KOTA BAHARU, 19 Mac — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat menyelar tindakan sesetengah pemimpin politik yang mendedahkan keburukan pemimpin lain atau ketuanya di khalayak umum apabila keluar parti.
Menurut Menteri Besar Kelantan itu, sepatutnya jika anggota parti yang tidak suka kepada pemimpinnya, ia boleh diselesaikan di peringkat dalaman mengikut prosedur dalam sesebuah pertubuhan, sama ada melalui mesyuarat agung atau sebagainya.
“Mendedahkan keburukan bekas pemimpin kepada orang lain di khalayak umum perbuatan tidak berakhlak dan tidak bertamaddun,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramahnya di Dataran Ilmu, di sini, hari ini.
Nik Aziz diminta mengulas tindakan Anggota Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang mendedahkan kepincangan dalam Parti Pakatan Rakyat (PKR), membabitkan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, apabila keluar dari parti itu dan menjadi wakil rakyat Bebas.
Terbaru, Zahrain mendedahkan nama lapan anggota Parlimen yang disebut-sebut akan melompat parti ke PKR bagi menjayakan rancangan pembangkang untuk mengambil alih kerajaan pusat pada 16 Sept 2008.
Nik Abdul Aziz berkata masyarakat bukan Islam akan memerhatikan bagaimana
buruknya politik orang Melayu apabila bertelagah sesama sendiri.
Beliau mahu rakyat mencontohi cara berpolitik pemimpin MCA kerana mereka memlilih dan menjatuhkan seseorang pemimpin melalui pemilihan di peringkat dalaman parti.
Nik Aziz berkata, anggota parti mempunyai saluran tertentu untuk menjatuhkan mana-mana pemimpin yang mereka tidak suka dan bukan cara mendedahkan keaiban pemimpin itu di khalayak umum.
“Ini cara tidak kena dan peluang masih terbuka untuk pihak yang melakukan perbuatan itu kembali ke pangkal jalan untuk bertaubat daripada melakukan kesalahan itu,” katanya.
Mengenai kenyataannya dalam ceramahnya sebelum itu yang mengajak rakyat Kelantan beramai-ramai menyertai perarakan di Terengganu esok anjuran badan bukan kerajaan (NGO) bagi menyerahkan memorandum tuntutan royalti minyak kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, Nik Aziz berkata beliau tidak dapat hadir ke majlis itu kerana ada urusan lain.
Menurutnya, rombongan Kelantan ke majlis itu akan diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan