yang bertaqwa kepada Allah SWT. Adalah juga menjadi suatu hikmah yang besar apabila Allah SWT memilih di bulan Ramadan ini berlakunya peristiwa al-Quran Karim diturunkan dan peristiwa peperangan Badar. Peristiwa pembukaan Mekah, diikuti dengan bulan Rejab, bulan Syawal dengan peristiwa Ahzab.

Ini menunjukkan bahawa kemuncak kepada taqwa yang ditarbiyyahkan melalui puasa Ramadan. Orang-orang yang beriman hendaklah menerima al-Quran Karim, satu-satunya petunjuk yang benar kerana ia (al-Quran) daripada Allah SWT. Setelah Allah SWT menyatakan tujuan ibadat puasa itu, supaya kamu (manusia) bertaqwa kepada Allah SWT.

Allah SWT juga menegaskan, “Kitab (al-Quran) ini tidak syak lagi memberi Petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa”. Dan hanya orang-orang yang bertaqwa yang menjadikan al-Quran Karim sebagai Petunjuk. Marilah kita mempelajari daripada menafsirkan al-Quran Karim secara praktikal atau amali yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Apabila beramal dengan al-Quran bukan sahaja mengaku menjadi seorang Islam yang mengucap dua kalimah syahadah. Tetapi, disertakan dengan keimanan yang sungguh-sungguh dan dalam masa yang sama menegakkan al-Quran itu menjadi Petunjuk dalam seluruh cara hidup individu, keluarga dan masyarakat.

Apabila Rasulullah SAW berusaha untuk mendirikan sebuah negara atau amalan politik. Ini menunjukkan bahawa seluruh al-Quran Karim tidak boleh dilaksanakan melainkan dengan adanya amalan (kuasa) politik yang menjadi syarat, kerana hukum-hukum yang ada dalam al-Quran Karim mensyaratkan adanya negara yang didirikan. Negara yang dilandaskan al-Quran Karim itu dan Petunjuk yang diajar oleh Rasulullah SAW supaya hukum-hukumnya diamalkan.

Para ulama’ mengatakan, “Apa yang tidak sempurna dari perkara yang wajib melainkan dengannya, maka ia (perkara itu) menjadi wajib”. Bagi mendirikan sembahyang syaratnya mestilah berwudhuk, maka berwudhuk untuk sembahyang yang wajib hukumnya wajib. Bagi menutup aurat yang wajib mestilah mempunyai pakaian yang lengkap bagi menutup aurat. Maka, mencari pakaian yang lengkap bagi menutup aurat hukumnya adalah wajib. Bagi melaksanakan seluruh perintah-perintah al-Quran Karim memerlukan amalan politik bagi mendirikan negara yang mendaulatkan Syariat (hukum) Allah. Maka, berpolitik mendirikan negara adalah wajib. Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW. Apabila di sana terdapat di kalangan manusia yang tidak boleh menerima petunjuk al-Quran Karim. Ini kerana, al-Quran itu menghalang hawa nafsu mereka untuk memerintah secara zalim dan diktator. Untuk mereka melakukan cara yang melampau dalam menyalahgunakan kuasa, menyalahgunakan nikmat harta negara yang diberi oleh Allah SWT. Meneguhkan kuasa menyebabkan seseorang itu boleh membuat apa sahaja.

Apabila al-Quran Karim menghalang kelakuan yang haram dan buruk itu, menyebabkan kumpulan-kumpulan yang mahu melakukan amalan itu menentang usaha Nabi SAW untuk mendirikan negara Islam. Maka, berlakulah pertembungan antara haq dan batil, di antara benar dan salah, di antara adil dan zalim. Inilah yang menimbulkan peristiwa Badar, yang menimbulkan pembukaan Mekah, yang menimbulkan peristiwa Ahzab.

Apa yang menarik, peristiwa-peristiwa ini melibatkan bangsa Arab, melibatkan orang-orang Yahudi Ahlil Kitab. Ini menunjukkan bahawa pertembungan yang melahirkan Furqan, yang membezakan haq dan batil, bukan di atas asas kebangsaan, bukan di atas asas ke negerian. Tetapi di atas asas prinsip aqidah Islam yang benar, yang menegakkan iman, yang menolak kufur, yang menegakkan Islam, yang menolak jahiliah, yang menegakkan adil yang menolak kezaliman.

Inilah semangat yang perlu dilahirkan dari Ramadan, semangat yang diperlukan lahir dari hari raya. Di sinilah hikmatnya, mengapa tiap-tiap hari raya kita bertakbir membesarkan Allah SWT dengan menyebut ‘Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar’ dan Allah sahaja Yang Maha Besar. Dan bagi Allah sahaja kepujian dan kita menyebut (maksudnya): “Tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah, Esa-Nya dan tidak ada sekutu bagi-Nya, yang menolong hamba-Nya, yang berjuang untuk menegakkan Islam, yang menghancurkan bala tentera Ahzab. Yang menentang usaha bagi menegakkan Islam itu”.

Inilah semangat hari raya yang perlu disambut. Dalam masa yang sama, kita hendaklah mengukuhkan saf umat Islam itu sendiri. Khususnya, di kalangan mereka yang menegakkan Islam dengan mengeratkan hubungan persaudaraan di antara satu sama lain. Dan mereka yang terlanjur melakukan kesilapan hendaklah sedar dan insaf serta kembali ke pangkal jalan. Sebagaimana yang ditunjuk oleh generasi awal umat Islam yang membawa mereka kepada kemuliaan. Kemuliaan yang diberi oleh Islam sebagaimana yang dinyatakan oleh Khalifah Umar al-Khatab, “Kita adalah umat yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan yang lain dari Islam, nescaya kita akan menerima penghinaan daripada Allah”.

Cukuplah, kehinaan yang menimpa umat Islam hari ini mereka diratah oleh kaum yang lain. Mereka sepatutnya menjadi contoh kepada umat yang lain, tiba-tiba mereka terpengaruh dengan umat yang lain. Marilah, kita kembali dengan semangat Ramadan, dengan semangat hari raya melahirkan umat yang dinyatakan oleh Allah (bermaksud): “Kamu adalah umat yang dijadikan oleh Allah untuk dikeluarkan kepada manusia, untuk menjadi contoh, untuk memimpin manusia, dengan ciri-ciri dan sifat-sifat kamu menyuruh kepada yang baik dan kamu mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah”.

Dan mudah-mudahan kita dapat melaksanakan kewajipan ini dengan penuh mendapat rahmat dan pertolongan dari Allah SWT sebagaimana yang dijanjikan (bermaksud): “Allah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, bahawa Allah yang menjadikan mereka itu golongan yang berkuasa, dan memerintah negara di atas muka bumi ini sebagaimana dikurniakan kepada umat yang terdahulu dan Allah menjadikan keadaan yang berubah, agama yang diredha ialah Islam ini berkuasa memerintah. Keadaan yang menakutkan bertukar menjadi keamanan. Mereka itu mengabdikan diri kepada Aku yakni Allah, dan mereka tidak menyengutui Aku yakni Allah dengan sesuatu yang lain. Dan sesiapa yang kufur selepas itu mereka itulah orang-orang yang fasiq.

Sekian.

Salam Hormat,

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Rabu, September 08, 2010

Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin


PAS Cawangan Bandar Laguna mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyumbang- penyumbang yang telah memberikan sumbangan kepada PAS Cawangan dalam menjayakan beberapa aktiviti sepanjang Ramadhan ini. Semoga anda semua dirahmati Allah.

Rabu, September 01, 2010

Apa rasional Najib tarik subsidi, beri bonus

Langkah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membelanjakan RM934.65 juta dengan memberi RM500 bonus kepada setiap kakitangan kerajaan wajar dipersoal secara rasional.

Menurut Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, langkah Najib itu seakan tidak selari dengan langkah rasionalisasi subsidi dengan menarik semula subsidi lima komoditi asasi yang bernilai RM750 juta demi mengurangkan beban perbelanjaan kerajaan.

"Bukan saya tidak setuju dengan pemberian ini, saya sokong rakyat diberi bonus, tetapi apa rasional Najib menarik RM750 juta subsidi dan berbelanja RM900 juta untuk bonus," ujarnya di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Shah Alam, petang ini.

Bagaimanapun, beliau menyokong kakitangan awam, khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana layak menerima bonus tersebut.

Baginya, tindakan Najib yang juga Menteri Kewangan itu seakan suatu tindakan bermotif politik ekoran Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengumumkan pemberian elaun RM500 kepada kakitangan kerajaan negeri.

"Apakah pemberian itu semata-mata kerana Pulau Pinang bagi bonus, maka dia pun bagi," ujarnya yang juga anggota Lajnah Politik PAS Pusat.

Beliau turut mencabar Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin supaya tampil menjelaskan langkah terbaru Najib itu.

Ini kerana, katanya, Khairy merupakan antara pemimpin Umno yang dilihat menonjol menjelaskan tentang rasionalisasi subsidi sebagai alternatif terbaik menangani perbelanjaan defisit yang dialami kerajaan pusat sejak 11 tahun lalu.

Menurutnya, langkah Najib itu sebenarnya berbeza dengan langkah kerajaan Pulau Pinang dan Selangor memberi bonus kepada kakitangan kerajaan negeri masing-masing.

"Pulau Pinang dapat bagi bonus, Selangor dapat bagi bonus disebabkan pengurusan kerajaan yang baik serta perbelanjaan yang berjimat cermat.

"Tetapi, kerajaan federasi (pusat) sendiri pun dah mengaku defisit dengan rasuah dan pembaziran dalam perbelanjaan, dia kata subsidi tidak efisyen, tiba-tiba dia bagi pula," beliau menambah.

Ahad, Ogos 22, 2010

Asri: Jangan politikkan isu khutbah, tak salah doa pemimpin sejahtera


Oleh G ManimaranAugust
Dr Mohd Asri Zainul Abidin menggesa Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) tidak mempolitikkan isu membaca doa membabitkan kesejahteraan Ketua Menteri Pulau Pinang semasa khutbah sehingga boleh mencetuskan suasana tidak senang di kalangan rakyat.

Sambil menegaskan beliau tidak pasti bentuk doa yang telah dibacakan sebagaimana didakwa oleh Umno Pulau Pinang, bekas mufti Perlis kelahiran Pulau Pinang itu menganggap membacakan kesejahteraan Lim selaku Ketua Menteri atau seabgai ketua kerajaan negeri adalah perkara kecil.

“Jangan mempolitikkan isu ini, saya katakan perkara ini kepada Pakatan dan juga BN, jangan mempolitikkan,” kata beliau.

Asri menambah, parti-parti politik perlu ada semangat “negarawan” tanpa melihat sesuatu isu itu dalam skop yang terbatas atau kerangka politik semata-mata atau kepentingan kelompok tertentu.

“Saya tidak memihak kepada mana-mana pihak... kita (sebenarnya) ada banyak perkara besar untuk dilakukan bagi rakyat negara ini... isu ini (membaca doa kesejahteraan) bukanlah besar sangat pun,” kata beliau yang pulang ke tanah air dari Mekah kelmarin.

“Saya tidak tahu apakah doa yang dibacakan, kita kena melihat pada kandungan doa,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider semalam sambil menjelaskan, doa jatuh dalam empat kategori.

Doa pertama menurut beliau, meminta seseorang pemimpin diberikan petunjuk atau hidayah manakala yang kedua berharap agar seseorang pemimpin itu bersikap adil atau bersimpati dengan nasib rakyat.

“Doa ini boleh dibacakan ke atas pemimpin sama ada mereka itu Islam atau bukan Islam,” katanya.

PR melihat Umno menggunakan isu itu menyerang kepimpinan negeri diterajui Lim sejak Mac 2008. Isu khutbah dilihat siri terbaru serangan ke atas kerajaan negeri pimpinan PR.

“Dua doa yang lain ialah kita mendoakan kesejahteraan seseorang pemimpin itu walaupun dia berlaku tidak adil, seolah-olah kita bersetuju dengan kezaliman dia, dan satu lagi ialah berdoa memuji kepimpinan, seolah-olah doa penghias kepimpinan)... kedua-dua ini tidak boleh dilakukan,” katanya.

Asri juga membangkitkan persoalan mengapa isu doa dijadikan sebagai satu isu besar sekarang sedangkan ada parti-parti politik yang pernah berdoa agar membawa kemenangan seseorang calon bukan Islam yang diletakkan dalam pilihan raya.

Katanya, jika doa kemenangan dibolehkkan ke atas calon bukan Islam, mengapa doa kesejahteraan pemimpin bukan Islam tidak boleh demi menunjukkan hidayah atau petunjuk dan agar berlaku adil kepada rakyat.

“Saya tidak mahu menyebut parti mana yang berbuat demikian, tetapi jangan mempolitikkan isu doa sekarang... pernah ada parti yang membacakan doa agar membawa kemenangan kepada calon mereka yang bukan Islam, mengapa dulu boleh tetapi sekarang tidak boleh, jadi ada doa yang boleh dan ada doa yang tidak boleh... doa untuk kebaikan kita boleh lakukan,” katanya.

Asri juga menasihatkan agar isu khutbah dan doa dilihat dari sudut agama yang akan memberikan penyelesaian adil dan berfakta, bukannya menerusi platform politik yang lebih bersifat emosional.

Ketika ditanya mengenai penggunaan nama Ketua Menteri untuk digantikan dengan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, Asri berkata, beliau tidak pasti soal tersebut baru pulang dari luar negara.

“Aspek ini saya belum ada maklumat sebab saya baru pulang dari luar negara,” kata beliau.

Setakat semalam polis sudah pun menerima tiga laporan berhubung dakwaan penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong.

Laporan Utusan Malaysia semalam memetik Imam Masjid Jamek Padang Menora, Ibrahim Ishak yang mengakui khatib ada menyebut nama Ketua Menteri dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, ia bermaksud semoga Allah membukakan hati Guan Eng untuk menerima Islam.

Khamis lepas, Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang memprotes penggunaan nama Ketua Menteri dalam doa khutbah kedua solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penggunaan nama Ketua Menteri itu dalam khutbah Jumaat dikesan sejak minggu lepas di beberapa buah masjid sekitar Tasek Gelugor, Permatang Pauh dan Jelutong.

Beliau berkata tindakan menggunakan nama Ketua Menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat adalah di luar daripada keputusan Majlis Raja-Raja.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin kerajaan negeri Pulau Pinang menafikan perkara tersebut berdasarkan siasatan awal.

“Biar siasatan dijalankan untuk menentukan khatib atau imam masjid mana yang terlibat dan kalau benar tindakan tegas akan diambil,” kata Timbalan Ketua Menteri I Dr Mansor Othman dan Exco Kerajaan Negeri Abdul Malik Kassim dalam satu kenyataan bersama semalam.

“Hanya khatib atau imam yang tak siuman berani menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dengan nama Lim Guan Eng. Sekiranya dakwaan ini benar, kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas,” kata pemimpin itu.

Dalam kenyataan itu juga, Abdul Malik dan Mansor menambah, dakwaan yang lebih merupakan fitnah terhadap kerajaan negeri adalah sangat serius kerana boleh mencetuskan kemarahan, kebencian dan ketegangan kaum dan agama dan membawa insiden yang tidak diingini.

“Lim Guan Eng, yang tidak pernah campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran Islam, pun dianiayai,” kata mereka.

Umno Pulau Pinang mempertahankan pendirian mereka dengan menafikan dakwaan bahawa parti itu sengaja mencipta isu kononnya nama Ketua Menteri digunakan dalam khutbah untuk menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong.

Ketika menjelaskan kepada The Malaysian Insider, Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman mendakwa perkara itu benar-benar berlaku di beberapa masjid, sejak awal tahun ini.

Beliau menamakan enam masjid yang menurut parti itu telah menggunakan nama sama ada “Ketua Menteri ataupun Lim Guan Eng” dalam khutbah, yang dikesan sejak Februari lalu.