MARI MENDENGAR & MEMAHAMI AL-QUR'AN

Listen to Quran

Jumaat, Mac 19, 2010

Saya anak jantan, Ku Li nafi dakwaan Zahrain



Oleh G. Manimaran
KUALA TERENGGANU, 19 Mac — Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menafikan beliau merupakan salah seorang daripada lapan anggota Dewan Rakyat yang disebut-sebut sepatutnya menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menjayakan rancangan Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih kerajaan pusat pada 16 Sept 2008.

“Itu tidak betul,” kata beliau ketika mengulas kenyataan Ahli Parlimen Bebas dari Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim (gambar) semalam yang mendedahkan nama lapan Ahli Parlimen yang disebut-sebut akan melompat ke PKR bagi menjayakan rancangan PR untuk mengambil alih kerajaan pusat ketika itu.

“Kalau saya nak masuk mana-mana parti, tak tunggu dia isytiharlah, saya ini orang jantan,” kata beliau ketika ditemui selepas majlis Dialog Perdana Isu Royalti dan Solat Hajat di sini malam tadi.

Ketua Umno Gua Musang ini berkata, beliau tidak pasti sama ada Zahrain, bekas pengerusi PKR Pulau Pinang, berbohong ataupun tidak tetapi “pastinya saya tidak terlibat” dalam perkara itu.

Tengku Razaleigh juga menafikan beliau ada didampingi pihak berkenaan agar kelaur Barisan Nasional (BN) untuk menyertai PKR bagi membolehkan PR membentuk kerajaan persekutuan kira-kira tujuh bulan selepas pilihan raya umum ke-12.

Ketika ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan perundangan terhadap Zahrain, Tengku Razaleigh berkata: “Buat apa?”

Pun begitu Tengku Razaleigh mengakui beliau terkejut dengan laporan itu.

“Ya, ini baru saya dengar,” kata beliau yang sebelum itu pada majlis dialog tersebut mengulangi pendiriannya bahawa akan bersama dengan parti yang dianggotainya sekarang untuk menyuarakan kepentingan rakyat.

Malah ketika berdialog ada peserta mengesyorkan agar beliau mengetuai PR ekoran pengalamannya bersama Gagasan Rakyat pada awal 1990-an.

Selain Tengku Razaleigh, nama yang turut disebut Zahrain ialah Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan), Datuk Seri Anifah Aman (BN-Kimanis), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Chua Soon Bui (Bebas-Tawau) dan Datuk Eric Majimbun (Bebas-Sepanggar).

Nama lain ialah Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) dan Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (BN-Jerantut).

Nama mereka disenaraikan oleh Zahrain ketika menyambung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

Zahrain juga mendedahkan seorang Timbalan Speaker juga dikatakan akan menyertai PKR.

Kenyataan itu menyebabkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mencelah bertanya “Timbalan Speaker yang mana (Zahrain maksudkan)?” menyebabkan Dewan diselubungi gelak ketawa ahli-ahli Parlimen.

Sehari sebelum itu Zahrain mendedahkan kepincangan PKR dan PR yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zahrain berkata beliau yakin keputusannya keluar parti adalah tindakan tepat kerana tidak mahu sejarah menghukumnya kerana tidak berbuat apa-apa ketika perjuangan PKR dan pakatan pembangkang semakin terpesong menjadi perjuangan peribadi yang sempit.

Tengku Razaleigh juga ditanya tentang pendirian beliau dalam isu royalti minyak selepas muncul pada majlis ceramah perdana di Kota Baru Januari lalu dan terbaru di sini malam tadi.

“Pendirian saya tidak berubah. Saya dah sebut tadi, saya tetap akan mempertahankan kebenaran. Apa nak takut?” katanya.

Kata Tengku Razaleigh, beliau kini rasa lapang apabila dapat menyatakan pendiriannya secara terbuka dalam isu tersebut.

Oleh itu kata Tengku Razaleigh beliau juga tidak rasa kedudukannya tergugat.

“Gugat apa? Saya tidak pegang apa-apa jawatan, saya bukan menteri. Yang rasa tergugat ialah mereka yang memegang jawatan menteri, sebab itu mereka bersikap macam hipokrit,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan