MARI MENDENGAR & MEMAHAMI AL-QUR'AN

Listen to Quran

Khamis, Mac 25, 2010

Hilang arah kerana berpandukan peta lama


Kalau diberi perluang menyimpulkan masalah yang negara kita hadapi sekarang ini, jawapan saya dalam satu ayat yang ringkas adalah kita telah “hilang arah tuju kerana masih berpandukan peta lama”.

Sudah terlalu lama Malaysia menantikan transformasi secara menyeluruh dan reformasi yang tulen. Sayangnya, kita hanya mendengar slogan demi slogan. Daripada slogan “Bersih, Cekap dan Amanah” kepada “Cemerlang, Gemilang dan Terbilang” dan yang sering kita dengar hari ini “1 Malaysia — Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, soal komitment dan pelaksanaan belum diberi perhatian serius.

Sedangkan perkara-perkara asas seperti usaha membasmi rasuah, melaksanakan pembaharuan institusi-institusi demokrasi, dan mengamalkan keadilan dalam agihan peluang telah menjadi isu-isu penting sejak sekian lama, terutamanya sejak krisis ekonomi dan politik 1997/1998.

Dunia telah mengalami perubahan besar. Malah, Malaysia juga turut berubah. Tetapi perubahan yang ketara ini tidak pula kita rasai dalam perbahasan di Parlimen kita atau di media massa arus perdana.

Soal demografi sahaja sudah cukup mengejutkan kita. Kalau pelawat dari negara luar melihat negara kita dengan hanya berpandukan kepada perbahasan di Dewan Rakyat atau laporan Utusan Malaysia, mereka akan terkejut dan mungkin menyangka perkauman adalah isu utama di Malaysia.

Perbahasan Dewan serta andaian Utusan juga memperlihatkan bahawa kononnya kebanyakan penduduk negara ini bermastautin di desa dan tidak ada kena-mengena dengan bandar, dan seolah-olah semua penyokong UMNO berfikiran seperti dua atau tiga generasi dahulu. Seolah-olah orang kampung masih lagi tidak bijak dan perlu kepada tongkat UMNO.

Hakikatnya adalah sebaliknya. Sekurang-kurangnya 64 peratus rakyat Malaysia kini bermastautin di kawasan bandar. Untuk Semenanjung Malaysia sahaja, hampir 70 peratus rakyat bermastautin di kawasan bandar.

Bukan sahaja ini berlaku kerana penghijarahan ke bandar tetapi juga kerana desa-desa serta kawasan-kawasan lain telah dibangunkan menjadi bandar-bandar baru.

Tetapi hakikat ini diketepikan oleh parti-parti komponen Barisan Nasional, terutamanya UMNO, MCA dan MIC. Mereka tetap mahu jadi jaguh kampung. Oleh kerana itu, jentera parti-parti BN kukuh di kampung kerana mereka terus menggunakan pelbagai strategi untuk mengawal pemikiran rakyat di kawasan desa. Mereka tidak mahu rakyat yang berasal dari desa berubah dari peta lama yang penuh dengan politik perkauman.

Seorang ahli akademik antarabangsa Professor Emeritus Terry McGee, yang melawat Malaysia buat kali pertama pada tahun 1959 dan pernah mengajar di Universiti Malaya, baru-baru ini telah mengatakan bahawa tidak ada lagi apa yang dikatakan sebagai “masyarakat desa” di Semenanjung Malaysia kerana semua kampung dan desa amat bergantung kepada ekonomi bandar.

Maksudnya, penghuni desa memerlukan bandar untuk urusan seharian manakala anak-anak mereka pula bekerja di bandar-bandar berhampiran. Malah sudah ramai yang berhijrah ke Lembah Klang sejak satu dua dekad yang lalu.

Kehadiran anak-anak muda kampung di bandar-bandar inilah yang membimbangkan UMNO dan parti-parti komponen BN kerana golongan muda semakin terdedah kepada maklumat dan fakta yang selama ini disembunyikan oleh BN di desa dan pendalaman.

Saya sendiri terkejut apabila menyedari betapa “muda” negara kita ini. Menurut anggaran penduduk Malaysia oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2008, sebanyak 41 peratus atau 11.47 juta orang adalah mereka yang berumur di bawah 20 tahun. Sejumlah 20.14 juta atau 72 peratus daripada jumlah keseluruhan 27.73 juta penduduk Malaysia adalah mereka yang berumur di bawah 40 tahun.

Golongan inilah penentu masa depan politik negara kita. Mereka inilah yang lebih bermaklumat daripada generasi sebelumnya kerana telah lama “keluar” dari desa walau pun masih tinggal di kawasan yang dikatakan desa atau kampung.

Jika pemimpin atasan masih lagi berpandukan peta lama, mereka mungkin akan terkejut dengan golongan muda yang lebih prihatin dan terbuka kepada idea-idea baru yang akan menenentukan keputusan pilihan raya umum akan datang.

Jika golongan muda menyedari negara sudah “hilang arah”, tidak mustahil mereka mahu memperbetulkan keadaan dengan mengembalikan arah tuju yang lebih tepat dan sesuai dengan keperluan masakini.

Peta lama masih dipegang oleh UMNO dan BN sedangkan golongan muda sudah mula mencari peta baru untuk mengembalikan maruah dan harga diri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan