Sembilan kesalahan trafik denda maksimum RM300
Jan 22, 10 9:38am
Kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar dan tidak memakai topi keledar adalah antara sembilan kesalahan serius yang akan dikenakan denda maksimum RM300 dalam Ops Bersepadu sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang bermula dari 8 hingga 22 Feb ini.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat berkata dua kesalahan itu dikenal pasti sebagai penyebab kepada kecederaan serius yang menyumbang kepada peningkatan jumlah kemalangan maut.
"Tujuh kesalahan serius lain terdiri daripada memandu melebihi had laju, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat, menggunakan lorong kecemasan, memandu secara berbahaya dan membawa muatan lebih had," katanya semasa melancarkan kempen keselamatan jalan raya sempena musim perayaan Tahun Baru Cina 2010 di Plaza Tol Sungai Besi semalam.
Beliau berkata sembilan kesalahan itu dikenal pasti oleh satu 'mini lab' penguatkuasaan yang diadakan baru-baru ini anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros).
"Ini sebagai satu amaran awal kepada orang ramai sebab biasanya bila seseorang itu didapati sabit kesalahan di sisi undang-undang trafik, ada yang kata dia tak tahu langsung tentang kesalahan yang dilakukan.
"Jadi, saya di sini nak pesan supaya semua mesti tahu sembilan kesalahan serius yang dikenal pasti," katanya.
Sementara itu kempen bersepadu yang bertemakan 'Buckle Up, It Is The Law' dianjurkan hari ini bertujuan memastikan pengguna jalan raya memandu dengan berhati-hati dan sentiasa memakai tali pinggang keledar semasa memandu, terutama pada musim perayaan.
Walaupun undang-undang mengenai tali pinggang keledar di tempat duduk belakang dikuatkuasakan setahun yang lepas, rakyat dilihat masih perlu diingatkan secara berterusan supaya memakai tali keledar itu demi keselamatan mereka.
Sehingga kini, hampir 300 kematian dicatatkan akibat kecuaian pengguna kenderaan tidak memakai tali pinggang keledar di tempat duduk belakang.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan