MARI MENDENGAR & MEMAHAMI AL-QUR'AN

Listen to Quran

Jumaat, Disember 18, 2009

Sungai Petani bakal jadi Halal City 2020

SUNGAI PETANI 17 Dis. – Kedah bercadang mewujudkan bandar berkonsep halal atau Halal City di Sungai Petani bagi menarik lebih ramai pelabur tempatan dan asing menjelang tahun 2020.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, pemilihan konsep tersebut dibuat selepas mengambil kira keupayaan Sungai Petani yang kini merupakan antara bandar paling pesat membangun di kawasan utara.

Selain itu, katanya, daerah tersebut turut dikesan mempunyai potensi pembangunan seperti pertanian dan sumber semula jadi yang begitu luas untuk dimanfaatkan sebagai pendapatan pada masa akan datang.

“Cadangan pembangunan projek Halal City ini merupakan satu keputusan untuk masa depan. Ia terkandung dalam Draf Rancangan Tempatan 2020 bagi kawasan ini daerah Kuala Muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pameran publisiti dan penyertaan awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Kuala Muda di Kelab Cinta Sayang di sini semalam.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Ir. Phahrolrazi Zawawi; Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Kedah, Noran Sharif dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Rozaina Radzi.

Pameran Draf Rancangan Tempatan tersebut akan dibuka bagi mendapatkan maklum balas, cadangan dan bantahan orang ramai sehingga 31 Disember ini.
Menurut Azizan, kewujudan Halal City berkenaan diharap dapat menampung pertumbuhan pesat sektor industri makanan halal Kedah dan negara ini pada masa akan datang.
“Berdasarkan Draf Rancangan Tempatan tersebut, Halal City Sungai Petani turut disokong oleh projek baru seperti Terminal Bersepadu Sungai Petani yang menjadikan kawasan ini sebagai pusat utama pengangkutan darat di Kedah,” katanya.

Tambahnya, projek-projek tersebut dijangka boleh menambah peluang pekerjaan dan seterusnya meningkatkan lagi taraf sosioekonomi di kalangan penduduk negeri ini.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat Kedah khususnya di daerah Kuala Muda dapat melaksanakan tanggungjawab dengan mengemukakan cadangan ataupun bantahan mengenai draf rancangan tempatan berkenaan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan