MARI MENDENGAR & MEMAHAMI AL-QUR'AN

Listen to Quran

Khamis, Jun 10, 2010

Nik Aziz: Jadikan PAS alternatif efektif bagi Muslim Melayu


PAS, rakan komponen Pakatan Rakyat, perlu mempunyai daya penarik yang efektif kepada kaum Melayu dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13, kata Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat malam tadi.

Sehubungan itu Menteri Besar Kelantan berkata, PAS perlu mendapat sokongan Melayu dengan kadar yang lebih banyak bagi memastikan kemenangan parti itu, sekali gus menggantikan Umno.

“Kita mahu menjadikan PAS sebagai parti yang menarik kepada Muslim Melayu.

“Semoga dengan jumlah 110 kerusi parlimen yang majoritinya Muslim, akan berlaku suatu pendekatan terbaik bagi menjamin kemenangan Islam setidak-tidaknya kesemua kerusi yang PAS bertanding,” kata Nik Aziz.

“Pilihan raya umum yang ke-12 dan siri pilihan raya kecil yang berlaku selepasnya, termasuklah terbaru di Hulu Selangor dan Sibu, jelas sekali bagaimana Barisan Nasional telah ditolak secara total oleh pengundi bukan Melayu.

“Hari ini, tidak dinafikan bahawa yang menjadi tongkat Barisan Nasional ialah pengundi Melayu.

“Saya suka mengingatkan agar memerhati perkembangan ini dengan serius,” katanya.

Nik Aziz berkata demikian semasa berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat serentak di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan, Pengkalan Chepa dekat sini malam tadi.

Dengan mengambil kira perkembangan sepanjang dua tahun lalu, tegas Nik Aziz, PAS perlu bergerak cergas mulai sekarang bagi mendapatkan sokongan orang Melayu dengan membawa Islam sebagai ideologi perjuangan parti.

Nik Aziz berbual dengan Ketua Dewan Muslimat Nuridah Mohd Salleh (kanan) selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulama serentak di Kota Baru malam tadi. — Gambar Choo Choy May“PAS sebagai alternatif kepada Umno perlu bergerak dengan lebih cergas dalam meraih sokongan pengundi Melayu.

“Jangan dibiarkan orang-orang Melayu terus ditipu hidup-hidup dengan momokan ‘Ketuanan Melayu’ yang merupakan dongengan pemimpin Umno,” katanya.

Nik Aziz menambah, orang-orang Melayu perlu diingatkan bahawa kris yang dijulang oleh pemimpin Umno “bukannya untuk memperjuangkan Melayu tetapi hanyalah untuk merobek perpaduan kaum dan menikam bangsa sendiri yang tidak sehaluan dengan mereka.”

“Buktinya, Kelantan sebagai negeri yang majoritinya Melayu dinafikan hak untuk mendapatkan royalti minyak daripada buminya sendiri.

“Projek-projek pembangunan daripada pusat semuanya diserahkan kepada jabatan mereka sendiri. Semacam kerajaan Kelantan sekarang tidak sah dan pegawai-pegawai tidak berpelajaran, lemah dan korup,” kata Nik Aziz yang menerajui Kelantan sejak 1990.

Secara kebetulan muktamar tahunan PAS termasuk ketiga-tiga sayapnya diadakan di Kota Baru memperingati dua dekad pemerintahan PAS di Kelantan.

Dalam ucapannya, beliau juga meminta ketiga-tiga sayap PAS membuat satu panduan terperinci dalam mendapatkan kepercayaan orang Melayu untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ini kali pertama muktamar tahunan ketiga-tiga sayap dirasmikan secara serentak.

Nik Aziz menambah, demi memastikan orang-orang Melayu turut bersama PAS dalam pelayaran bahtera perubahan ini, “PAS perlu bergerak dengan lebih efektif agar dterima rakyat.”

“Jika ditanya Kelantan apakah formulanya, saya suka menjawab bahawa formulanya ialah mendidik jiwa rakyat dengan agama, suburkan sanubari mereka dengan taqwa kepada Allah agar hati mereka tidak mati, tidak keras untuk menerima siraman hujan kebenaran,” katanya.

Nik Aziz menambah, usaha ini perlu dilakukan setiap masa, bukan lima tahun sekali tatkala menjelang pilihan raya.

“Bahkan perlulah sentiasa memilih antara laluan fujuraha (maksiat) dan laluan taqwaha (ketaqwaan).

“Inilah beza antara jemaah Islam dan sekular. Pada sudut inilah, saya meletak harapan besar kepada Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat agar meletakkan keutamaan menguasai sasaran lebih besar pengundi Muslim Melayu,” katanya

1 ulasan:

  1. memang bagus dan tepat saranan tuan guru.apa tindakan pas laguna.ada ramai umno tegar yang tidak setuju dengan 1 malaysia.cepat-cepat la ambil peluang!

    BalasPadam