KUALA LUMPUR, 11 Mac — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang kini berusia 14 bulan melipatgandakan usaha memperbaiki persepsi orang ramai terhadapnya, dengan langkah terbaru menyiarkan rencana iklan dalam akhbar-akhbar utama dalam empat bahasa hari ini.
Suruhanjaya itu yang dinaik taraf berkuat kuasa 1 Januari 2009 menyiarkan rencana iklan berhalaman penuh dalam beberapa akhbar utama dalam empat bahasa hari ini.
Difahamkan langkah seumpama itu diperluaskan menggunakan saluran-saluran media yang lain.
Ia antara perubahan yang cuba dibawa SPRM untuk mengubah persepsi rakyat terhadapnya, yang disifatkan masih belum berubah walaupun dijadikan suruhanjaya sejak Januari 2009, di bawah kepimpinan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Abu Kassim Mohamed.
Abu Kassim mengambil menerajui SPRM sejak awal tahun ini di sebalik beberapa kontroversi termasuk tragedi seorang saksi yang disoal siasat SPRM Teoh Beng Hock ditemui mati di bangunan Plaza Masalam, Shah Alam pertengahan tahun lalu.
Malah SPRM juga seringkali didakwa mengambil sikap selektif dalam menyiasat dan mendakwa seseorang.
Bagaimanapun ia dinafikan oleh Abu Kassim dalam pertemuan sulung dengan wakil media Januari lalu.
Rencana iklan dalam akhbar Bahasa Malaysia di bawah tajuk “Bersama Lakukan Perubahan Perangi Rasuah”, antara lain menyebut aspirasi SPRM tahun ini ialah meningkatkan keyakinan dan memperbaiki persepsi masyarakat Malaysia dan antarabangsa ke atas keberkesanan agensi itu dalam mencegah rasuah.
Rencana iklan itu memuatkan mesej Abu Kassim, Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub yang juga anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah SPRM, Presiden Persatuan Automatif Malaysia Datuk Aishah Ahmad dan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.
Abu Kassim antara lain berkata, keberkesanan SPRM melaksanakan tugasnya dengan amanah, tegas dan adil amat penting bagi memastikan ia adalah telus dan jelas dalam membuat keputusan tanpa menimbulkan keraguan, ketidakpuasan hati dan kecurigaan masyarakat.
Untuk meningkatkan profesionalisme SPRM kata beliau, para anggota suruhanjaya harus memiliki ilmu pengetahuan, berkemahiran, cekap, kreatif, inovatif, efektif dan bertindak berlandaskan prinsip undang-undang negara dan kod etika jabatan.
Salahuddin dari PAS pula mencadangkan SPRM diberi kuasa pendakwaan sekali gus mengangkat suruhanjaya itu sebagai satu agensi yang mempunyai ketelusan dan integriti.
Presiden Persatuan Automatif Malaysia mahu kerajaan menyediakan arah tuju lebih jelas dan polisi yang konsisten termasuk mewujudkan peraturan hasil perundingan dengan pemain industri.
“Ia amat penting bagi pemain industri untuk membuat perancangan dan pelaburan secara optimum pada masa depan,” katanya.
“Begitupun, SPRM perlu memastikan tindakan yang diambil konsisten dengan visi dna misi untuk telus melakukan siasatan ke atas pelaku rasuah tanpa mengira status dan pangkat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan