MARI MENDENGAR & MEMAHAMI AL-QUR'AN

Listen to Quran

Isnin, Mac 08, 2010

Peguam minta Majistret tangkap saksi kerana berbohong


Harakahdaily
PULAU PINANG, 8 Mac: Perbicaraan kes Haji Mohamad Sabu dan sembilan yang lain di Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang hari ini bertukar menjadi panas apabila peguambela KEPADA Mohamad Sabu meminta Tuan Majistret menangkap saksi pendakwa iaitu jurugambar polis.

Saksi pendakwa tersebut iaitu Korporal Khairi yang menjadi saksi pendakwa yang pertama memberikan keterangan bahawa pada hari kejadian (9/12/2007) beliau telah mengambil gambar di tempat kejadian iaitu di Tol Bukit Tambun dan beliau telah mengambil 32 keping gambar kesemuanya.

Saksi pendakwa yang ketiga Lans Korporal Kamarudin pula menyatakan beliau juga mengambil gambar tetapi kesemua gambar yang beliau ambil adalah gambar-gambar di IPK Seberang Serai Selatan.

Semasa menyoal balas Lans Korporal Kamaruddin, Hanipa bertanya adakah beliau bersetuju bahawa salah satu gambar yang beliau ambil di IPK itu (gambar orang bersembahyang) adalah juga gambar yang sama dengan gambar yang diambil oleh Korporal Khairi dan saksi itu menjawab beliau bersetuju.

Hanipa seterusnya bertanyakan saksi itu dengan soalan berikut :-

Hanipa: Apabila Korporal Khairi menyatakan gambar itu (gambar yang sama itu) diambil di Tol Bukit Tambun manakala kamu pula mengatakan gambar itu diambil di IPK bermakna salah seorang dari kamu berbohong di Mahkamah?

Kamarudin: Diam.

Hanipa: Saya katakan sekali lagi salah seorang dari kamu pasti telah berbohong ! Kamu atau Korporal Khairi yang berbohong?

Kamaruddin: Korporal Khairi yang berbohong!

Sebaik sahaja saksi itu menyatakan Korporal Khairi yang berbohong maka Hanipa meminta Mahkamah menggunakan kuasanya di bawah seksyen 30 Kanun Prosedur Jenayah untuk menangkap saksi pendakwa tersebut kerana saksi
tersebut telah membuat kesalahan di bawah seksyen 191 Kanun Keseksaan iaitu memberi keterangan palsu di Mahkamah.

Hanipa berhujah di bawah seksyen 30 Kanun Prosedur Jenayah seorang Majistret boleh menangkap atau mengarahkan seseorang untuk menangkap mana-mana orang yang melakukan kesalahan di hadapan Majistret.

Jelas saksi polis ini telah memberikan keterangan yang palsu dan oleh itu, hujah Hanipa, majistret boleh menangkap saksi tersebut.

Pihak Pendakwa meminta Mahkamah menangguhkan keputusan permohonan peguambela itu hanya setelah kesemua keterangan pendakwaan diberi.

Pendakwa seterusnya berhujah isu tersebut adalah melibatkan satu keeping gambar sahaja dan meminta Mahkamah tidak menangkap saksi tersebut.

Hanipa menjawab bahawa sama ada ianya melibatkan satu keping gambar atau banyak gambar ianya tidak penting. Apa yang penting adalah saksi pendakwa telah berbohong di Mahkamah.

Hanipa berhujah jika menggunakan hujah pendakwa, adakah pendakwa ingin menyatakan bahawa tidak salah kalau seorang mencuri atau rasuah RM1.00 tetapi hanya salah jika jumlahnya RM1000.00? RM1.00 atau RM1,000.00 ia adalah rasuah.

Oleh itu sama ada satu gambar atau banyak gambar jika saksi berbohong ia adalah berbohong dan ia adalah satu kesalahan jenayah.

Majistret kemudiannya menangguhkan keputusan permohonan peguambela pada esok pagi.

Mohamad Sabu dan sembilan yang lain didakwa di bawah seksyen 186 Kanun Keseksaan di atas tuduhan menghalang tugas penjawat awam. Perbicaraan ditetapkan pada 8, 9 dan 10 Mac.

Mohamad Sabu dan 9 yang lain diwakili oleh Mohamed Hanipa Maidin, Aminuddin Zulkifli dan Yusnita Yusuf manakala pendakwa diwakili oleh Tuan Suhaimi dan Yusaini Amir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan